Bintang muda China, Chen Long sekali lagi mampu menjadi igauan ngeri buat jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei apabila kedua-dua mereka diletakkan dalam undian yang sama pada Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Perancis, hujung bulan ini.
Dalam saingan beregu wanita pula, pasangan muda negara, Vivian Hoo-Woon Khe Wei akhirnya tidak perlu mengharungi pusingan kelayakan Siri Super buat kali pertama apabila mendapat tempat automatik ke undian utama, namun terpaksa memulakan cabaran dengan berdepan beregu handalan Indonesia, Meiliana Jauhari-Greysia Polii.
Laluan getir turut diterima beregu senior negara, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui yang bakal berdepan pasangan No. 1 dunia, Wang Xiaoli-Yu Yang dari China seawal pusingan pertama, keputusan yang mampu menggugat peluang mereka untuk mencari tiket Sukan Olimpik 2012.
Pei Tty-Eei Hui, yang menghuni ranking ke-25 dunia ketika ini, turut menerima undian sukar pada Terbuka Denmark, yang berlangsung seminggu sebelum kejohanan di Paris iaitu berdepan pasangan handalan Jepun, Mizuki Fujii-Reika Kakiiwa pada pusingan pertama.
Chong Wei, 29, yang masih dibayangi kekalahan 8-21, 21-10, 19-21 kepada Chen Long pada final Terbuka Jepun, bulan lalu, berpotensi bertemu pemain No. 3 dunia berusia 22 tahun itu sekali lagi di separuh akhir kejohanan bernilai AS$200,000 (RM629,000) yang akan berlangsung dari 25-30 Oktober ini.
Seandainya melepasi semua halangan awal, jaguh negara itu berpotensi menentang seteru utamanya, Lin Dan pada babak akhir.
Chong Wei akan memulakan kempennya dengan bertemu Marc Zwiebler dari Jerman dan dijangka bertemu Nguyen Thien Minh dari Vietnam di suku akhir.
"Setiap kejohanan adalah cabaran yang berbeza. Saya akui, Chen Long semakin menunjukkan peningkatan yang besar akhir-akhir ini, namun jika saya kena bertemu dengannya sekali lagi, saya lebih daripada bersedia,'' kata Chong Wei.
Selain Chen Long, turut diletak dalam undian yang sama dengan Chong Wei adalah bekas juara Olimpik dan dunia Indonesia yang semakin dipandang sepi, Taufik Hidayat serta bekas juara remaja dunia yang tidak kurang sukar, Wang Zhengming dari China.
Cabaran perseorangan lelaki negara turut dipikul pemain muda, Liew Daren yang akan memulakan saingan dari pusingan kelayakan.
Sementara itu, kejayaan mendaki 18 anak tangga ke ranking 42 dunia ketika ini, membolehkan Vivian-Khe Wei melepasi halangan kelayakan. Vivian-Khe Wei, yang naik mendadak ekoran kejayaan menjuarai Grand Prix Emas Terbuka Indonesia, bulan lalu mencari keputusan konsisten dalam aksi Siri Super untuk memburu tiket Sukan Olimpik.
Mengenai pertemuan dengan Meiliana-Greysia, kedua-dua pemain itu menganggap ia sebagai undian positif, apatah lagi mampu menguji kemampuan sebenar sebulan menjelang Sukan SEA di Jakarta, bulan depan.
Selain Vivian-Khe Wei dan Pei Tty-Eei Hui, cabaran beregu wanita Malaysia turut dipikul Sabrina Chong-Goh Liu Ying akan memulakan aksi dari pusingan kelayakan, bertemu pasangan dari Jerman, Johanna Goliszewski-Carla Nelte.
Dalam beregu lelaki, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong menerima undian yang agak baik untuk sekurang-kurangnya melayakkan diri ke separuh akhir.
Malaysia turut memiliki empat lagi beregu lelaki di Paris dan kesemua mereka akan bermula dari pusingan kelayakan, diketuai Mohd. Fairuzizuan Tazari-Mohd. Zakry Latif, Lim Khim Wah-Goh V Shem, Chan Peng Soon-Ong Jian Guo dan Hoon Thien How-Tan Wee Kiong.
Bekas juara Asia, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying pula membawa cabaran beregu campuran bersama Ong Jian Guo-Sabrina Chong.
Chen Long
~ http://bajonzjambul.blogspot.com ~
~ http://bajonzphoto.blogspot.com ~
siapa agaknya pengganti chong wei nanti... dia sudah semakin tua...
ReplyDeletelin dan dah ada penggantinya...