Pingat yang diimpikan Malaysia daripada acara badminton terus berada di landasan selepas jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei dan beregu utama, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong melangkah ke separuh akhir Sukan Olimpik di Arena Wembley, semalam.
Hadir ke London dengan dibebani masalah kecergasan, malah memulakan kempen dengan kurang meyakinkan, Chong Wei bagaimanapun menyerlahkan potensi dengan mengetepikan jaguh India, P. Kashyap 21-19, 21-11 dalam masa 47 minit.
Chong Wei, 29, yang menggalas harapan jutaan rakyat Malaysia untuk memburu emas Olimpik pertama, kini bakal berdepan ujian terbesarnya di London apabila menentang jaguh muda China dan pilihan ketiga, Chen Long di separuh akhir hari ini. Chen Long mara selepas mudah menyingkirkan bintang veteran Denmark, Peter Hoeg Gade 21-16, 21-13 dalam satu lagi saingan suku akhir.
Pemain No. 3 dunia berusia 23 tahun itu, merupakan pemain kedua selepas Lin Dan paling banyak memenangi pertemuan ke atas Chong Wei. Dia menang empat daripada 10 perlawanan menentang jaguh No. 2 dunia itu tetapi kalah dalam pertemuan terakhir di Terbuka Malaysia, Januari lalu.
Bergelut di awal set pertama, termasuk ketinggalan 4-9, 5-10, 11-13 dan 12-14, Chong Wei bagaimanapun tidak memberi muka kepada pemain No. 21 dunia dari India itu sejurus memenangi set pembukaan 21-19. Dia yang lebih banyak bermain rali di awal saingan, akhirnya mempercepatkan permainan untuk mudah memenangi set kedua 21-11.
Pada set pertama saya menerima tekanan yang sangat kuat kerana lawan berjaya membaca permainan saya dengan mudah dan saya pula terikut-ikut rentak permainannya hinggakan tidak punya banyak peluang menyerang, tetapi di set kedua saya menukar taktik dan dia terus terperangkap.
Menentang Chen Long, dia mempunyai taktik yang sangat berbahaya, selain memiliki kelebihan fizikal yang tinggi. Begitupun saya akan memasuki gelanggang dengan lebih yakin, ujar Chong Wei, pemenang pingat perak di Olimpik 2008.
Sementara itu, Kien Keat-Boon Heong yang sering menjadi mangsa kritikan sebelum berlepas ke Sukan Olimpik kerana prestasi tidak menentu, akhirnya menjawab segala cemuhan dengan menumpaskan beregu paling mencuri tumpuan di London, Bodin Issara-Maneepong Jongjit dari Thailand.
Bodin-Maneepong mungkin terlalu hebat buat beregu No. 4 dunia, Ko Sung Hyun-Yoo Yeon Seong dari Korea Selatan dan pasangan handalan Indonesia, Mohammad Ahsan-Bona Septano apabila mudah menjinakkan mereka di peringkat kumpulan, namun di suku akhir semalam, beregu muda itu nyata tidak mampu menandingi Kien Keat-Boon Heong apabila tumpas 16-21, 18-21.
Kemenangan Kien Keat-Boon Heong memperbaiki pencapaian mereka di Olimpik Beijing empat tahun lalu, apabila tunduk kepada pasangan Indonesia, Markis Kido-Hendra Setiawan di suku akhir. Pasangan negara itu bagaimanapun bakal berdepan laluan berduri di separuh akhir esok, apabila bertemu juara dunia empat kali, Cai Yun-Fu Haifeng dari China.
Cai Yun-Haifeng yang memegang rekod 9-4 ke atas pasangan Malaysia, mara selepas menewas kan rakan senegara, Chai Biao-Guo Zhendong 21-15, 21-19. Satu lagi separuh akhir beregu lelaki pula bakal menemukan pasangan No. 1 dunia, Chung Jae Sung-Lee Yong Dae dan Mathias Boe-Carsten Mogensen dari Denmark.
Saya tidak tidur semalaman kerana terlalu memikirkan tentang perlawanan suku akhir. Pada mulanya saya turun dengan rasa gusar, namun sebaik permainan berjalan, saya meraih keyakinan.
Memasuki separuh akhir sesuatu yang bagus tetapi saya belum mengecapi apa-apa kejayaan dan tidak mahu berpuas hati. Kami mempunyai sasaran untuk dipenuhi, namun kami tidak mahu menjadikan ia satu beban dan akan cuba bermain seperti biasa," kata Kien Keat
~ http://bajonzjambul.blogspot.com ~
~ http://bajonzphoto.blogspot.com ~
No comments:
Post a Comment