Pakej Fotografi Bajonz Jambul Cool Ice cream

Followers

Monday, April 21, 2014

Tayar Pecah Punca MH192 Berpatah Balik


Pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH192 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang ke Bangalore, India terpaksa berpatah balik ke KLIA awal pagi Isnin kerana satu daripada tayar pada gear pendaratan utama sebelah kanannya pecah semasa berlepas.
Pengurus Perhubungan Media MAS, Khairunnisak Dzun Nurin berkata, juruterbang telah dimaklumkan oleh Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur bahawa serpihan tayar ditemui di landasan dan dengan segera menghubungi Pusat Kawalan Operasi (OCC) MAS pada pukul 10.25 malam.
"Oleh kerana keselamatan adalah amat penting bagi Malaysia Airlines, pesawat itu telah diarahkan berpatah balik ke KLIA.
Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang (AFRS) digerakkan sebaik sahaja juruterbang diarahkan berpatah balik ke KLIA oleh OCC," katanya dalam satu kenyataan media, Isnin.
Kesemua penumpang akan ditempatkan di hotel-hotel berhampiran dan penerbangan MH192 dijadualkan semula berlepas dari KLIA pada pukul 3.30 petang Isnin dan dijadualkan tiba di Bangalore pada pukul 5 petang hari yang sama, katanya.
Beliau berkata, kesemua 159 penumpang dan tujuh anak kapal telah keluar dari pesawat itu.
Penerbangan MAS MH192 berlepas dari KLIA pada pukul 10.09 malam Ahad ke Bangalore dan mengesan gear mendarat sebelah kanannya tidak berfungsi, menyebabkan ia berpatah balik untuk melakukan pendaratan kecemasan di KLIA pada pukul 1.56 pagi Isnin.
Pesawat itu diterbangkan oleh Kapten Nor Adam Azmi bersama dengan pembantu juruterbang Prakash Kumar.


~ Bajonz Jambul ~
~ Bajonz Photography ~

Pesawat MAS Ke Bangalore, India Patah Balik Ke KLIA Buat Pendaratan Cemas


Sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH192 yang sedang dalam perjalanan ke Bangalore, India terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas salah satu rodanya tidak dapat berfungsi dengan sempurna ketika berlepas, berjaya mendarat dengan selamat pada jam 1.56 pagi Isnin.
MAS mengesahkan tentang kejayaan para juruterbangnya mendaratkan pesawat 737-800 itu dengan selamat menerusi laman tweeternya.
Sebelum itu, Pengurus Perhubungan Media dari Bahagian Komunikasi Strategik MAS, Khairunnisak Dzun Nurin telah mengeluarkan satu kenyataan segera yang menyebut bahawa pesawat berkenaan telah menyedari yang mekanikal pada bahagian roda kanannya telah mengalami kerosakan sebaik sahaja berlepas dari KLIA pada jam 10.09 malam Ahad.
Juruterbang pesawat berkenaan kemudiannya membuat keputusan untuk tidak mengambil risiko dan berpatah balik ekoran masalah tersebut.
Pesawat berkenaan berlegar-legar selama beberapa jam di ruang udara KLIA bagi menghabiskan bekalan minyak sebelum mendarat untuk mengurangkan risiko malapetaka.
Mengikut jadual, MH192 dijadualkan tiba di Bangalore, India pada jam 11.35 malam Ahad.
Pesawat tersebut membawa 166 orang penumpang termasuk tujuh anak kapal.
Sementara itu Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Sri Hishammuddin Tun Hussein berkata menerusi tweetnya: 'Semuanya selamat mendarat - dalam perjalanan ke sana sekarang!!'


~ Bajonz Jambul ~
~ Bajonz Photography ~

Taufan Jack Makin Hampir Ke Kawasan Pencarian MH370


Keadaan cuaca terutama di utara kawasan pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang di Lautan Hindi merosot pada Isnin ekoran Taufan Tropika Jack terus menghala ke selatan.

Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) yang memantau operasi pencarian berkata ramalan cuaca menunjukkan hujan dan sekali sekala ribut petir sedang bergerak ke utara beserta angin timur tenggara.

Bagaimanapun, usaha pencarian diteruskan yang memasuki hari ke-45 dengan disertai 10 pesawat tentera dan 11 buah kapal, demikian menurut JACC dalam satu kenyataan.

"Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia telah merancang pencarian secara visual di kawasan kira-kira 49,491 kilometer persegi yang titik tengahnya terletak kira-kira 1,741 kilometer barat laut Perth," katanya.

Sementara itu, kenderaan dalam air autonomi (AUV) Bluefin-21 mengakhiri misi lapan harinya pada Isnin setelah meliputi kira-kira dua per tiga kawasan pencarian tanpa menemui sebarang tanda pesawat yang hilang. Ia dijangka memulakan misi hari kesembilannya.

Sabtu lalu, Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pencarian segera di kawasan yang sedang dipantau Bluefin-21 dijangka selesai minggu depan.

Beliau juga berkata, kini tiba masanya pihak yang terlibat dalam usaha pencarian mempertimbang dan membincang pula penggunaan kapal selam.

Perdana Menteri Australia, Tony Abbott sebelum ini turut berkata operasi mencari akan dikaji semula sekiranya tidak terdapat perkembangan baharu 'dalam beberapa hari lagi'.

Bluefin-21 memulakan tugas sulungnya Isnin lalu dalam usaha mencari serpihan pesawat, ekoran tiada lagi isyarat disahkan dikesan oleh TPL sejak 8 April.

Ia menggunakan bunyi akustik untuk mencipta peta 3D di dasar laut yang akan memakan masa minimum 24 jam untuk menghabiskan setiap misi, termasuk empat jam untuk memuat data yang dikumpul.

Pesawat MH370 dengan seramai 239 penumpang dan anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam pada 8 Mac dan hilang dari skrin radar kira-kira sejam di atas Laut China Selatan. Ia sepatutnya tiba di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama.
Usaha pencarian yang melibatkan pelbagai negara, pada mulanya dilakukan di Laut China Selatan dan kemudian di Lautan Hindi, apabila difahamkan ia telah melencong dari laluan asalnya.



~ Bajonz Jambul ~
~ Bajonz Photography ~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...