Pakej Fotografi Bajonz Jambul Cool Ice cream

Followers

Thursday, August 9, 2012

Tony Fernandes Beli Kelab Indonesia



Kehadiran pemilik kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris, Queens Park Rangers (QPR), Tan Sri Tony Fernandes ke kota metropolitan ini dilihat bukan sekadar untuk mengukuhkan kedudukan perniagaan AirAsia yang diterajuinya sejak sedekad lalu.

Sebaliknya, keputusan usahawan ternama yang memasyhurkan syarikat penerbangan tambang murah itu berpindah ke ibu negara Indonesia ini diterima dengan tangan terbuka oleh industri sukan bola sepak tempatan.

Biarpun baru sahaja berhijrah dari Kuala Lumpur ke Jakarta, namun taikun penerbangan yang menguasai 66 peratus kepentingan dalam QPR itu awal-awal lagi sudah menerima tawaran untuk membeli beberapa kelab di Indonesia.

Sebagai seorang penggemar sukan bola sepak, Fernandes menyifatkan, tawaran yang dikemukakan kepadanya itu sebagai satu penghormatan.

Beliau pada masa sama turut menyatakan minat menimbang tawaran-tawaran untuk memajukan bidang berkenaan seperti membeli kelab bola sepak yang sedia ada.

"Kami ditawarkan untuk membeli kelab di sini (Indonesia). Tetapi lebih baik jika saya tidak umumkan sekarang," kata Fernandes yang enggan menamakan kelab-kelab bola sepak Indonesia yang ditawarkan untuk dibeli olehnya.

Beliau berkata demikian pada sekumpulan wartawan dari pelbagai negara selepas merasmikan pejabat baru AirAsia ASEAN di Menara Equity, Sudirman Central Business District, Jalan Sudirman di sini kelmarin.

Kehadiran Fernandes ke Indonesia dilihat pemerhati sukan bakal membantu menjayakan lagi pembinaan industri sukan bola sepak negara itu.

Pemilikan QPR oleh Fernandes sudah cukup meyakinkan banyak pihak bahawa beliau tentu sekali tidak akan melepaskan peluang memberi tumpuan pada sukan bola sepak Indonesia.
"Sesuatu yang lucu buat saya kerana disuruh terlibat lebih banyak dalam sukan bola sepak di sini (Indonesia).

"Saya berminat dan melihat tawaran yang dibuat kepada saya itu sebagai satu penghormatan kerana orang meminta saya melibatkan diri. Saya harus melihatnya, ia sesuatu yang sangat menyenangkan," jelas Fernandes lagi.

Seperti mana, beliau membangunkan perniagaan syarikat penerbangan tambang murah yang semakin popular di peringkat global secara berperingkat, begitu juga pendekatan yang akan digunakan dalam lapangan sukan.

Dengan merujuk pembelian QPR, Fernandes berkata, kelab tersebut dikembangkan secara berperingkat sehinggalah beliau membuat keputusan membeli sembilan pemain baru untuk mengukuhkan kelab London itu menjelang musim baru Liga Perdana Inggeris yang bermula 18 Ogos ini.

QPR yang dibeli menerusi syarikat Tune Sports menyaksikan syarikat Malaysia pertama memiliki pasukan Liga Perdana Inggeris.

Fernandes yang mengagumi perkembangan sukan bola sepak Indonesia turut menarik perhatian mengenai sambutan luar biasa yang diberikan oleh peminat sukan di negara tersebut ketika membawa QPR menyertai perlawanan persahabatan dengan Persebaya di Surabaya, bulan lalu.

Kata Fernandes, beliau sangat terpukau dengan sokongan fanatik peminat kelab Persebaya tempoh hari.
Dengan kehadiran lebih 40,000 penonton, beliau menyifatkan, sambutan berkenaan sangat luar biasa dan tentu sekali akan merangsang pemain meningkatkan lagi kualiti permainan.

"Surabaya sangat menakjubkan. Ia merupakan pengalaman yang sangat menyentuh kerana peminat-peminatnya penuh semangat. Para pemain juga pasti tidak akan melupakannya," tambahnya lagi.


~ http://bajonzjambul.blogspot.com ~
~ http://bajonzphoto.blogspot.com ~

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...