Dua gol pertahanan veteran Sweden, Olof Mellberg memaksa England mengerah keringat habis-habisan sebelum berjaya menundukkan lawan 3-2 Stadium Olimpik Kiev, pagi ini.
Dalam perlawanan yang cukup dramatik itu, penyerang Manchester United, Danny Welbeck menjadi wira England apabila menghasilkan gol kemenangan hasil kebijaksanaan bintang Arsenal, Theo Walcott yang bertindak cemerlang mengucar-kacirkan pertahanan lawan.
Dua lagi gol dijaringkan penyerang Liverpool, Andy Carrol pada minit ke-24 dan Walcott pada minit ke-64.
Minit ke-8, England melalui Scott Parker seakan memberi amaran awal apabila pemain tengah itu merembat deras dari luar kotak penalti sekali gus memaksa penjaga gol lawan, Andreas Isaksson melayangkan badan ke kanan gawang untuk meyelamatkan keadaan.
Dua minit kemudian, pemain tengah Sweden Sebastian Larsson pula mencuba nasib dari luar kotak penalti. Rembatan padunya dari jarak kira-kira 25 meter bagaimanapun tepat ke dakapan penjaga gol England, Joe Hart.
Gol sulung England hadir pada minit ke-24 apabila hantaran jauh kapten pasukan, Steven Gerrard tepat kepada Carrol di dalam kotak penalti yang melonjak tinggi bagi menanduk bola ke kanan gawang menewaskan Isaksson.
Penyerang AC MIlan, Zlatan Ibrahimovic kemudiannya cuba menyamakan kedudukan menerusi rembatan dari luar kotak penalti pada minit ke-33. Hart bagaimanapun lebih bersedia apabila kemas memegang bola biar pun ia terlebih dahulu mengenai rakan sepasukan di barisan pertahanan.
Empat minit perlawanan bersambung di babak kedua, Sweden memperolehi gol penyamaan apabila bola rembatan Melberg mengenai pertahanan England, Glen Johnson sebelum melantun ke dalam gol.
Hanya 10 minit berlalu, penyokong Sweden sekali lagi melonjak kegembiraan apabila tandukan Melberg yang tidak dikawal menggegar jaring untuk mereka mendahului 2-1.
Melihatkan aksi James Milner yang kurang menjadi, Roy Hodgson menggantikannya dengan Walcott pada minit ke-61.
Nyata percaturan itu tepat apabila Walcott menjaringkan gol penyamaan tiga minit kemudian menerusi rembatan bersahaja dari luar kotak penalti yang mengenai pertahanan lawan sekali gus menewaskan Isaksson.
Perlawanan bertukar rancak selepas itu dengan kedua-dua pasukan saling mengasak bagi menambah jaringan.
Ibrahimovic terus mengancam dengan rembatan deras dari luar kotak penalti pada minit ke-76 yang memaksa Hart melayangkan badan ke sebelah kanan pintu gol bagi menepis bola keluar.
Tersentak dengan percubaan itu, England mengatur gerak yang menyaksikan Walcott menggunakan kepantasannya untuk melarikan bola ke penjuru kiri gawang lawan sebelum menghantar kepada Welbeck untuk diterjemahkan menjadi gol ketiga England pada minit ke-78.
Gerrard berpeluang untuk menambah jaringan namun sepakan volinya setelah menerima hantaran Walcot terlalu lemah untuk menewaskan penjaga gol lawan meskipun dalam keadaan satu lawan satu pada minit-minit terakhir perlawanan. - AGENSI
~ http://bajonzjambul.blogspot.com ~
~ http://bajonzphoto.blogspot.com ~
No comments:
Post a Comment