Pakej Fotografi Bajonz Jambul Cool Ice cream

Followers

Wednesday, November 7, 2012

Nenek ambil SPM


Seorang guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), Hasanah Abdullah, 55, mencatatkan sejarah tersendiri hari ini apabila menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Guar Chempedak di sini.

Hasanah yang mengambil aliran subjek teras dengan tambahan Bahasa Arab kelihatan sebak dan gembira kerana penantian selama 38 tahun untuk menjadi calon SPM akhirnya berjaya.

Ibu kepada enam orang anak dan nenek kepada tiga orang cucu itu berkata, peristiwa kematian ibu ketika berusia 15 tahun dan kekangan kewangan memaksanya membatalkan hasrat untuk menduduki SPM ketika berusia 17 tahun.

Katanya, setelah ibunya meninggal dunia, dia terpaksa mengambil alih tugas arwah ibu untuk menjaga enam adiknya yang ketika itu masih kecil.

“Selepas ibu meninggal dunia, setiap tahun saya akan menangis dan meminta izin kepada bapa agar dia membenarkan saya bersekolah semula kerana mahu menduduki SPM.

“Pada waktu itu, saya hanya memendam keinginan untuk mengambil SPM dan lulus cemerlang bagi mengejar cita-cita masuk ke universiti," katanya ketika ditemui di sekolah itu hari ini.

Hasanah adalah tenaga pengajar di KAFA Masjid Al-Amin, Sungai Layar, Sungai Petani dan merupakan salah seorang daripada 70 calon SPM yang bertugas sebagai guru KAFA dan belajar di Sekolah Menengah (SM) Langkasuka.

Tambah Hasanah, biarpun terpaksa menduduki SPM pada usia yang lewat, ia bukanlah penghalang demi menambah ilmu pengetahuan dan meningkatkan prestasi akademiknya.

Seorang lagi calon, Mahmud Sri Wijaya Othman, 48, yang merupakan guru KAFA di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Dawai, Sungai Petani berkata, dia tidak berasa kekok untuk berada di dewan peperiksaan demi menimba ilmu.

Bapa kepada lima orang anak itu menjadikan anak sulungnya, Al-Kausar, 18, sebagai pendorong untuk dia berjaya dalam SPM.

“Dahulu saya hanya bersekolah sehingga darjah enam, kemudian sambung ke sekolah Arab dan tidak pernah mengambil peperiksaan SPM,’’ jelasnya.

Pemangku Pengetua SM Langkasuka, K.S Maniam berkata, tahun ini terdapat seramai 147 calon SPM termasuk 70 guru KAFA yang berusia lingkungan 30 tahun hingga 55 tahun dan enam jururawat di sekolah itu.

Katanya, calon yang terlibat tidak hanya membabitkan daerah Yan malah mereka dari serata daerah di negeri ini termasuk Sik, Pendang dan Kuala Muda.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Negeri Kedah, Mansor Lat berkata, pada tahun ini jumlah calon SPM meningkat kepada 38,171 orang berbanding tahun lalu 36,688 orang.

Katanya, jumlah tersebut termasuk sekolah kerajaan, swasta, sekolah agama rakyat dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

“Jumlah pusat peperiksaan yang dibuka pada tahun ini adalah sebanyak 275 buah dan membabitkan 1,738 pengawas peperiksaan," katanya.




~ http://bajonzjambul.blogspot.com ~
~ http://bajonzphoto.blogspot.com ~

1 comment:

  1. Salam,

    Syabas kpd Pn Hasanah semoga berjaya dlm. keputusan pksaan SPM nanti dan menjadi contoh yg. terbaik kepada bangsa Melayu semangat jitunya.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...