Pakej Fotografi Bajonz Jambul Cool Ice cream

Followers

Thursday, November 10, 2016

Penumpang Dikejutkan Ular Dalam Pesawat


MEXICO CITY: Penumpang kelas pertama dalam penerbangan Aeromexico baru-baru ini berdepan dengan 'penumpang gelap' iaitu seekor ular, sekaligus menyamai filem aksi mengenai ular dalam pesawat, 'Snakes on a Plane".

Seorang rektor universiti dari Torreon memuat naik sebuah video di Twitter mengenai penumpang yang tidak diundang itu menyusuri keluar dari bahagian atas kabin.

"The flying viper (ular terbang), Ha Ha Ha," katanya secara bergurau.

Kekecohan itu membuatkan pihak berkuasa trafik udara memberi keutamaan kepada pesawat dalam penerbangan domestik dari Torreon ke Mexico City itu untuk mendarat.

Pakar haiwan, Juan Carlos Gomez Juarez berkata, adalah jelas daripada video tersebut menunjukkan bahawa para penumpang tidak dapat menangani kehadiran spesis beracun.

Tiada kecederaan dilaporkan, bagaimanapun beberapa penumpang kecewa dengan keadaan yang berlaku.

"Adalah perkara biasa bagi orang ramai panik apabila mereka melihat ular," kata Gomez Juarez.

Menurut Aeromexico, ia menjalankan siasatan mengenai punca ular tersebut boleh berada di dalam pesawat. - AFP


~ Bajonz Jambul ~
~ Bajonz Photography ~

Ahli Perniagaan Cina Beli Pesawat Sendiri Dari Amerika


BEIJING: Seorang ahli perniagaan dari barat daya China telah membeli sebuah pesawat pada harga kira-kira AS$ 500,000 (RM2.1 juta) dan menghantarnya pulang ke kampung halamannya, menurut laporan akhbar.

Lelaki itu, yang nama penuhnya tidak diberikan, membeli pesawat Boeing 737-300 di Amerika Syarikat, lapor Chengdu Commercial Daily.

Usahawan itu pada mulanya cuba untuk membeli pesawat 'bersara' di China, tetapi tidak digalakkan memandangkan ia perlu melalui banyak proses dan kerenah, kata laporan itu.

Ahli perniagaan itu mengetuai pasukan rundingan dengan lima anggota dan mengambil masa tiga bulan untuk bersetuju dengan harga akhir pesawat di Amerika Syarikat itu, yang tidak lagi berada dalam operasi perkhidmatan.

Jumlah kos pembelian dan penghantaran semula pesawat itu adalah lapan juta yuan (RM5 juta), menurut laporan.

Ia akan mengambil masa dua bulan untuk dipasang sepenuhnya dan untuk diubah suai, seorang juruteknik yang bertanggungjawab bagi pemasangan pesawat itu di Beijing dipetik sebagai berkata.

Pesawat itu akan dibawa ke kampung halaman ahli perniagaan itu di Guanghan di wilayah Sichuan di mana ia akan diletakkan dalam sebuah taman penerbangan berhampiran sebuah institut kejuruteraan aeronautik. Tidak ada rancangan untuk menerbangkannya.

Jumlah orang kaya di China yang membeli jet peribadi lebih kecil untuk pengangkutan dan sebagai simbol status telah meningkat. - South China Morning Post



~ Bajonz Jambul ~
~ Bajonz Photography ~

Angkasawan AS Mengundi Di Angkasa Lepas



MIAMI: Angkasawan tunggal Amerika Syarikat (AS), Shane Kimbrough yang kini berada di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) telah menunaikan tanggungjawab mengundi lebih awal di angkasa lepas.

Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa) memaklumkan, Kimbrough adalah angkasawan terbaharu yang menyambung tradisi mengundi sambil terapung di dalam ISS yang kini berada di orbit Bumi.

Kimbrough menaiki sebuah roket Soyuz buatan Rusia menuju ke ISS pada 19 Oktober lalu untuk memulakan misi empat bulan di pusat penyelidikan itu bersama dua kosmonaut Rusia.

Selain Kimbrough, Nasa turut mengesahkan seorang lagi angkawasan wanitannya, Kate Rubins yang turut mengundi ketika berada di angkasa lepas sebelum pulang ke tanahair seminggu lalu.

Angkasawan AS boleh mengundi dari angkasa lepas di bawah undang-undang negeri Texas sejak 1997.

Kebanyakan angkasawan tinggal di kawasan bandar Houston yang menempatkan pusat kawalan Nasa dan Pusat Angkasa Johnson.

