Menurut beliau, dalam tempoh lebih tiga tahun menjadi anggota Exco menjaga hal ehwal Islam kerajaan Selangor, beliau cuba menegakkan Islam melalui peruntukan enakmen syariah negeri terhadap orang Islam, tetapi mendapat bantahan kuat daripada DAP dan PKR, dua parti yang bersama Pas membentuk kerajaan negeri Selangor.
"Mereka memberi alasan apa yang saya buat bertentangan dengan prinsip hak asasi, kebebasan untuk buat pilihan dan ada yang menyatakan apa salahnya siang-siang sudah teruk bekerja dan biarlah malam dia melakukan sesuatu yang melegakan dengan girlfriend," katanya semasa ditemuramah dalam program bual bicara Helo Malaysia BernamaTV di saluran 502 Astro malam ini.
Sesi selama satu jam itu dikendalikan bersama oleh Timbalan Ketua Pengarang Bernama, Datuk Zulkefli Salleh dan kolumnis Cuit akhbar Utusan Malaysia, Datuk Zaini Hassan yang juga Penolong Ketua Pengarang akhbar itu.
Hasan berkata, dalam urusan pembangunan, beliau mendapat kerjasama cukup baik daripada rakan-rakan dalam kerajaan negeri tetapi dalam perkara untuk menegakkan Islam tentangan yang diterima amat kuat.
Ketika ditanya tidakkah beliau mendapat sokongan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam urusan Islam, Hasan berkata: "Saya tidak boleh letakkan percentage pada ketua saya, tetapi apa yang saya boleh katakan dalam hal sedemikian saya tidak dapat sokongan padu daripada atas dan teman-teman Exco yang lain... bila tentang Islam, memang banyak halangan".
Hasan, yang dipecat oleh Pas kerana didakwa melakukan perbuatan yang menjejaskan kepentingan parti, berkata prinsip sangat penting dalam perjuangan beliau dan kerana itu beliau sanggup mengorbankan jawatannya untuk menegakkan Islam, Melayu dan Raja.
"Apa yang berlaku pada saya adalah di luar aspek konvensional di mana saya digugurkan bukan kerana salah guna kuasa, tidak bermoral, minum atau liwat, tetapi saya dipecat kerana hendak tegakkan Islam, martabatkan Melayu dan nak tegakkan institusi raja," katanya.
Disebabkan sudah tidak mendapat ruang dalam Pas yang katanya, kini dikuasai oleh golongan parasit, beliau menubuhkan 'Jati' (Jalur Tiga), sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang keahliannya adalah terbuka termasuk kepada ahli Pas dan UMNO jika niat mereka mahu memilih Islam sebagai kuasa ketiga.
Hasan berkata, Jati tidak akan bertanding dalam pilihan raya tetapi akan menjadi kuasa penentu kerana, menurut beliau, ramai orang Melayu dan Islam hari ini sudah putus asa dengan senario politik sekarang.
"Jati boleh bekerjasama dengan UMNO mahupun Pas jika perkara Islam, Melayu dan raja menjadi keutamaan," katanya.
Menyentuh tentang apa yang beliau panggil golongan parasit dalam Pas, Hasan berkata, Pas harus dikembalikan ke tangan ulama.
"Sekarang konsep negara Islam sudah ditinggalkan dan pemimpin (Pas) hari ini hanya bercita-cita untuk ke Putrajaya. Bagi saya Putrajaya itu adalah bandingan yang paling hampir, seharusnya bandingan perlu dibuat lebih jauh, lebih 1,000 kilometer.
"Ini kalau setakat Putrajaya, dia bukan seorang yang layak menjadi pemimpin," katanya.
Katanya, jika Putrajaya jatuh ke tangan golongan parasit itu, negara Islam tidak akan dapat ditegakkan kerana ini sudah dibuktikan di Selangor apabila syariat Islam yang kecil pun susah hendak dilaksanakan.
Hasan melihat golongan parasit semakin mencengkam kuat Pas sehingga kini sudah menjadi majoriti dan memegang kuasa dalam parti itu.
Katanya, dalam kerajaan Pas negeri Kelantan juga wujud parasit yang dekat dengan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. - BERNAMA
~ http://bajonzjambul.blogspot.com ~
~ http://bajonzphoto.blogspot.com ~
No comments:
Post a Comment