Penyanyi Wan Norafizah Ariffin atau Nora mengakui mempunyai perasaan teruja apabila disahkan sedang hamil dua bulan walaupun usianya kini telah mencecah 39 tahun.
Nora berkata, walaupun cepat berasa letih namun dia gembira untuk menyambut anak keempatnya itu kerana dia dan suami iaitu komposer Johan Nawawi memang berhasrat menambah bilangan ahli keluarga.
"Alhamdulillahlah semenjak berhijrah dengan bertudung, banyak perkara baik telah berlaku dalam hidup saya.
"Kehadiran orang baru ini adalah berita paling istimewa buat saya dan keluarga dan mengharapkan kandungan kali ini dapat membesar dengan sempurna," ujarnya semasa sidang media pelancaran album terbarunya berjudul Hikmah: Nora, di sini pada Khamis.
Bercerita tentang kehamilannya itu Nora berkata, seperti kebanyakan ibu mengandung lain dia tidak terkecuali mengalami alahan dan mengidam makanan yang pelik.
"Setakat ini semua berjalan lancar cuma saya cepat penat mungkin kerana faktor usia. Perkara paling pelik saya minta daripada suami pun adalah sup lidah," katanya.
Nora telah pun mempunyai tiga cahaya mata lain iaitu Mohd Syakir Iman, 19, Mohd Syakir Alif, 13, dan Putri Nor Dahlia, 8, hasil perkongsian hidupnya bersama Johan.
Dalam pada itu, bercakap mengenai album terbarunya, Nora berkata, Hikmah:Nora adalah album berkonsepkan kerohanian, kasih sayang dan kehidupan bertepatan dengan penghijrahan dirinya itu.
Nora berkata, setiap lagu yang dimuatkan dalam album tersebut mempunyai sejarah tersendiri sejak pembabitannya dalam bidang hiburan kira-kira 20 tahun lalu.
"Album ini menampilkan 15 buah lagu yang dirakam dan diedarkan sebagai 'single' sebelum ini dan mesej disampaikan adalah bersesuaian dengan penghijrahan saya.
Tambah Nora, dia juga turut merakamkan semula lagu popularnya, Di Persimpangan Delima dengan menampilkan lirik baru berjudul Hikmah bersesuaian dengan konsep album tersebut.
Nora berkata, dia mengambil masa hampir tiga bulan untuk memilih lirik bagi memastikan ia sesuai dengan melodinya.
"Saya memilih lirik daripada Amran Omar kerana ia paling sesuai menggambarkan konsep keseluruhan album itu," katanya.
Selain Hikmah, antara lagu lain yang turut dimuatkan antaranya Puisi Hidup, Terima Kasih Ibu, Dari Mata Sedih, Cinta Sebenarnya dan Tulus.
Nora turut berduet dengan tiga anaknya menerusi lagu Doa.
Antara komposer yang terlibat adalah Adnan Abu Hassan, Gjie dari kumpulan Sixth Sense, Sharon Paul dan Wan Omar Ariffin.
Dalam perkembangan sama, Nora berharap peminat dan masyarakat akan terus memberi sokongan kepada lagu-lagu berkonsepkan kerohanian supaya ia terus mendapat tempat sekali gus memartabatkan agama Islam.
Sementara itu, pada majlis sama, Nora turut dilantik sebagai duta produk minyak Argan dari Maghribi iaitu Secretleaf.
"Saya bersyukur kerana pihak Secretleaf memberi kepercayaan ini dan bersetuju mewakili mereka setelah mencuba sendiri produk yang ditawarkan, ia ternyata bagus," ujarnya.
~ http://bajonzjambul.blogspot.com ~
~ http://bajonzphoto.blogspot.com ~
No comments:
Post a Comment