Kelantan menghidupkan peluang ke suku akhir Piala Malaysia apabila bangkit menumbangkan Kedah 2-1 dalam aksi Kumpulan B di Stadium Sultan Muhammad IV, kelmarin.
Kemenangan tersebut menyaksikan Red Warriors meraih kemenangan sulung selepas tumbang kepada seteru tradisi Terengganu pada aksi pembukaan di Kuala Terengganu, Rabu lalu.
Jurulatih Kelantan Bojan Hodak berkata, meskipun hanya mampu melakar kemenangan tipis, dia tetap gembira selepas barisan pemainnya menjelmakan kebangkitan sebaik sahaja ketinggalan pada minit keempat.
"Saya gembira dengan keputusan ini kerana kita berjaya meraih tiga mata dan menghidupkan semula peluang untuk mara ke pusingan seterusnya.
"Kita menguasai perlawanan dan mempunyai banyak peluang serta mempamerkan aksi bertenaga sehingga kehilangan banyak tenaga. Keadaan ini memberikan peluang kepada pihak lawan untuk mengusai perlawanan pada 20 minit terakhir," katanya ketika ditemui pemberita sejurus tamat perlawanan.
Tambahnya, keadaan tersebut memaksa pasukannya bertahan untuk mengelakkan pemain terus kepenatan selepas mengharungi dua perlawanan dalam tempoh tiga hari.
Pada perlawanan kelmarin, pelawat terlebih dahulu membuka tirai jaringan seawal minit keempat menerusi Mohd. Khyril Muhaymeen Zambri.
Gol penyamaan yang dicari tuan rumah akhirnya terhasil pada minit ke-28 menerusi penyerang pinjaman Mohd. Afiq Azmi selepas menyudahkan bola muntah hasil rembatan ketua pasukan, Mohd. Badhri Radzi yang ditepis oleh Helmi Eliza Elias.
Mohd. Afiq yang beraksi buat kali pertama dalam kesebelasan utama Red Warriorsmembalas kepercayaan yang diberikan oleh Bojan Hodak dengan menjaringkan gol kedua tuan rumah pada minit-minit akhir babak pertama, yang menyaksikan Kelantan meraih kemenangan pertama dalam kempen Piala Malaysia musim ini.
Dalam perkembangan lain, pengendali kelahiran Croatia itu memberitahu Mohammad Ghaddar tidak dapat diturunkan selepas pemain tersebut mengalami sedikit kecederaan sebelum perlawanan.
"Jadi saya tidak mahu mengambil risiko dengan menurunkan dia. Saya harap dia akan pulih dalam pada terdekat dan dapat beraksi pada perlawanan ketiga menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Selasa ini.
"Mengenai Indra Putra Mahyuddin, dia tidak beraksi kerana terpaksa menghadiri majlis perkahwinan kakaknya.
"Jadi saya terpaksa melepaskan pemain tersebut dan ia akan kembali ke pangkuan pasukan dalam perlawanan akan datang," ujarnya.
~ http://bajonzjambul.blogspot.com ~
~ http://bajonzphoto.blogspot.com ~
No comments:
Post a Comment