Bintang penyerang negara, Safee Sali membuka pintu buat mana-mana pasukan yang akan bertanding dalam Piala Malaysia, bermula 22 Ogos ini atau kelab negara Asia Tenggara lain untuk menggunakan khidmatnya sebaik menamatkan Liga Super Indonesia (ISL).
Penyerang kelahiran Kajang, Selangor berusia 29 tahun itu mengakui, setakat ini beberapa kelab Thailand sudah merisik khidmatnya secara pinjaman sepanjang tempoh rehat panjang ISL.
"Memang saya menunggu tawaran (sebarang pasukan) yang perlukan khidmat saya sepanjang rehat ISL, termasuk semua negara Asia Tenggara. Saya sedia beraksi dan berharap dapat membuat keputusan mengenainya sebelum Aidilfitri ini," katanya.
Dia ditemui ketika melakukan kerja amal menemani anak-anak yatim dari Rumah Amal Cahaya Tengku Ampuan Rahimah, Subang Permai membeli persiapan sambutan Hari Raya di sini, semalam.
Kata Safee, ini adalah usahanya sendiri untuk mengekalkan tahap kecergasan walaupun di luar musim liga.
Mengenai prestasinya yang dilihat sudah merosot ketika beraksi dalam siri persahabatan menentang Arsenal dan Manchester City, penjaring terbanyak Piala Suzuki AFF 2010 itu berkata: "Selain pandangan barisan jurulatih skuad kebangsaan, saya tidak mengambil berat dengan kritikan orang lain.
"Mereka boleh kata apa saja tetapi yang penting saya konsisten, bersungguh dan sentiasa cuba membuat sumbangan bermakna dalam pasukan."
Mengenai aksi dengan City di Bukit Jalil, kelmarin, Safee mengakui, perlawanan itu menyerlahkan perbezaan kualiti di antara dua pasukan.
Katanya, Malaysia ketinggalan daripada segi pengalaman, teknik dan fizikal, malah selaku juara Liga Perdana Inggeris, pemain City seperti Sergio Aguero, Yaya Toure dan Carlos Tevez jelas berada dalam kelas dunia.
"Ia jauh berbeza berbanding menentang Arsenal (24 Julai), namun kedua-dua perlawanan tetap memberikan pengajaran berguna kepada pemain.
"Kami juga cuba memberi saingan hebat sehingga wisel penamat dan berjaya menjaringkan gol (menerusi Azamuddin Akil)," katanya.
~ http://bajonzjambul.blogspot.com ~
~ http://bajonzphoto.blogspot.com ~
No comments:
Post a Comment