Pakej Fotografi Bajonz Jambul

Followers

Saturday, December 3, 2011

Kajang Banjir Besar


Hujan lebat yang melanda beberapa kawasan di sekitar daerah ini sejak pukul 2 petang mengakibatkan banjir kilat melanda pusat bandar Kajang dan beberapa kawasan di sekitar daerah ini, petang ini.

Selain pusat bandar Kajang yang dilanda banjir kilat apabila paras air naik setinggi 0.3 meter, banyak kenderaan terperangkap dan ditenggelami air sejak banjir melanda kira-kira pukul 3 petang.

Beberapa premis perniagaan antaranya Plaza Metro Kajang dan Bank Hong Leong cawangan Kajang turut dinaiki air setinggi 0.2, manakala kawasan lain yang terlibat adalah pekan Semenyih berhampiran jalan ke Bangi Lama, Pasar Besar Kajang dan Jalan Jelok.

Selain itu, Sungai Kantan dan Jalan Semenyih berhampiran Klinik Kajang dan Jalan Kelapa turut ditenggelami air.

Di sebuah kedai di pusat bandar Kajang, seorang wanita berusia lingkungan 30-an yang terperangkap dalam banjir itu terpaksa diselamatkan dengan menggunakan tangga oleh orang ramai setelah dia terperangkap di atas bumbung sebuah kereta.

Di Sungai Kantan, banjir turut melanda beberapa kawasan perumahan di situ sehingga menyebabkan sembilan penduduk termasuk tiga warga emas terpaksa dipindahkan setelah terperangkap di rumah masing-masing.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohamad Sani Harul berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian banjir itu kira-kira pukul 3.51 petang.

"Sebanyak 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kajang serta Cheras bergegas ke lokasi kejadian. Kami turut dibantu oleh anggota polis dan skuad penyelamat Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) untuk menjalankan operasi menyelamat mangsa yang terperangkap dalam banjir kilat ini.

"Pemantauan turut dijalankan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini," katanya ketika dihubungi.

Tambah beliau, hujan lebat mengakibatkan paras air di Sungai Jelok melimpah dan membanjiri beberapa kawasan rendah di sekitar pusat bandar Kajang.

"Air dikatakan naik sehingga ke paras pinggang namun banjir kilat ini kembali surut kira-kira pukul 5.30 petang ini," katanya.

Mohamad Sani berkata, sehingga kini, tiada kecederaan mahupun kemalangan jiwa berlaku namun kerugian yang dialami kebanyakan mangsa agak tinggi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, banjir yang berlaku hari ini adalah paling teruk dalam tempoh lima tahun lalu.

"Banyak kenderaan ditenggelami air setelah hujan yang begitu lebat turun di sekitar daerah ini. Polis kini meningkatkan kawalan bagi memastikan keselamatan di kawasan terlibat," katanya

~ http://bajonzjambul.blogspot.com ~
~ http://bajonzphoto.blogspot.com ~

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...