Pakej Fotografi Bajonz Jambul Cool Ice cream

Followers

Tuesday, February 7, 2012

Piala Thomas 2014 lebih teruk


Dengan jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei mungkin sudah bersara dua tahun dari sekarang, beberapa pemain muda, termasuk juara remaja dunia, Zulfadli Zulkifli berada dalam radar untuk membawa cabaran negara pada Piala Thomas 2014.

Sedangkan ketika Chong Wei dan bekas juara All England, Muhammad Hafiz Hashim masih mampu menyumbang kudrat, kedudukan Malaysia untuk layak ke pusingan akhir sudah terancam, tidak dapat dibayangkan apa akan berlaku kepada pasukan negara apabila kedua-dua pemain ini tidak lagi beraksi nanti.

Anggota Pasukan Prestasi Tinggi (HPT), Datuk James Selvaraj menamakan Zulfadli, Liew Daren, Mohd. Arif Latif, Misbun Ramdan Misbun dan Goh Soon Huat sebagai bayangan perseorangan yang akan menggalas tugas Malaysia dua tahun dari sekarang, ironiknya ia juga tahun di mana Sukan Asia berlangsung di Incheon, Korea Selatan.

Bermakna, semua pemain yang disebut James ini juga adalah calon untuk beraksi pada temasya tersebut, dan jika melihat di mana kedudukan mereka sekarang, memang menakutkan untuk membayangkan nasib badminton negara pada 2014.

Tiada apa yang tidak kena dengan pemain-pemain ini. Semua berbakat dan mempunyai dedikasi tinggi dalam latihan, namun apa yang boleh menentukan sejauh mana mereka mampu berada dua tahun dari sekarang adalah perancangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Kecuali Zulfadli, yang bergerak sebagai pemain bebas dan dinaungi kelab KLRC, semua pemain yang lain adalah produk BAM.

Di kalangan mereka, hanya Daren paling banyak diberi pendedahan, sedangkan yang lain kurang mendapat pendedahan peringkat tinggi, sebaliknya lebih banyak beraksi dalam kejohanan berkualiti rendah.

Justeru tindakan pertama yang perlu dilakukan BAM adalah dengan segera mendedahkan mereka ke kejohanan berstatus lebih tinggi seperti Grand Prix dan Grand Prix Emas untuk mengutip sebanyak mungkin mata ranking dan layak beraksi pula dalam Siri Super serta Siri Super Premier.

James juga mempunyai pandangan bagaimana hendak menjadikan pemain ini cukup kuat untuk menyumbang kemenangan buat Malaysia dalam tempoh dua tahun dari sekarang, iaitu mendapatkan khidmat pakar psikologi tetap buat badminton kerana beliau percaya, kelemahan terbesar pemain muda kita sebenarnya adalah mentaliti mereka yang lemah.

"Memang keutamaan kita tahun ini adalah Sukan Olimpik dan semua pihak menyokong usaha untuk mendapatkan pingat emas pertama, terutama kerajaan tetapi kita tidak sekali-sekali menganggap Piala Thomas tidak penting, sama ada sekarang atau bila-bila pun.

"Sebab itu kita masih menghantar Chong Wei dan memanggil Hafiz untuk beraksi pada pusingan kelayakan di Macau kerana kita mahu memastikan pasukan terbaik membawa cabaran Malaysia dan matlamat kita adalah layak ke pusingan akhir.

"Bagaimanapun selepas Piala Thomas tahun ini berakhir, kita kena segera memikirkan persiapan dua tahun dari sekarang untuk membuktikan keseriusan. Kita perlu ada bayangan pemain dan fikirkan apa yang perlu dilakukan jika Chong Wei tidak bermain lagi ketika itu. Dalam kata lain, pemain-pemain muda yang berpotensi kena dihantar dalam lebih banyak kejohanan besar, mereka kena dipersiapkan fizikal dan mental.

"Saya ada mencadangkan supaya kita mendapatkan seorang pakar psikologi sendiri kerana saya percaya, kelemahan terbesar yang perlu diperbaiki pemain muda adalah mentaliti mereka. Mereka ini tidak ada semangat berjuang, hati mereka kecil apabila berada di atas gelanggang, sedangkan ketika latihan mereka sangat bagus,'' kata James.

~ http://bajonzjambul.blogspot.com ~
~ http://bajonzphoto.blogspot.com ~

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...