Pakej Fotografi Bajonz Jambul Cool Ice cream

Followers

Saturday, July 12, 2025

Nothing Phone (3) tampil cip Snapdragon baharu

Syarikat teknologi berpangkalan di London, Nothing, secara rasmi melancarkan telefon pintar kelas perdana terbaharu mereka, Nothing Phone (3). Peranti itu menjanjikan pengalaman unik dalam reka bentuk, prestasi dan interaksi pengguna.

Nothing Phone (3) membawa evolusi baharu kepada rekaan ikonik Nothing dengan memperkenalkan Glyph Matrix iaitu paparan mikro-LED di bahagian belakang yang memberikan maklumat penting secara visual tanpa perlu membuka skrin. Fungsi ini turut disertakan dengan permainan interaktif dan ikon tersuai untuk kenalan.

Ketua Pegawai Eksekutif Nothing, Carl Pei berkata, Nothing Phone (3) adalah jawapan telefon pintar kelas perdana yang membangkitkan semula keterujaan dan kreativiti.

"Menyentuh aspek fotografi, Nothing Phone (3) menampilkan sistem kamera profesional dengan sensor utama 1/1.3 inci, zum optikal tanpa kehilangan kualiti, serta rakaman video 4K 60fps lengkap dengan penstabilan imej optikal.


"Ia juga menyokong ciri-ciri 'Flip to Record' yang membolehkan pengguna merakam dan mentranskripsi perbualan hanya dengan meletakkan telefon secara terbalik," katanya.

Peranti ini dikuasakan dengan cip Snapdragon 8s Gen 4, Phone (3) menjanjikan peningkatan 36 peratus prestasi CPU, 88 peratus GPU dan kecekapan pemprosesan AI yang lebih pantas berbanding pendahulunya.

Ia dilengkapi bateri 5150mAh berteknologi silikon-karbon dengan pengecasan pantas 65W berwayar dan 15W tanpa wayar.

Paparan AMOLED bersaiz 6.67 inci (16.94 sentimeter) dengan kadar segar semula adaptif 30-120Hz, kecerahan puncak 4500 nits dan nisbah skrin ke badan 92.89 peratus menjadikan pengalaman visual lebih imersif dan responsif.

Sistem operasi Nothing OS 3.5 berasaskan Android 15 turut diperkenalkan dengan tumpuan kepada kesederhanaan dan kepintaran kecerdasan buatan AI. Antara ciri-ciri utama termasuk Essential Search, Essential Space, dan reka bentuk minimalis tanpa label aplikasi.

Nothing Phone (3) ditawarkan dalam dua varian iaitu 12GB RAM + 256GB storan pada harga RM3,299 dan 16GB RAM + 512GB storan pada harga RM3,799.



~ Bajonz Jambul ~
~ Bajonz Photography ~

POR Turun, Bank utama Malaysia mula turunkan kadar asas pembiayaan



Kuala Lumpur: Beberapa bank utama Malaysia menyemak semula kadar asas standard (SBR), kadar asas (BR) dan kadar pembiayaan asas (BFR) masing-masing berikutan keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas (bps) daripada 3.00 peratus kepada 2.75 peratus semalam.

RHB Banking Group menurunkan kadar SBR, BR dan BFR masing-masing sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus, 3.50 peratus dan 6.45 peratus setahun, berkuat kuasa hari ini.

Bank itu juga berkata kadar deposit tetap RHB Bank dan RHB Islamic Bank akan diselaraskan turun sebanyak 25 mata asas.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif RHB Bank Datuk Mohd Rashid Mohamad berkata pengurangan ini mencerminkan sokongan berterusan pihaknya terhadap usaha BNM untuk merangsang permintaan dalam negeri melalui dasar monetari yang akomodatif.

"Dengan mengurangkan kos pinjaman, kami membantu isi rumah dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mengurus komitmen kewangan mereka dengan lebih baik sambil menggalakkan penggunaan dan pelaburan di tengah-tengah ketidaktentuan global semasa," katanya.

Sejajar dengan semakan itu, Affin Bank Bhd, Affin Islamic Bank Bhd dan Affin Hwang Investment Bank berkata mereka akan menyemak semula kadar rujukan pinjaman dan pembiayaan masing-masing dengan pengurangan sebanyak 25 mata asas atau 0.25 peratus, berkuat kuasa pada 11 Julai.

Bank-bank berkenaan akan menurunkan kadar SBR, BR dan BFR masing-masing kepada 2.75 peratus, 3.70 peratus dan 6.56 peratus setahun.

Kadar deposit tetap Affin Bank dan kadar deposit berjangka-i Affin Islamic juga akan diselaraskan turun pada tarikh yang sama.

Sementara itu, Public Bank berkata pihaknya akan menurunkan kadar SBR, BR, BLR/ BRF, masing-masing sebanyak 0.25 peratus, berkuat kuasa 11 Julai 2025.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Tan Sri Dr Tay Ah Lek berkata SBR bank ialah 2.75 peratus seiring dengan OPR manakala BR akan dikurangkan kepada 3.27 peratus daripada 3.52 peratus dan BLR/BFR akan dikurangkan kepada 6.47 peratus daripada 6.72 peratus.

