Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500 kepada semua penjawat awam.
Ini termasuklah bayaran khas juga sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan.
Bayaran bonus itu akan dibuat pada 9 Ogos, demikian menurut kenyataan perdana menteri yang juga menteri kewangan, pada lewat petang Rabu.
Pemberian bonus dan bayaran khas itu akan memanfaatkan seramai 1.27 juta penjawat awam persekutuan dan 657,000 pesara kerajaan.
Najib berkata, pemberian bonus dan bayaran khas kewangan itu dibuat berdasarkan kedudukan dan kemampuan kewangan semasa kerajaan.
Beliau menambah, bayaran itu akan melibatkan anggaran perbelanjaan sebanyak RM2.2 bilion.
Jelas Najib lagi, pemberian bonus dan bayaran khas kepada pesara kerajaan itu merupakan penghargaan kerajaan kepada kakitangannya dan juga pesara kerajaan.
"Kerajaan sentiasa prihatin dan sangat menitikberatkan kebajikan penjawat awam dan para pesara kerajaan," katanya lagi.
Beliau berharap langkah itu dapat membantu mereka membuat persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri bulan depan.
~ http://bajonzjambul.blogspot.com ~
~ http://bajonzphoto.blogspot.com ~
No comments:
Post a Comment