Pakej Fotografi Bajonz Jambul

Followers

Tuesday, January 17, 2012

Proton milik DRB-HICOM


DRB-HICOM Bhd. hari ini muncul sebagai pemilik baharu Proton Holdings Bhd. (Proton) setelah memeterai perjanjian pembelian dan penjualan 42.74 peratus kesemua saham yang dipegang Khazanah Holdings Bhd. (Khazanah) pada harga RM1.291 bilion atau RM5.50 sesaham.

Pembelian itu menamatkan spekulasi penjualan syarikat nasional itu di dalam pasaran sejak lebih sebulan lalu.

Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar berkata, DRB-HICOM telah dikenal pasti sebagai pihak paling sesuai dan layak untuk menguasai Proton.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas perbincangan dan penilaian terperinci melibatkan pelbagai cadangan bagi memastikan prosesnya teliti.

Urus niaga yang masih tertakluk kepada kelulusan para pemegang saham DRB-HICOM tidak membabitkan sebarang liabiliti dan jaminan kerana ia akan diselesaikan melalui proses perniagaan seperti biasa.

Azman berkata, cadangan DRB-HICOM turut memperlihatkan penglibatan menyeluruh Proton dalam sektor automatif dan rangkaian kerjasama strategik di dalam dan luar negara.

Katanya, cadangan strategi dan pelan perniagaan konglomerat automotif itu menyediakan platform yang berkesan bagi memenuhi kemapanan Proton dan memenuhi keperluan pertumbuhan jangka panjang.

Azman menambah, DRB-HICOM juga mengemukakan harga tawaran yang boleh diterima kepada Khazanah.

Sementara itu, DRB-HICOM dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia berkata, harga yang ditawarkan mewakili 6.2 peratus premium pada harga tutup saham proton sebanyak RM5.18 pada hari Jumaat.

Katanya, harga yang ditawarkan itu mengambil kira premium masing-masing sebanyak 2.80 peratus, 12.70 peratus dan 26.73 peratus selama lima hari, sebulan dan tiga bulan kenaikan harga pasaran saham Proton termasuk harga saham pada Jumaat lalu sebanyak RM5.35, RM4.88 dan RM4.34 sesaham.

Ia juga berdasarkan nisbah harga kepada tempahan 0.56 kali berasaskan aset bersih yang diaudit Kumpulan Proton sehingga 31 Mac 2011 kira-kira RM5.406 bilion.

Saham Proton dan DRB-HICOM digantung hari ini sebagai memenuhi keperluan untuk membuat pengumuman tersebut.

Berikutan jumlah penguasaan yang melebihi 33 peratus, DRB-HICOM akan membuat tawaran am mandatori (MGO) untuk memiliki baki saham Proton yang belum dipegangnya.

Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM, Datuk Seri Mohd. Khamil Jamil dalam kenyataan berasingan melahirkan penghargaan kepada Khazanah di atas kepercayaan yang diberikan untuk mengemudikan Proton ke peringkat lebih tinggi.

Beliau berkata, DRB-HICOM telah meletakkan Proton dalam radarnya sejak 2009 dengan melaksanakan pelbagai kajian dan analisis kedudukan syarikat itu yang membawa kepada pembentukan Pelan Perniagaan Bersepadu bagi mewujudkan rantaian nilai automotif.

Mohd. Khamil berkata, MGO bakal menyediakan peluang kepada DRB-HICOM untuk meningkatkan pegangan ke atas syarikat pengeluar kereta nasional sekali gus menjadikannya anak syarikat.

Beliau menambah, pembelian Proton yang akan dibiayai melalui dana dalaman dan pinjaman, dijangka selesai pada suku kedua 2012

~ http://bajonzjambul.blogspot.com ~
~ http://bajonzphoto.blogspot.com ~

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...