"Pada masa sama, kadar deposit tetap Public Bank juga akan diselaraskan menurun, berkuat kuasa pada tarikh yang sama," katanya.

Alliance Bank Malaysia Bhd dan Alliance Islamic Bank Bhd juga mengumumkan penurunan kadar SBR, BR, BLR/BFR masing-masing sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus, 3.57 peratus dan 6.42 peratus setahun, berkuat kuasa 15 Julai, selaras dengan penurunan OPR oleh BNM.

"Sejajar dengan semakan itu, Alliance Bank dan Alliance Islamic Bank juga akan menurunkan kadar deposit tetap mereka pada tarikh yang sama," katanya.

Maybank juga akan menurunkan kadar BR dan BLR masing-masing sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus dan 6.40 peratus setahun, berkuat kuasa pada 11 Julai, selaras dengan penurunan kadar OPR semalam.

Bank itu berkata kadar pembiayaan asas Islam akan diturunkan sebanyak 25 mata asas daripada 6.65 peratus kepada 6.40 peratus setahun.

Selaras dengan semakan itu, kadar deposit tetap Maybank dan Maybank Islamic juga akan diselaraskan turun sebanyak 25 mata asas, berkuat kuasa pada hari yang sama.

Dalam pada itu, CIMB Bank Bhd (CIMB Bank) dan CIMB Islamic Bank Bhd (CIMB Islamic) akan melaksanakan pengurangan kadar sebanyak 25 mata asas bagi SBR dan Kadar Lembaga bagi Deposit Tetap/Akaun Pendapatan Pulangan Tetap-i berkuat kuasa 14 Julai ini.

Bank kedua terbesar di Malaysia dari segi aset itu berkata, langkah itu dilaksanakan berikutan keputusan menurunkan BNM menurunkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus.

"Semua kemudahan pembiayaan yang berdasarkan BLR dan BFR akan dikurangkan sebanyak 0.25 peratus," katanya dalam satu kenyataan hari ini.



~ Bajonz Jambul ~
~ Bajonz Photography ~

HONOR Magic V5 ternipis, bateri tahan lama


Dalam usaha berterusan untuk menerajui inovasi, HONOR sekali lagi menetapkan penanda aras baharu dalam teknologi mudah alih melalui pelancaran HONOR Magic V5. 

Sebagai telefon pintar boleh lipat paling nipis di dunia, ia dihasilkan dengan kejuruteraan terperinci tanpa sebarang kompromi terhadap prestasi, ketahanan dan gaya. 

Dengan profil ultra nipis berukuran 8.8 milimeter seberat 217 gram, HONOR Magic V5 bukan sahaja menonjol dari segi rekaan, malah turut mengukuhkan kedudukannya sebagai peranti mercu dalam kategori boleh lipat dengan spesifikasi serba canggih.

Revolusi reka bentuk nipis, ringan dan mengagumkan

Tidak ramai menyangka bahawa sebuah peranti yang begitu mipis mampu menyimpan keupayaan luar biasa. 


Namun, HONOR Magic V5 menepis persepsi itu apabila memperkenalkan reka bentuk yang bukan sahaja estetik, malah praktikal untuk penggunaan harian. 

Rekaan ergonomik yang ringan memberikan keselesaan optimum tanpa mengorbankan ketahanan struktur mahupun keupayaan dalaman.

Prestasi tanpa ganguan

Menerajui kecanggihan bateri, HONOR Magic V5 hadir dengan bateri silikon-karbon berkapasiti 5820mAh paling besar dalam kelasnya. 

Gabungan teknologi bateri termaju ini membolehkan pengguna menikmati prestasi berpanjangan, walaupun dalam bentuk yang paling kompak. 

Ia membuktikan bahawa daya tahan dan reka bentuk boleh bergerak seiring dalam satu peranti.

Selain itu, HONOR Magic V5 turut dipacu cip pemprosesan Snapdragon® 8 Elite Mobile Platform yang memberikan kelajuan maksimum dan prestasi lancar untuk pelbagai tugas harian termasuk permainan mudah alih, produktiviti serta penstriman kandungan definisi tinggi.

Lebih mengagumkan, keupayaan peranti ini tidak terhenti setakat spesifikasi semata-mata yang mana HONOR Magic V5 turut dilengkapi sistem pengurusan haba berskala besar bagi memastikan prestasi kekal stabil tanpa gangguan akibat kepanasan. 

Ini menjadikannya pilihan ideal bagi pengguna yang memerlukan kestabilan dalam penggunaan berterusan.

Ketahanan teruji, jangka hayat terjamin.

Bukan sekadar cantik di luar, HONOR Magic V5 juga dibina dengan struktur tahan lasak. 

Dengan penarafan IP58 untuk kalis habuk dan IP59 untuk perlindungan terhadap air, serta engsel HONOR Super Steel yang diuji mampu bertahan lebih 500,000 kali lipatan.

Peranti pintar ini juga menjanjikan daya tahan jangka panjang. Ia sesuai untuk penggunaan harian yang aktif tanpa kerisauan mengenai ketahanan fizikal.

