Sports Photography
-
* Sports Photography*
*Price start from rm200*
*Sports ~ Football, Futsal, Golf, Badminton, etc*
Call/SMS/WhatsApp : *016.3603644*
*Klik sini untuk W...
Saturday, September 24, 2011
HIV jangkit melalui makanan dikunyah
KAJIAN terbaru dari Afrika Selatan mendapati, lebih daripada dua pertiga ibu dan penjaga positif HIV yang memberikan makanan yang mereka kunyah kepada bayi masing-masing, berkemungkinan meletakkan bayi mereka berisiko tinggi mendapat jangkitan virus berbahaya itu.
Walaupun melalui kajian tersebut penyelidik tidak bertanyakan soalan kepada penjaga berkenaan sama ada mereka mempunyai virus HIV atau tidak semasa perbincangan mengenai pemberian makanan kepada bayi diadakan, tetapi setengah daripada mereka ditemu ramah di klinik HIV.
Kebanyakan penjaga yang mengunyah makanan juga didapati mengalami penyakit mulut seperti gusi berdarah dan bengkak mulut tetapi masih lagi memberikan makanan yang dikunyah mereka kepada bayi.
Hal ini secara tidak langsung menyebarkan penyakit tersebut kepada bayi yang dijaga sekiranya mulut bayi tersebut luka.
Kajian terkini yang dilakukan oleh Dr. Aditya Gaur, di Hospital Kanak-Kanak St. Jude di Memphis, Amerika Syarikat juga mendapati amalan kunyahan makanan telah menular di kalangan masyarakat setempat.
"Seterusnya kita akan melihat sejauh mana risiko pengamalan pemindahan pathogens ini akan berlaku," katanya kepada Reuters.
Dr. Gaur merupakan salah seorang penyelidik pertama yang mengkaji permasalahan tersebut di Amerika Syarikat. Tetapi secara amnya dia mendapati bukti-bukti yang menunjukkan kes-kes tersebut adalah sedikit.
Dalam pada itu, kajian terbaru yang diketuai oleh Dr. Elke Maritz dari Hospital Kanak-Kanak Tygerberg dan Universiti Stellenbosch di Cape Town, juga tidak dapat membuktikan terdapatnya kaitan antara kunyahan makanan dan jangkitan HIV kepada bayi.
Tetapi penjaga-penjaga perlu mengetahui risiko-risiko yang bakal dihadapi terutama sekali di kawasan yang mempunyai jumlah penyakit HIV dan hepatitis B yang tinggi.
Mereka juga perlu mengetahui cara lain bagaimana bayi boleh mengalami jangkitan tersebut selain melalui makanan yang telah dikunyah.
Dalam kajian tersebut, Maritz dan rakan-rakan yang lain telah menemu bual 154 penjaga bayi terutama ibu-ibu di tempat menunggu HIV, klinik ibu mengandung dan juga rumah kanak-kanak.
Dua pertiga daripada mereka atau 106 orang menyatakan bahawa bayi mereka diberi makanan yang telah dikunyah oleh mereka.
Sebanyak 55 orang daripada mereka pula mengalami penyakit mulut seperti gusi berdarah dan bengkak mulut dan 41 daripada jumlah tersebut dilaporkan memberi makanan yang mengandungi darah kepada bayi mereka.
Begitupun, perkara tersebut merupakan senario biasa yang sering dialami bayi ketika menerima makanan yang telah dikunyah sama ada dari ibu mereka ataupun penjaga mereka.
"Laporan mengenai makanan yang bercampur dengan darah bukan lagi satu perkara yang merunsingkan mereka malah bayi-bayi tersebut turut mengalami penyakit mulut," ujar Maritz lagi.
Para penjaga yang ditemui memberitahu, mereka melakukan perkara tersebut (mengunyah makanan) bertujuan untuk merasa makanan tersebut terlebih dahulu sama ada panas atau tidak sebelum diberikan kepada bayi masing-masing.
Kebanyakan daripada mereka turut memberitahu bahawa mereka dinasihati berbuat demikian oleh ibu masing-masing dan mereka juga tidak mengetahui risiko yang bakal dihadapi.
"Berdasarkan kepada amalan yang dilakukan oleh masyarakat setempat sebelum ini, mengunyah makanan merupakan perbuatan biasa yang sering dilakukan oleh penjaga-penjaga dan mereka juga tidak diberitahu semasa ditemu ramah sekali gus tidak mengesyaki sesuatu yang buruk melalui amalan tersebut," kata Maritz.
Tambahnya lagi, sebenarnya mengunyah makanan bukanlah satu perbuatan yang salah atau teruk dan perbuatan ini sering dilakukan oleh keluarga yang tidak berkemampuan untuk memiliki peralatan yang boleh menghancurkan makanan.
Bagaimanapun, menurut Gaur pula, ia amat penting untuk seimbangkan risiko kekurangan makanan dengan potensi yang dapat memindahkan penyakit HIV melalui makanan yang dikunyah.
Tambah Gaur, sebaik sahaja para penyelidik mendapat gambaran sebenar mengenai masalah tersebut dan bagaimana mudahnya virus HIV dapat dipindahkan melalui makanan yang dikunyah, doktor-doktor akan memberi nasihat kepada pesakit mengenai risiko yang bakal dihadapi. Tetapi semua ini memerlukan penyelidikan yang lebih mendalam.
"Bila anda menyedari akan segala risiko ini, anda akan berkongsi bersama pesakit-pesakit dan dalam masa yang sama anda juga harus menyedarkan masyarakat setempat mengenai segala risiko-risiko ini.
"Kajian ini perlu diterjemahkan ke dalam bentuk kaunseling dan juga amalan seharian," katanya. - Reuters
~ http://bajonzjambul.blogspot.com ~
~ http://bajonzphoto.blogspot.com ~
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment