Brazil tidak bimbang dengan tekanan untuk meraih pingat emas pertama mereka dalam acara bola sepak Sukan Olimpik apabila menentang Mexico pada perlawanan akhir, esok.
Pingat perak akan dianggap sebagai kegagalan kepada Brazil memandangkan pasukan itu tiba di temasya London dengan kebanyakan pemain terbaik mereka serta dianggap sebagai pilihan utama.
Emas Olimpik merupakan satu-satunya trofi yang masih belum diperoleh Brazil dalam sukan bola sepak. Pasukan itu tidak pernah sampai ke peringkat akhir dalam tempoh 24 tahun.
Jurulatihnya Mano Menezes berkata, pemain-pemainnya tidak akan membiarkan tekanan untuk menang menganggu persiapan mereka dan tidak fikir dia perlu campur tangan untuk memastikan pemain dapat mengekalkan fokus pada final di Wembley esok.
"Kami mengendalikan proses ini dengan baik. Saya tidak fikir para pemain berasakan mereka memikul beban kerana kami tidak mempunyai pingat tersebut. Dan ia merupakan sesuatu yang baik kerana ia akan menjadi penghalang kepada pasukan," katanya.
Menurut Menezes, Brazil semakin matang sejak pertandingan itu bermula dan pemain-pemainnya faham keperluan mengimbangi emosi mereka.
Katanya, mereka tahu kepentingan untuk memenangi emas, tetapi pemain-pemain tidak membiarkan tanggungjawab itu membebankan mereka.
"Pemain bukan terlalu yakin. Saya tidak fikir saya perlu bercakap dengan mereka mengenai perkara ini, saya boleh tahu berdasarkan kelakuan mereka di bilik persalinan selepas kemenangan ke atas Korea Selatan. Mereka tenang dan jelas," katanya.
Brazil menewaskan Korea Selatan 3-0 di Manchester Selasa lalu untuk kemenangan kelima berturut-turut pada temasya Olimpik London dan Menezes memberitahu bahawa para pemain sedar tugasan mereka masih belum tamat.
"Saya tidak rasa saya perlu terlalu risau untuk membantu pemain mengawal emosi mereka apabila beraksi pada final nanti," ujarnya. - AGENSI
~ http://bajonzjambul.blogspot.com ~
~ http://bajonzphoto.blogspot.com ~
No comments:
Post a Comment