Pakej Fotografi Bajonz Jambul Cool Ice cream

Followers

Tuesday, May 22, 2012

Bekas Peguam Cara Negara II Wakili Anwar



Bekas Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusuf Zainal Abiden yang pernah mengendalikan pendakwaan ke atas kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim mengejutkan pelbagai pihak apabila hadir ke mahkamah sebagai salah seorang peguam bela Ketua Pembangkang itu dalam kes Bersih 3.0.
Sejurus selepas Timbalan Pendakwa Raya Abdul Wahab Mohamed memperkenalkan dirinya kepada Hakim Mahkamah Sesyen Mahmud Abdullah, kedengaran sorakan, gelak ketawa dan tepukan daripada penyokong Anwar.
Ketika ditanya oleh pemberita selepas perbicaraan kes itu, Mohd Yusuf berkata; "Saya agen bebas. Datuk Seri Anwar mempunyai hak untuk memilih peguam pilihannya."
"Mereka meminta saya untuk menyertai pasukan itu. Saya sanggup dan mampu."
"Beliau menghubungi saya malam tadi dan saya tidak teragak-agak untuk menyertai barisan pembelaan mereka," katanya.
Ditanya sama ada terdapat konflik kepentingan untuknya mewakili Anwar yang pernah didakwanya sebelum ini, beliau berkata: "Saya tidak menyertai sebuah parti politik. Saya hanya seorang peguam bela. Saya tidak mempunyai hubungan politik. Saya seorang yang profesional."
Ketika ditanya sama ada tindakan itu sebenarnya untuk mencabar Peguam Negara, beliau menafikan spekulasi tersebut dengan menyatakan bahawa "Saya tiada isu peribadi. Tiada komen."
Mohd Yusof mengambil keputusan bersara pada 1 Februari lalu dan meninggalkan Jabatan Peguam Negara untuk menubuhkan firma guamannya sendiri.
Ketika ditanya sama ada beliau akan terus mewakili Anwar, Mohd Yusof berkata; "Ia bergantung kepada keadaan."
Sementara itu, ketua peguam bela Anwar, Karpal Singh berkata, beliau mengalu-alu kehadiran Mohd Yusuf untuk menyertai pasukan pembelaan tersebut.
"Ia adalah kes pertama untuknya sebagai seorang peguam bela. Dia memilih untuk bersama dengan kami. Saya berada di sini untuk membimbingnya," kata Karpal.
Karpal berkata, beliau terkejut selepas mengetahui berita tersebut daripada Anwar pada malam Isnin tetapi tidak membantahnya.
"Beliau pendakwa berpengalaman. Ia bukan satu keputusan yang mudah untuknya. Kami tidak meragui keputusannya itu. Datuk Mohd Yusuf secara sukarela menyertai pasukan kami," katanya.
Seorang lagi peguam bela Anwar, S.N.Nair berkata, Anwar mendapatkan khidmat rundingannya jika terdapat konflik kepentingan berhubung tindakan Mohd Yusuf mewakili beliau.
"Kami tidak melihat konflik dan tidak membantah beliau untuk menyertai pasukan kami," katanya.


~ http://bajonzjambul.blogspot.com ~
~ http://bajonzphoto.blogspot.com ~

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...