Belanda menjadi pasukan pilihan pertama tumbang pada Euro 2012 apabila kalah 1-0 kepada Denmark pada perlawanan sulung Kumpulan B, awal pagi tadi.
Pemain dari kelab Brondby, Michael Krohn-Dehli menjadi wira Denmark apabila jaringan tunggalnya pada minit ke-24 memastikan tiga mata berharga walaupun pada awal perlawanan tidak ramai memberikan harapan kepada skuad bimbingan Morten Olsen itu untuk mencatatkan sebarang kemenangan.
Biarpun menguasai sebahagian besar perlawanan termasuk melepaskan 32 percubaan ke arah gawang Denmark, tiada satu pun yang mampu menembusi kekentalan pertahanan Denmark di samping kecekapan Stephan Andersen menjadi penghalang The Oranje.
Robin Van Persie sepatutnya meletakkan Belanda di hadapan pada minit ketujuh tetapi bola melalui rembatan kaki kirinya tersasar dari gawang walaupun tidak dicabar oleh mana-mana pemain di dalam kotak penalti.
Ketika Belanda leka mengasak, Krohn-Dehli dari arah sebelah kiri melakukan larian cantik melepasi kawalan Gregory Van Der Wiel dan John Heitinga sebelum melepaskan rembatan leret yang melalui celah kelangkang penjaga gawang Belanda, Maarten Stekelenburg.
Gol itu ternyata mengejutkan Belanda yang melakukan asakan menggila bagi mencari gol penyamaan dan Arjen Robben hampir menemui sentuhan penyudah pada minit ke-36 namun tiang menjadi penghalang ketika Andersen sudah tertewas.
Aksi penyerang Arsenal, Van Persie terus tidak menjadi apabila sekali lagi percubaannya dapat dihadang oleh Andersen biarpun berada dalam situasi terbuka untuk menjaringkan gol pada minit ke-43.
Terdesak tidak mahu dimalukan oleh lawan yang dianggap bukan pasukan pilihan dalam Euro 2012, jurulatih Belanda, Bert van Marwijk memasukkan Klaas-Jan Huntelaar dan Rafael Van der Vaart pada pertengahan separuh masa kedua.
Situasi itu tidak banyak mengubah rentak Belanda dengan Andersen sekali lagi muncul watak penting buat Denmark apabila cemerlang menyelamatkan dua percubaan berturut-turut Belanda apabila menafikan percubaan Huntelaar sebelum menampan rembatan Van Persie pada minit ke-74.
Belanda terus buntu mencari gol penyamaan dan mereka bertambah kecewa apabila pengadil enggan memberikan sepakan penalti kepada Belanda walaupun terdapat dua insiden bola terkena tangan pemain Denmark di dalam kotak penalti pada 10 minit terakhir perlawanan.
Kekalahan itu pasti memberikan tamparan hebat kepada Belanda yang wajib mencari kemenangan ke atas dua lagi baki perlawanan akan datang ketika bertemu Portugal dan Jerman
~ http://bajonzjambul.blogspot.com ~
~ http://bajonzphoto.blogspot.com ~
No comments:
Post a Comment