Pakej Fotografi Bajonz Jambul Cool Ice cream

Followers

Friday, October 14, 2011

PTPTN - 55,546 pilih Ujrah

HANYA 55,546 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memilih menukar pinjaman pendidikan mereka kepada pembiayaan syariah berkonsepkan Ujrah sehingga September lalu.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Hou Kok Chung (gambar) berkata, rekod perbadanan itu turut menunjukkan kelompok peminjam terbabit mengembalikan dokumen perjanjian mereka dalam tempoh tiga bulan selepas surat tawaran Ujrah diberi.

“Pertukaran pinjaman kepada pembiayaan Ujrah membabitkan 836,408 data peminjam dan sehingga tarikh tamat 30 September lalu, 565,427 mengemas kini maklumat mereka manakala 435,160 peminjam layak diberi surat tawaran (Ujrah).

“Mereka diberi tempoh tiga bulan untuk mengembalikan dokumen perjanjian dengan 55,546 berbuat demikian, manakala 130,267 peminjam masih dalam proses semakan untuk penawaran,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) mengenai tujuan PTPTN menawarkan pembiayaan pendidikan kaedah Ujrah dan mengapakah ‘red tape’ di dalam permohonan pertukaran pinjaman itu selain mohon dinyatakan tunggakan peminjam setakat ini.

Dr Hou menjelaskan, setakat 31 Ogos lalu, sejumlah RM2.89 bilion tunggakan keseluruhan pinjaman belum dibayar balik.

“Pembiayaan pendidikan kaedah Ujrah atau upah satu peratus setahun atas kadar rata yang berkuat kuasa 1 Jun 2008 adalah kaedah pembiayaan berlandaskan prinsip syariah, bertujuan mengurangkan beban peminjam,” katanya.

Mengenai kelewatan berlaku, beliau berkata, proses penyemakan sebelum penawaran ke kaedah Ujrah tidak boleh dilakukan secara ‘straight forward’ (terus), sebaliknya perlu menyemak semula secara manual kerana maklumat peminjam terdapat di beberapa tempat, sebelum maklumat itu dikonsolidasikan.

Fong sebelum itu mencadangkan proses permohonan pertukaran pinjaman pendidikan PTPTN kepada Ujrah dilakukan secara automatik kerana bukan saja memudahkan urusan pertukaran, malah dapat menjimatkan kos dan masa.

~ http://bajonzjambul.blogspot.com ~
~ http://bajonzphoto.blogspot.com ~

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...