Pakej Fotografi Bajonz Jambul Cool Ice cream

Followers

Tuesday, September 6, 2011

Zanial budak terpendek di dunia


Berikutan tumbesarannya terhenti sejak berusia lima tahun, Kama Mirezzanial Kama Rezmee, 7, dengan ketinggian 56 sentimeter mungkin lelaki terpendek di dunia, mengatasi rekod dipegang Junrey Balawing, 18, dari Filipina dan Khagendra Thapa Magar, 19, dari Nepal yang masing-masing setinggi 60 dan 67 sentimeter.

Kama Mirezzanial yang dilahirkan pada 2 Mac 2004, adalah cahaya mata kepada pasangan Kama Rezmee Kamaruddin, 36, dan Masitah Md Yusof, 34, anak Terengganu yang kini mengusahakan perniagaan penyediaan makanan di Seri Kembangan, Selangor.

Penulis yang berkunjung ke rumah nenek Kama Mirezzanial, Rajemah Sheikh Ahmad, 67, di Taman Permint Jaya, Chendering di sini, terpegun melihat keletah dan keadaan fizikal si kenit itu yang lebih mesra dengan panggilan Zanial.

Walaupun sudah memasuki usia Tahun Satu, keadaan fizikal Zanial tidak seperti rakan sebayanya, malah dia hanya berdiri setakat pinggang adiknya Kamarya Myzara, empat tahun, sekali gus setiap yang melihat pasti menyangka Zanial yang hanya seberat 4.8 kilogram adalah adik.

Kama Rezmee berkata, Zanial tidak ada masalah kesihatan dan dia seorang yang periang kecuali agak pemalu dengan orang yang belum pernah ditemuinya.

Dengan keadaan fizikal yang menyamai bayi berusia dua tahun, Kama Rezmee berkata, Zanial sentiasa menjadi perhatian ramai apabila mereka keluar bersiar-siar dan ramai yang akan mengambil kesempatan mendukung anak sulung daripada dua beradik itu.

"Zanial dilahirkan di Hospital Putrajaya menerusi pembedahan ketika kandungan isteri saya lapan bulan.

“Selepas dilahirkan, Zanial hanya sebesar tapak tangan dan beratnya 550 gram, manakala jari tangan sebesar batang mancis dengan kepala sebesar bola tenis,” katanya yang mengakui berasa bangga mempunyai seorang cahaya mata dikategorikan sebagai insan istimewa.

Kama Rezmee yang juga anak kepada pasangan atlit olahraga negara Allahyarham Kamaruddin Maidin dan Rajemah, kini berada di rumah ibunya di Terengganu bagi merayakan Aidilfitri.

Selepas dilahirkan, Zanial ditempatkan dalam wad khas selama 10 hari dan kemudian diletakkan dalam inkubator selama 75 hari dan ketika itu keluarga dimaklumkan peluang untuk Zanial hidup sekitar 35 peratus saja.

Rejemah pula berkata, keluarga dimaklumkan doktor tumbesar Zanial terbantut kerana menghidap ‘Sindrom Sackle’ dan mereka mengalami gejala itu mempunyai wajah hampir serupa.

“Saya terpanggil untuk memberitahu kepada media apabila membaca akhbar Berita Harian sebelum ini yang melaporkan mengenai Khagendra, lelaki kedua terpendek di dunia kerana saya juga mempunyai cucu lelaki yang mana dari segi saiz fizikal dan rupa parasnya hampir sama dengan Khagendra.

“Zanial tidak ada masalah kesihatan dan sentiasa riang dan boleh berkomunikasi dengan baik walaupun percakapannya seperti kanak-kanak baru belajar bercakap,” katanya sambil menambah Zanial kini mengikuti pembelajaran dari rumah kerana bimbang keselamatannya jika dihantar ke sekolah.

Sementara itu, The Malaysia Book of Records yang dihubungi berkata, pihaknya akan memeriksa kriteria ditetapkan sama ada Zanial layak menyandang status lelaki terpendek di dunia.

Menurut wartawan penyelidiknya, Myra Dzaman, usia Zanial masih kanak-kanak berbanding Junrey dan Khagendra yang dalam lingkungan umur belasan tahun.

Sebelum ini, status lelaki terpendek di dunia dipegang He Ping Ping dari China yang tinggal di Inner Monggolia dengan ketinggian 74.6 sentimeter. Bagaimanapun, beliau sudah meninggal pada Mac lalu ketika berusia 22 tahun.

~ http://bajonzjambul.blogspot.com ~
~ http://bajonzphoto.blogspot.com ~

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...