Pakej Fotografi Bajonz Jambul

Followers

Wednesday, January 11, 2012

Jamal buat Konsert Terbesar di Perak


Pada 28 Januari ini, buat julung-julung kalinya beliau akan menjayakan sebuah konsert yang diberi nama Konsert Raja Pop Jamal Abdillah 2012 yang bakal berlangsung di Stadium Indera Mulia, Ipoh.

"Peluang mengadakan konsert ini amat baik untuk saya. Apatah lagi, sekarang ini adalah Tahun Melawat Perak. Ia bukan sahaja konsert solo terbesar saya di Perak tetapi juga bagi membantu sambutan Tahun Melawat Perak tersebut.

"Sebagai rakyat Negeri Perak saya berasa amat bangga kerana dapat mengadakan konsert besar di negeri saya sendiri. Saya berharap agar rakyat Perak juga bangga dengan pembabitan saya sebagai penyanyi yang berasal dari Perak selama ini," ujarnya.

Konsert dengan durasi dua jam 30 minit itu mengenakan tiket berharga RM80, RM140 dan RM300 dan dianjurkan oleh Bombay Worldwide Sdn. Bhd. dengan kerjasama Persatuan Budak Bas Stand Ipoh.

Jelas Jamal, sebelum ini dia bukannya tidak pernah mendapat tawaran mengadakan konsert berskala besar di Perak tetapi memandangkan keadaan yang tidak mengizinkan menyebabkan dia terpaksa melupakan hasrat itu.

"Dulu saya pernah mendapat tawaran seperti ini tetapi ketika itu saya tidak mampu memberikan komitmen. Saya fikir lebih baik tidak ada konsert besar. Sekarang ini, selepas 'dunia saya semakin cerah' barulah peluang itu datang semula.

"Malah, sejak kebelakangan ini saya juga mendapat semakin banyak tawaran mengadakan konsert. Saya anggap semua itu sebagai rezeki anak-anak saya. Kalau boleh saya tidak mahu mensia-siakan tawaran yang datang itu," jelasnya.

Segmen 12 minit

Pada konsert itu nanti kata Jamal, dia akan membahagi-bahagikan persembahannya kepada tujuh segmen yang berbeza dengan seleksi lagu-lagu popularnya sejak era tahun 1980-an sehinggalah kini.

Setiap segmen tambahnya, mempunyai durasi persembahan selama 12 minit dengan setiap satunya akan dibantu dengan visual di layar gergasi yang memaparkan perjalanannya sebagai penyanyi selama lebih tiga dekad.

"Antara segmen yang akan saya tampilkan ialah lagu-lagu duet, pencarian gadis Melayu, lagu-lagu daripada filem serta lagu-lagu ciptaan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Datuk Dr. Ahmad Nawab," katanya.

Jelas duda anak dua itu lagi, pada konsert tersebut, dia juga akan menampilkan penyanyi undangan yang akan diumumkan kemudian.

"Untuk pemegang tiket berharga RM300 mereka akan berpeluang bertemu saya sehari selepas konsert itu untuk makan malam bersama saya. Saya akan meluangkan masa bersama-sama mereka pada majlis khas itu nanti," ujarnya.

~ http://bajonzjambul.blogspot.com ~
~ http://bajonzphoto.blogspot.com ~

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...