Syarikat teknologi berpangkalan di London, Nothing, secara rasmi melancarkan telefon pintar kelas perdana terbaharu mereka, Nothing Phone (3). Peranti itu menjanjikan pengalaman unik dalam reka bentuk, prestasi dan interaksi pengguna.
Nothing Phone (3) membawa evolusi baharu kepada rekaan ikonik Nothing dengan memperkenalkan Glyph Matrix iaitu paparan mikro-LED di bahagian belakang yang memberikan maklumat penting secara visual tanpa perlu membuka skrin. Fungsi ini turut disertakan dengan permainan interaktif dan ikon tersuai untuk kenalan.
Ketua Pegawai Eksekutif Nothing, Carl Pei berkata, Nothing Phone (3) adalah jawapan telefon pintar kelas perdana yang membangkitkan semula keterujaan dan kreativiti.
"Menyentuh aspek fotografi, Nothing Phone (3) menampilkan sistem kamera profesional dengan sensor utama 1/1.3 inci, zum optikal tanpa kehilangan kualiti, serta rakaman video 4K 60fps lengkap dengan penstabilan imej optikal.
"Ia juga menyokong ciri-ciri 'Flip to Record' yang membolehkan pengguna merakam dan mentranskripsi perbualan hanya dengan meletakkan telefon secara terbalik," katanya.
Peranti ini dikuasakan dengan cip Snapdragon 8s Gen 4, Phone (3) menjanjikan peningkatan 36 peratus prestasi CPU, 88 peratus GPU dan kecekapan pemprosesan AI yang lebih pantas berbanding pendahulunya.
Ia dilengkapi bateri 5150mAh berteknologi silikon-karbon dengan pengecasan pantas 65W berwayar dan 15W tanpa wayar.
Paparan AMOLED bersaiz 6.67 inci (16.94 sentimeter) dengan kadar segar semula adaptif 30-120Hz, kecerahan puncak 4500 nits dan nisbah skrin ke badan 92.89 peratus menjadikan pengalaman visual lebih imersif dan responsif.
Sistem operasi Nothing OS 3.5 berasaskan Android 15 turut diperkenalkan dengan tumpuan kepada kesederhanaan dan kepintaran kecerdasan buatan AI. Antara ciri-ciri utama termasuk Essential Search, Essential Space, dan reka bentuk minimalis tanpa label aplikasi.
Nothing Phone (3) ditawarkan dalam dua varian iaitu 12GB RAM + 256GB storan pada harga RM3,299 dan 16GB RAM + 512GB storan pada harga RM3,799.
~ Bajonz Jambul ~
~ Bajonz Photography ~
No comments:
Post a Comment