Pakej Fotografi Bajonz Jambul

Followers

Saturday, May 19, 2012

95% pilih Red Warriors juara



Memang ramai yang meletakan Kelantan sebagai pemenang pada pentas akhir Piala FA hari ini namun ia bukanlah senario yang digemari oleh jurulatih Red Warriors, Bojan Hodak.

Ini kerana katanya, status pasukan pilihan memberikan bebanan tambahan kepada para pemainnya.
Dia yang bimbang pemain akan dibuai sikap terlalu yakin, mengingatkan skuadnya supaya tidak sesekali memandang rendah kemampuan Sime Darby pada pertembungan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

"Masalah utama saya ialah 95 peratus peminat mengatakan kami akan menang.
"Ia memberikan tekanan dan boleh menyebabkan pemain bersikap terlalu yakin.
"Sebaliknya Sime Darby tidak perlu bimbang apa-apa kerana mereka dilabel bukan pilihan, " katanya pada sidang media perlawanan akhir Piala FA di sini semalam.

Namun Bojan tetap yakin terhadap kemampuan anak-anak buahnya yang konsisten dalam setiap pertandingan.
Lantaran itu dia berharap pemain mempamerkan persembahan cemerlang untuk merangkul kejuaraan pertama Piala FA dalam percubaan kali ketiga.

"Kami melepasi peringkat kumpulan Piala AFC dan konsisten dalam liga, skuad ini mempunyai pemain yang baik tidak kira dalam kesebelasan utama atau pemain simpanan.

"Pemain saya ada karakter tersendiri, sekiranya ketinggalan, mereka mampu bangkit dan tidak pernah berputus asa, " katanya.
Pengurus Kelantan, Azman Ibrahim juga tidak mahu pemain memandang rendah kemampuan skuad Ismail Zakaria.
"Harap-harap, selepas dua kali kecewa di final, biarlah giliran kami pula menjadi juara Piala FA dan pasukan pertama membawa pulang trofi rekaan baru Piala FA, " katanya.

Ketua pasukan, Mohd. Badhri Mohd. Radzi atau Piya mahu memastikan Piala FA ke Kota Bharu.
Katanya, dia mahu menghadiahkan trofi tersebut kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang digantung, Tan Sri Annuar Musa.

"Saya rasa terharu kerana Tan Sri sanggup turun membeli tiket dan datang sebagai penonton biasa untuk memberikan sokongan kepada Kelantan, " katanya.


~ http://bajonzjambul.blogspot.com ~
~ http://bajonzphoto.blogspot.com ~

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...