Impian manusia terpantas di dunia, Usain Bolt untuk mencecah pecutan 9.4 saat dalam acara 100m bukan mustahil, demikian rumusan hasil kajian matematik yang dijalankan sekumpulan saintis Belanda.
Para pengkaji Universiti Tilburg merumuskan bahawa Bolt, yang bersiap sedia untuk mempertahankan kejuaraan Olimpik di London di samping memperbaharui rekod dunia 9.58s miliknya, mampu merealisasikan objektifnya untuk melepasi garis penamat 0.2saat lebih pantas daripada rekod sekarang.
"Usain Bolt menyatakan sasarannya untuk berlari 9.4s dan mengikut hasil kajian kami ia pencapaian yang munasabah kerana batasan had untuk rekod dunia semasa ialah 9.36s," kata salah seorang pengkaji, Sander Smeets.
Kaedah kajian yang digunapakai merangkumi model statistik dan matematik yang dihimpunkan melalui catatan masa terbaik daripada 1,034 atlet lelaki terbaik sejak 1991, jelas Smeets.
Kajian baru itu sekali gus menutup hasil keputusan kajian terdahulu yang dibuat pada 2008, ketika itu menyatakan 'had rekod dunia' adalah setakat 9.51s.
"Pada 2008 rekod Usain Bolt masih belum dimasukkan dalam data kami dan kajian diterbitkan sebelum Olimpik (Beijing)," jelas Smeets sambil menambah versi awal menggunakan hanya 762 sampel atlet.
Smeet mengharapkan kajian terbaru ini akan memberi rangsangan untuk pelari pecut seperti Bolt terus cuba menurunkan catatan masa acara 100m.
Bintang Jamaica itu dalam satu wawancara ekslusif bersama akhbar The Sunmenyatakan dia berupaya mencecah 9.4s tetapi catatan masa itu adalah batasnya tidak kira berapa banyak usaha dicurahkan dalam latihan pada masa akan datang.
Sementara itu, Birmingham Bolt diisytiharkan cergas sepenuhnya untuk mempertahankan tiga pingat emas Olimpik, seperti yang dimaklumkan oleh pasukan perubatan Jamaica bahawa prestasi raja pecut itu berada pada landasan.
Bolt yang sebelum ini bergelut dengan masalah kaki dan belakang, tewas kepada rakan sepasukan Yohan Blake dalam acara 100m dan 200m ketika saingan percubaan masa Olimpik di Jamaica.
Namun doktor, Winston Dawes berkata, dia menjangka prestasi Bolt akan berada di puncak ketika acara trek dan padang bermula pada 3 Ogos ini.
"Dia (Bolt) kembali cergas. Dia telah menjalani latihan dengan baik malah prestasinya berada di landasan.
"Kami jangka dia cergas sepenuhnya ketika Olimpik bermula. Dia mengalami kekejangan pada kaki kerana pernah mengalami kemalangan sebelum ini dan mungkin sedikit mengganggu dirinya," katanya. - AGENSI
~ http://bajonzjambul.blogspot.com ~
~ http://bajonzphoto.blogspot.com ~
No comments:
Post a Comment