Pelakon dan penyanyi Watie (Elite) tidak akan menghiraukan dengan cakap-cakap orang menuduhnya mahu mencari publisiti murah dan menunjuk-nunjuk apabila memilih untuk mengadakan majlis resepsi perkahwinan kali keduanya bersama aktor Joey Daud.
Watie atau nama sebenarnya Norwati Sadali, 36, berkata tempoh yang singkat di antara majlis resepsi pertama pada 1 Mei lalu dengan yang kedua ini bertujuan untuk meraikannya rakan-rakan industri seni dan para peminat yang tidak berpeluang menghadiri majlis resepsi pertama tempoh hari.
“Saya tidak anggap majlis resepsi untuk kali kedua ini sebagai sesuatu yang melampau atau keterlaluan. Malah, saya tidak kisah kalau ada yang beranggapan begitu.
“Niat saya ikhlas untuk meraikan rakan artis, krew-krew industri seni dan para peminat yang tidak dapat menghadiri majlis resepsi kami pada 1 Mei lalu. Saya harap orang ramai tidak salah faham,”
Majlis resepsi Watie dan Joey, 38, akan diadakan pada pukul 8.30 malam, Sabtu ini di perkarangan Mydin Mall, Subang Jaya dekat sini bersempena Festival Kerja Kahwin ke-7.
Watie dan Joey bernikah secara rahsia pada 22 Disember tahun lalu di kediamannya di Bukit Antarabangsa dekat sini dengan berwalikan adiknya Mohd Nor Azni Sadali.
Majlis resepsi Watie dan Joey pada 1 Mei lalu diadakan di kediaman Setiausaha Akhbar Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Ruhaidini Abd Kadir.
Watie berkata, dia dan suami bersetuju untuk menerima tawaran seorang rakan yang juga penganjur festival perkahwinan itu kerana mahu berkongsi kegembiraannya dengan peminat dalam skala majlis yang lebih besar.
“Memang saya simpan hasrat untuk bersanding depan peminat dan rakan-rakan. Pada majlis resepsi pertama tempoh hari, ia dibuat dalam skala kecil saja. Apabila rakan saya menjemput kami menyertai festival perkahwinan pada Sabtu ini, saya berasa teruja dan terharu.
“Saya hanya mahu berkongsi kegembiraan dengan peminat dan insan-insan yang banyak membantu saya dalam bidang seni selama ini,” katanya yang dijangka mengundang sekitar 300 tetamu pada majlis itu nanti.
Terbaru, Watie sedang sibuk di lokasi penggambaran telefilem untuk musim Aidilfitri nanti berjudul Raya Bujang Sore untuk RTM.
~ http://bajonzjambul.blogspot.com ~
~ http://bajonzphoto.blogspot.com ~
No comments:
Post a Comment