Abdul Jabbar Mohammed Kahar dinobatkan sebagai juara program pencarian Imam Muda musim ketiga (IM3) selepas mengenepikan Mohamammad Hafiz Abdul Khodir pada malam kemuncak yang berlangsung di Dewan Jubli, Pusat Penilaian Negara (INSPENS), Bangi.
Rakaman program itu disiarkan di saluran Astro Oasis (106) pada Jumaat.
Jabbar, 28, berkata, kemenangan yang diraih sangat berbaloi selepas meninggalkan keluarga terutamanya isteri dan dua anak serta menolak tawaran kenaikan jawatan semata-mata untuk menyertai program tersebut.
"Saya bersyukur dan terima kasih di atas sokongan keluarga dan peminat IM3.
"Kemenangan ini adalah permulaan saya untuk menghadapi arena dakwah yang lebih mencabar di luar sana," katanya yang ditemui di Astro, di sini selepas siaran IM3.
Kemenangan Jabbar melayakkannya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM100,000 sumbangan Astro beserta sebuah trofi.
Sementara itu, Hafiz, 27, mendapat tempat kedua dengan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM35,000 sumbangan Astro dan RM15,000 daripada Bank Islam beserta trofi.
"Walaupun tidak dapat mendapat tempat pertama, hadiah tersebut sudah menjadi istimewa buat diri saya.
"Tidak dinafikan ada sedikit rasa kecewa, namun saya melihat hikmah di sebalik ketentuan ini," ujarnya.
Turut layak di peringkat akhir ialah Abdul Rahman Naufal Hatta, 21, dimana dia terkandas pada segmen kedua selepas sesi soal jawab yang menampilkan Profesor Dr Sidek Baba sebagai tetamu jemputan.
Kegagalan itu sekaligus menempatkan Naufal di tempat ketiga dan melayakkan Jabbar dan Hafiz ke pusingan tazkirah dan Syafawi Al-Quran.
Naufal menerima hadiah wang sebanyak RM15,000 sumbangan Astro dan RM10,000 (Bank Islam) beserta sebuah trofi.
Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar pula berkata, persaingan Imam Muda musim ini dilihat lebih sengit daripada dua musim sebelumnya.
Malah katanya, program itu sudahpun menjadi fenomena bukan sahaja di negara ini bahkan ia mendapat perhatian dunia.
"Dari musim pertama lagi, kami berjanji untuk membekalkan masyarakat bukan sahaja program televisyen, tetapi melahirkan kumpulan pendakwah muda yang berkualiti untuk membimbing masyarakat bagi kebaikan dunia dan akhirat," katanya.
~ http://bajonzjambul.blogspot.com ~
~ http://bajonzphoto.blogspot.com ~
No comments:
Post a Comment