Pakej Fotografi Bajonz Jambul Cool Ice cream

Followers

Wednesday, August 1, 2012

Kepantasan perenang China sangat luar biasa



Seorang jurulatih terkemuka Amerika Syarikat (AS) menyifatkan kepantasan luar biasa perenang China, Ye Shiwen sebagai 'meragukan' dan membandingkan gadis berusia 16 tahun itu dengan atlet-atlet Jerman Timur yang pernah disahkan mengguna bahan rangsangan terlarang.

Pengarah eksekutif Persatuan Jurulatih-jurulatih Renang Dunia, John Leonard memberitahu akhbar The Guardian bahawa kepantasan gaya bebas yang dipamerkan Shiwen ketika menjuarai 400m rampaian individu dan memecahkan rekod dunia acara itu kelmarin, adalah sesuatu yang 'mustahil' untuk dilakukan.

Perenang remaja itu mencatat 58.68s dalam 100 meter terakhir, hanya sedikit ketinggalan berbanding bintang AS, Ryan Lochte yang merupakan pemenang lelaki bagi acara tersebut. Lebih menakjubkan, rekod masa Shiwen pada pusingan terakhir adalah lebih pantas daripada Lochte.

"Satu perkara yang saya mahu nyatakan ialah dalam sejarah sukan adakalanya persembahan luar biasa berkesudahan dengan penggunaan dadah dikesan.

"Cara dia berenang pada 100m terakhir itu mengingatkan saya perenang-perenang Jerman Timur satu ketika dulu serta perenang muda wanita Ireland dalam 400m rampaian individu sewaktu Temasya Atlanta," kata Leonard.

Leonard merujuk kepada Michelle de Bruin, yang menempah nama di Atlanta 1996 dengan kejayaan mengaut tiga emas tetapi akhirnya didapati bersalah menggunakan dadah pada 1998 dan digantung empat tahun.

Shiwen, yang persembahannya disifatkan sebagai 'gila' oleh bekas pemegang rekod dunia, Stephanie Rice, menafikan tuduhan itu.

"Tidak ada kena mengena dengan doping, pasukan China memiliki polisi ketat jadi tidak timbul masalah sedemikian," jelasnya.

Ketua suruhanjaya perubatan untuk Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Arne Ljungqvist, tampil mempertahankan Shiwen dan menyifatkan spekulasi itu sebagai menyedihkan.

"Bagi saya ia adalah sesuatu yang menyedihkan kerana satu persembahan di luar jangkaan disusuli pelbagai keraguan.

"Maksud saya, untuk menimbulkan keraguan dengan cepat apabila kamu baru menyaksikan satu persembahan luar biasa adalah bertentangan dengan daya tarikan sukan."

Pengarah pasukan renang kebangsaan AS pula membandingkan Shiwen dengan pelari pecut Jamaica, Usain Bolt, yang juga mengejutkan dunia apabila memecahkan tiga rekod dunia sekali gus pada Beijing 2008.

"Saya tidak pasti apakah yang dilakukan oleh China. Namun saya tidak fikir sesiapa dapat menjangka Usain Bolt berlari sepantas itu pada 2008. Ada masanya seseorang atlet mendapat kekuatan tambahan yang tidak diketahui sumbernya untuk mengeluarkan prestasi menjangkaui batasan sebenar," ujarnya. - AFP


~ http://bajonzjambul.blogspot.com ~
~ http://bajonzphoto.blogspot.com ~

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...