Seramai 32 jemaah haji dari Malaysia dilaporkan meninggal dunia di Tanah Suci setakat ini dan yang kebanyakannya akibat penyakit radang paru-paru, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Beliau berkata, pada musim haji kali ini juga, tidak ramai jemaah haji dari Malaysia dan negara-negara lain dimasukkan ke hospital akibat pelbagai penyakit atau mengalami demam, selesema dan batuk berikutan tindakan kerajaan Arab Saudi yang menekankan aspek kebersihan dan kesihatan di Tanah Suci.
"Ini menjadi petanda usaha yang dibuat kerajaan Arab Saudi. Pertamanya membesarkan Masjid Nabawi dan Masjidil Haram dan begitu juga pergerakan dan kebersihan Kota Mekah dijaga dengan begitu rapi,” katanya kepada pemberita sejurus tiba dari Tanah Suci di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Jamil Khir berkata, hanya 255 jemaah haji Malaysia dimasukkan ke pusat rawatan yang disediakan Tabung Haji dan daripada jumlah itu, tidak sampai 100 pesakit jemaah Malaysia yang masih dirawat di situ.
Tiga lagi jemaah dirawat di hospital milik kerajaan Arab Saudi, kata beliau. – Bernama
No comments:
Post a Comment