Johor Bahru: Kru helikopter terhempas di Sungai Pulai, Gelang Patah semalam, Konstabel RG Devendran, 30, masih ditidurkan kerana paru-parunya dijangkiti kuman akibat lemas ketika kejadian nahas berlaku.
Abang mangsa, RG Navindran Raja, 39, berkata, dia terkejut dengan kejadian itu dan tidak menyangka nahas itu membabitkan adik bongsu dari empat beradik.
Katanya, dia mendapat panggilan telefon memaklumkan kejadian menimpa adiknya oleh Ketua Balai Polis Tanjung Kupang, semalam.
"Devendran memang minat untuk menjadi polis dan dia baharu berkhidmat lebih setahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Doktor cuma maklumkan dia masih ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana jangkitan kuman dalam paru-paru, mungkin disebabkan dia lemas ketika kejadian. Mereka tidak menjanjikan apa-apa," katanya ketika ditemui di lobi Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini hari ini.
Navindran yang juga anggota polis dan berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak turut memohon rakyat Malaysia supaya mendoakan keselamatan adik bongsunya itu.
"Kita terpaksa terima perkara ini kerana ia adalah satu kemalangan. Apapun saya minta doakan untuk adik saya agar dia cepat sembuh," katanya.
Sementara itu, kakak ipar kepada Asisten Komisioner Faizul Muhammad iaitu Lizah Omar, 46, pula memaklumkan ini merupakan kali pertama adik iparnya terbabit dalam kemalangan udara.
"Faizul sudah berkhidmat sebagai anggota polis sejak dia bujang lagi dan telah lama menjadi juruterbang helikopter, namun ini kali pertama dia terlibat kemalangan.
"Keadaan dia hari ini lebih baik berbanding semalam, alhamdulillah sudah boleh berbual dan minta kuih untuk dimakan. Dia patah tulang rusuk dan cedera di kepala dan pinggang.
"Sebenarnya Faizul merancang untuk menghantar anak sulungnya mendaftarkan diri di sebuah institusi pengajian tinggi di Terengganu, Ahad ini, tetapi tidak kesampaian kerana masih lagi dirawat di Hospital," katanya.
~ Bajonz Jambul ~
~ Bajonz Photography ~
No comments:
Post a Comment