Pakej Fotografi Bajonz Jambul Cool Ice cream

Followers

Tuesday, May 31, 2016

Juara Ceria Popstar 2016 Kenang Pengorbanan Ibu


KUALA LUMPUR: Juara program Ceria Popstar 2016 Siti Junaidah Bekri atau Jun memberitahu dia terkenang pengorbanan ibunya saat namanya diumumkan sebagai pemenang rancangan berkenaan yang diadakan di Studio Kompleks Studio Merdeka, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) di sini, Jumaat lalu.
Jun, 14, berkata, dia sebak mengenangkan ibunya, Zaiton Ogok yang sanggup bersusah payah termasuk menempuh perjalanan selama lapan jam menaiki bas bersamanya dari Tawau ke Kota Kinabalu bagi membolehkannya menghadiri uji bakat.

"Kerana ibu saya mendapat kemenangan ini, ia membuatkan saya sebak dan tidak dapat menahan air mata saat diumumkan sebagai pemenang.

"Saya masih ingat kami berdua terpaksa tidur di perhentian bas selepas menempuh perjalanan selama lapan jam dari Tawau sebelum kakak sepupu saya membawa kami ke rumahnya.
"Kemenangan ini saya dedikasikan kepadanya atas pengorbanannya yang tidak ternilai," katanya kepada mStar Online.

Menerusi pertandingan itu, Jun yang menyampaikan dua buah lagu iaitu Sesal Separuh Nyawa dan Bahtera Merdeka.

Dengan kemenangan itu Siti Junaidah atau Jun menerima hadiah wang kemenangan sebanyak RM20,000 berserta trofi.

Jun turut menerima Anugerah Bintang Genius tajaan Qu Puteh IQ Genius dan membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 dan trofi.

Dalam pada itu, Jun berkata, hadiah kemenangannya akan diserahkan kepada ibunya untuk membantu meringankan perbelanjaan keluarga.
"Saya tiada apa-apa perancangan dengan wang kemenangan itu sebaliknya saya akan serahkan kepada ibu untuk digunakan sebagai perbelanjaan keluarga.

"Alhamdulillah ini sahaja yang dapat saya bantu bagi meringakan beban mereka," ujarnya.

Sementara itu, Zaiton ketika ditemui tidak menyangka anaknya itu akan menjuarai program berkenaan dan menganggap kemenangan itu sebagai balasan kepada usaha Jun mengejar cita-citanya sebagai penyanyi.

Kata Zaiton, dia sanggup berkorban demi anak kesayangannya itu kerana sedar bakat yang dimilikinya luar biasa dan sentiasa mendoakan agar perjalanan Jun dipermudahkan sepanjang pertandingan.
"Saya tidak pernah mendoakan agar dia mendapat kemenangan itu sebaliknya memohon Allah memudahkan urusannya dan kuatkan hatinya dalam mengharungi pertandingan itu.

"Alhamdulillah rezeki Allah memberi kemenangan kepadanya dan sebagai ibu saya sangat berbangga dengannya," katanya.

Dalam perkembangan sama, mentornya menerusi program itu, Black berkata, sejak bertemu dengan Jun ketika sesi uji bakat dia sudah menjangkakan Jun akan menjuarai pertandingan tersebut.

Ini kerana kata Black, Jun mempunyai kebolehan menyanyi yang luar biasa meskipun secara dasarnya dia adalah seorang kanak-kanak yang pendiam.

"Ketika uji bakat lagi saya mahukan dia dan tahu Jun boleh menang dan tekaan saya tepat.

"Alhamdulillah semua usaha kerasnya yang saya lihat dengan mata sendiri akhirnya terbayar malah dia tidak pernah sekali memberi alasan," katanya.


~ Bajonz Jambul ~
~ Bajonz Photography ~

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...