Bola sepak tempatan semalam dihebohkan dengan berita bintang penyerang England, Michael Owen bakal dilamar oleh pasukan dari Liga Malaysia (Liga-M).
Beberapa laman web sukan tempatan dan rangkaian sosial, Facebook serta Twitter melaporkan sekumpulan usahawan dari Malaysia akan berlepas ke England untuk berbincang dengan pemain berusia 32 tahun itu, yang kini tidak mempunyai kelab selepas kontraknya bersama Manchester United tamat, Jun lalu.
Menurut berita-berita yang tersiar di internet, sekumpulan usahawan tersebut bersedia menaja gaji Owen yang dikatakan hampir mencecah RM1 juta sebulan. Jumlah berkenaan hampir menyamai apa yang telah diberikan oleh United kepadanya musim lalu.
Tidak dinyatakan pasukan manakah yang berminat untuk mendapatkan bekas bintang Piala Dunia England itu, namun Johor FA antara yang dikaitkan dengan pembelian pemain tersebut. Ini kerana Presidennya, Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pernah memberitahu sebuah akhbar tempatan bulan lalu, bahawa beliau berminat untuk membawa masuk beberapa pemain bertaraf dunia, termasuk Owen.
Selain Owen, pemain yang dikatakan turut menarik minat Tunku Ismail adalah dua penyerang Argentina, Andres D'Alessandro (31 tahun) dan Pablo Aimar (32), penyerang Perancis, David Trezeguet (34) serta tonggak tengah Brazil, Elano Blumer, 31.
Selain Johor FA, Kelantan dan Selangor turut dikaitkan dengan Owen malah terdapat versi berita yang menyebut kelab yang mengintai khidmat penyerang itu sedang mendahului kumpulan dalam saingan Piala Malaysia.
Empat pasukan menjadi pendahulu Piala Malaysia ketika ini, LionsXII (Kumpulan A), Angkatan Tentera Malaysia (Kumpulan B), Negeri Sembilan (Kumpulan C) dan Pahang (Kumpulan D).
Biarpun dikaitkan dengan beberapa kelab Liga Perdana Inggeris, namun sehingga tempoh perpindahan pemain ditutup, 31 Ogos lalu, Owen, yang pernah menyarung jersi Liverpool, United, Real Madrid dan Newcastle United masih belum menyertai mana-mana pasukan.
Akhbar Britain sebelum ini melaporkan pemain kelahiran Chester, England itu telah menolak tawaran dua kelab besar Eropah kerana enggan keluar daripada Liga Perdana Inggeris. Pengurus Liverpool, Brendan Rodgers kelmarin menyuarakan minat untuk membawa Owen kembali ke Anfield, maslah minat yang sama disuarakan Stoke City.
Pada zaman kegemilangannya, Owen merupakan bintang besar Liverpool dan England. Dia telah membuat 216 penampilan buat Reds dan menghasilkan 118 gol. Bersama Newcastle United, dia beraksi 71 kali dan menjaringkan 26 gol.
Karier Owen bersama Real tidak begitu gemilang apabila menjaringkan 13 gol daripada 36 perlawanan, manakala di United dia tenggelam bersama hanya lima gol dalam 31 perlawanan. Sepanjang menyarung jersi England dari 1998 hingga 2008, dia telah memiliki 89 cap dan menjaringkan 40 gol.
~ http://bajonzjambul.blogspot.com ~
~ http://bajonzphoto.blogspot.com ~
No comments:
Post a Comment