Gandingan bersama Vivian Hoo membolehkan Chong Wei melakar kejutan terbesar ke atas beregu No. 1 negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ging pada final Terbuka Selangor di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.
Chong Wei, yang sudah 10 tahun tidak beraksi dalam acara beregu campuran menang 21-15, 27-25.
Ternyata, kelibat Chong Wei dalam acara baru itu menjadi tumpuan ratusan peminat yang membanjiri stadium.
Dan seperti biasa, dia tidak mengecewakan, malah menghiburkan peminatnya dengan gerakan lincah di gelanggang, pukulan drop shot tajam, smash kencang dan pintar bermain di jaring, cuma bezanya dia tidak bermain keseorangan.
Persembahan Chong Wei - yang kali terakhir beraksi dalam beregu campuran bersama Chin Ee Hui hampir sedekad lalu - tidak kelihatan janggal, sebaliknya seperti beregu profesional.
"Memang tidak menjadi masalah untuk pemain perseorangan beralih ke acara beregu tetapi tidaksebaliknya (beregu kepada perseorangan).
"Kejuaraan Terbuka Selangor memang tidak diduga, lebih-lebih lagi menang ke atas beregu campuran terbaik negara, Peng Soon-Liu Ying.
"Tetapi saya difahamkan Liu Ying mengalami kecederaan pinggang, jadi pergerakannya terbatas dan ini memberi kelebihan kepada saya dan Vivian," kata Chong Wei.
Kejayaan terbaru itu bermakna Chong Wei melanjutkan keunggulan rekod tanpa kalahnya dalam sirkit kebangsaan.
Chong Wei, apabila diajukan soalan sama ada dia pernah mempertimbangkan beralih kepada beregu kelak, menjawab: "Tidak. Saya tidak pernah mengambil serius pasal bermain beregu.
"Niat saya hanya mahu relaks dan berseronok, maklumlah baru kembali dari kelayakan Piala Thomas,'' katanya lagi.
Sementara itu Chong Wei Feng muncul juara perseorangan lelaki selepas menumpaskan Iskandar Zulkarnain Zainuddin 12-21, 21-8, 21-14.
Gelaran beregu lelaki pula milik Koo Kien Keat-Lim Khim Wah yang menumpaskan Tan Wee Kiong-Mak Hee Chung 21-17, 21-19.
Tee Jing Yi meneruskan aksi hambarnya apabila tumpas 21-19, 10-21, 14-21 kepada Lydia Cheah dalam perseorangan wanita.
~ http://bajonzjambul.blogspot.com ~
~ http://bajonzphoto.blogspot.com ~
No comments:
Post a Comment