China tidak pernah kalah setiap kali layak ke final Piala Thomas dan esok mereka akan memburu gelaran kesembilan selepas menundukkan Jepun 3-0 pada separuh akhir, semalam.
Turun sebagai pilihan pertama, juara empat kali berturut-turut itu bakal ditentang pilihan kedua, Korea Selatan, yang menempah tiket akhir buat kali kedua dalam sejarah 63 tahun kejohanan selepas menumbangkan gergasi Eropah, Denmark 3-1.
Kemaraan China semalam tidak diraih dengan mudah dan semua pemain mereka diberi tentangan hebat, bermula dengan juara Olimpik, Lin Dan yang bekerja keras serta ketinggalan beberapa kali sebelum menjinakkan Sho Sasaki 21-23, 17-21 untuk mata pertama.
Pasangan No. 1 dunia, Cai Yun-Fu Haifeng turut berhempas pulas ketika menentang Shoji Sato-Naiki Kawamae tetapi bantuan penyokong tuan rumah menaikkan semangat kepada mereka untuk meraih mata kedua 25-23, 21-18.
Pemain No. 3 dunia, Chen Long mengesahkan kemenangan China selepas menundukkan naib juara All England 2010, Kenichi Tago 21-13, 21-16.
“Korea dan China memiliki ramai pemain muda, jadi perlawanan akhir akan menguji keupayaan pemain-pemain ini. Bagi saya, bertemu Lee Hyun Il pula tidak mudah, dia nampak amat mantap sejak kembali daripada persaraan," ujar juara dunia empat kali, Lin Dan.
Satu lagi separuh akhir Denmark memberi tentangan habis-habisan dalam usaha mencari tiket final kali kesembilan, namun pada akhirnya Lee Yong Dae-Kim Sa Rang menjulang Korea dengan menumpaskan Jonas Rasmussen-Joachim Fischer Nielsen 11-21, 21-19, 21-15.
Pemain veteran, Lee Hyun Il sebelum itu meletakkan Korea di depan menerusi kemenangan 17-21, 21-14, 21-10 ke atas Peter Hoeg Gade, tetapi Denmark menyamakan kedudukan 1-1 selepas Yoo Yeong Seong-Ko Sung Hyun tumpas 10-21, 12-21 kepada Carsten Mogensen-Mathias Boe.
Aksi mantap Shon Wan Ho dalam perseorangan kedua membolehkannya menumpaskan Jan O Jorgensen 21-13, 14-21, 21-16 untuk Korea kembali di depan, sebelum Yong Dae-Sa Rang melengkapkan kemenangan 3-1.
~ http://bajonzjambul.blogspot.com ~
~ http://bajonzphoto.blogspot.com ~
No comments:
Post a Comment