Rakyat AS pertama yang megundi dari angkasa lepas ialah David Wolf. Dia membuang undi dari stesen angkasa lepas Rusia, Mir.

Angkasawan AS pertama mengundi dalam pilihan raya Presiden dari angkasa lepas pula ialah Leroy Chiao pada 2004.

“Penghuni terkini ISS, Kimbrough ialah angkasawan terbaharu yang mengambil peluang untuk mengundi,” kata Nasa dalam satu kenyataan.

Satu kertas undi elektronik di hantar melalui emel ke akaun peribadi Kimbrough di Pusat Angkasa Johnson sebelum ia kemudian menghantar emel tersebut ke ISS supaya Kimbrough boleh menunaikan tanggungjawabnya ketika berada 400 kilometer dari permukaan Bumi.

Seterusnya, kertas undi elektronik itu dihantar semula ke Texas melalui emel.

Nasa atau Kimbrough bagaimanapun tidak mendedahkan calon mana yang dipilihnya sebagai Presiden AS. – AFP



~ Bajonz Jambul ~
~ Bajonz Photography ~

Trump Menang, Minyak Turun


Harga minyak di Asia jatuh pada Rabu selepas calon Republikan, Donald Trump mengalahkan pencabarnya, Hillary Clinton dari Parti Demokrat.

Pasaran kewangan global dan harga minyak mengalami putaran balik berikutan kemenangan jutawan populis itu dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS).

Pada sekitar 8.30 pagi waktu AS, kontrak Disember untuk penanda aras AS - West Texas Intermediate susut 53 sen pada $44.45 setong dan minyak mentah Brent untuk penghantaran Januari adalah 51 sen lebih rendah pada paras $45.53.

Kedua-dua kontrak jatuh lebih daripada satu dolar pada peringkat awal selepas Trump merapatkan jurang untuk mendahului Clinton.

"Ucapan kemenangan Trump adalah kata-kata yang menenteramkan, kata Jeffrey Halley, seorang penganalisis kanan pasaran di Oanda, kepada AFP.

"Pasaran suka apa yang beliau katakan tentang perbelanjaan fiskal untuk membina semula infrastruktur Amerika."

Bagaimanapun Halley menyatakan bahawa "dunia masih dalam keadaan terkejut" atas kemenangan Trump dan memerlukan lebih banyak masa untuk mencerna implikasi yang berpotensi.

"Tekanan menurun kepada minyak boleh berlaku secara semula jadi, masih terlalu awal untuk mengukur apa-apa pandangan dengan muktamad," katanya.

Capital Economics berkata, jawatan presiden Trump "lebih kepada langkah yang tidak diketahui"



~ Bajonz Jambul ~
~ Bajonz Photography ~

Trump Presiden AS Ke-45



NEW YORK: Calon Parti Republikan, Donald Trump mencapai impian untuk memenangi Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) apabila jauh meninggalkan pencabarnya, Hillary Clinton dari Partri Demokrat.

Setakat pukul 3.33 petang waktu tempatan, keputusan semasa menunjukkan Trump meraih 276 undi kawasan pemilihan, melebihi empat undi untuk mengesahkan kemenangan berbanding lawannya, Hillary yang mendapat 218 sokongan pemilihan.

Kedua-dua calon perlu mendapatkan sokongan undi 270 kawasan pemilihan bagi memenangi pilihan raya tersebut.

Trump akan menjadi satu-satunya Presiden yang tidak memiliki pengalaman dalam bidang politik dan ketenteraan untuk mengetuai White House.

"Ini masanya untuk rakyat Amerika bersatu.

"Kepada semua penyokong Republikan, Demokrat dan bebas di seluruh negara, bagi saya ini merupakan masanya untuk kita bersama-sama menjadi negara yang bersatu. Inilah masanya," kata Trump sambil ditemani keluarganya ketika berucap di hadapan penyokong di depan hotel Hilton Midtown di Manhattan.

Dalam perkembangan lain, Parti Republikan menyapu bersih kedua-dua badan tertinggi AS iaitu Dewan Senat dan Dewan Perwakilan menerusi kemenangan majoriti.

Parti pimpinan Trump itu meraih undian majoriti sebanyak 51 sokongan berbandingan Demokrat, 47 undian untuk menguasai Dewan Senat.

Dewan Perwakilan juga dimonopoli oleh Parti Republikan dengan undian sebanyak 234 berbanding 178 yang diraih parti pimpinan Hillary.

Sementara itu, Hillary akur terhadap kekalahan tersebut dan menghubungi Trump untuk memaklumkan perkara itu.



~ Bajonz Jambul ~
~ Bajonz Photography ~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...