Melangkaui reka bentuknya yang menawan, HONOR Magic V5 adalah sebuah peranti dengan ketahanan teruji. 

Struktur fizikalnya yang diperkukuh menawarkan perlindungan unggul, dibuktikan dengan penarafan IP58 untuk kalis habuk dan IP59 untuk rintangan air.

Selain itu, Engsel HONOR Super Steel yang dijamin ketahanan sehingga lebih 500,000 kali lipatan menjanjikan prestasi tahan lama walaupun dalam penggunaan yang paling aktif.

Paparan canggih, perlindungan maksimum

Kecanggihan paparan HONOR Magic V5 turut diperkukuh dengan sistem perlindungan dwi-lapisan yang komprehensif. 

Skrin luarannya dilindungi oleh teknologi Anti-scratch NanoCrystal Shield yang menawarkan 15 kali ganda ketahanan calar, 10 kali ganda rintangan hentakan dan tiga kali ganda daya tahan haus. 

Sementara itu, skrin dalaman pula menggunakan bahan inovatif Non-Newtonian Fluid yang mampu mengeras ketika hentaman, diperkuat lagi dengan lapisan silikon pelindung dan sistem AI pintar untuk mengesan sebarang objek asing bagi mengelakkan kerosakan.

Melengkapkan kecanggihan paparannya, sistem tiga kamera utama peranti yang terdiri daripada 64MP Ultra Sensing Periscope Telephoto dengan penstabilan imej optikal (OIS), 50MP Falcon Main Camera, dan 50MP Ultra-Wide Camera. 

Turut hadir dua kamera hadapan 20MP yang menyokong rakaman swafoto dan panggilan video berkualiti tinggi, memastikan setiap momen dirakam dalam kejelasan optimum.

Gaya lebih eksklusif

Menawarkan empat pilihan warna mewah iaitu Dawn Gold, Ivory White, Silk Brown, dan Black, HONOR Magic V5 bukan sekadar peranti teknologi, tetapi sebuah pernyataan gaya peribadi yang eksklusif. 

Setiap warna direka dengan teliti untuk mencerminkan cita rasa pengguna yang menghargai keindahan dalam inovasi.

Dengan pendekatan berani ini, HONOR sekali lagi mengangkat piawaian industri dengan membuktikan bahawa reka bentuk nipis tidak memerlukan sebarang kompromi. 

HONOR Magic V5 bakal dilancarkan secara rasmi pada 15 Julai 2025, menandakan permulaan era baru telefon pintar boleh lipat.





~ Bajonz Jambul ~
~ Bajonz Photography ~


Helikopter terhempas

Johor Bahru: Kru helikopter terhempas di Sungai Pulai, Gelang Patah semalam, Konstabel RG Devendran, 30, masih ditidurkan kerana paru-parunya dijangkiti kuman akibat lemas ketika kejadian nahas berlaku.

Abang mangsa, RG Navindran Raja, 39, berkata, dia terkejut dengan kejadian itu dan tidak menyangka nahas itu membabitkan adik bongsu dari empat beradik.

Katanya, dia mendapat panggilan telefon memaklumkan kejadian menimpa adiknya oleh Ketua Balai Polis Tanjung Kupang, semalam.

"Devendran memang minat untuk menjadi polis dan dia baharu berkhidmat lebih setahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).


"Doktor cuma maklumkan dia masih ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana jangkitan kuman dalam paru-paru, mungkin disebabkan dia lemas ketika kejadian. Mereka tidak menjanjikan apa-apa," katanya ketika ditemui di lobi Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini hari ini.


Navindran yang juga anggota polis dan berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak turut memohon rakyat Malaysia supaya mendoakan keselamatan adik bongsunya itu.

"Kita terpaksa terima perkara ini kerana ia adalah satu kemalangan. Apapun saya minta doakan untuk adik saya agar dia cepat sembuh," katanya.

Sementara itu, kakak ipar kepada Asisten Komisioner Faizul Muhammad iaitu Lizah Omar, 46, pula memaklumkan ini merupakan kali pertama adik iparnya terbabit dalam kemalangan udara.

"Faizul sudah berkhidmat sebagai anggota polis sejak dia bujang lagi dan telah lama menjadi juruterbang helikopter, namun ini kali pertama dia terlibat kemalangan.

"Keadaan dia hari ini lebih baik berbanding semalam, alhamdulillah sudah boleh berbual dan minta kuih untuk dimakan. Dia patah tulang rusuk dan cedera di kepala dan pinggang.

"Sebenarnya Faizul merancang untuk menghantar anak sulungnya mendaftarkan diri di sebuah institusi pengajian tinggi di Terengganu, Ahad ini, tetapi tidak kesampaian kerana masih lagi dirawat di Hospital," katanya.




~ Bajonz Jambul ~
~ Bajonz Photography ~

Pakej Gambar Sekolah / Tadika - Graduasi / Kelas


Pakej Gambar Sekolah / Tadika - Graduasi / Kelas












~ Bajonz Jambul ~
~ Bajonz Photography ~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...