Pakej Fotografi Bajonz Jambul Cool Ice cream

Followers

Wednesday, October 28, 2020

Proton X50 ditawarkan dari RM79,200 sehingga RM103,300



Kuala Lumpur: Proton Holdings Berhad secara rasmi melancarkan model kedua kenderaan utiliti sukan (SUV) syarikat itu melalui pengenalan model X50 hari ini yang ditawarkan pada harga bermula dari RM79,200.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, sejak tempahan dibuka pada 16 September lalu sebanyak 20,000 unit sudah ditempah.

"Sambutan daripada rakyat Malaysia sangat menggalakkan. Ini adalah sesuatu yang belum pernah berlaku terutama sekali dalam tahun yang dipengaruhi faktor luaran," katanya.

Model yang dipasang di kilang pemasangan Proton di Tanjung Malim, Perak itu dibina di atas platform platform BMA (B-Segment Modular Architecture) yang turut digunakan oleh produk Geely dan Volvo.

SUV dalam segmen-B ini juga menampilkan pelbagai ciri termaju di dalam segmennya yang ditawarkan melalui empat varian dengan dua pilihan enjin.

Tiga varian iaitu 1.5T Standard, 1.5T Executive dan 1.5T Premium dilengkapi enjin 1.5 liter pengecas turbo dan yang tertinggi dengan 1.5TGDi Flagship turbo.

Ia juga dipadankan dengan kotak gear transmisi dwi-klac 7 kelajuan (DCT), lampu hadapan LED dan kamera undur sebagai ciri standard.

Rim aloi 18 inci, kerusi balutan kulit dan dwi tona luaran serta Sistem infotainmen bersaiz 10.25 inci dengan Sistem Maklumat Kokpit Bersepadu (GKUI) juga ditawarkan pada varian tertinggi.

ROSLAN (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Proton Dr Li Chunrong (tengah) dan Timbalannya Datuk Radzaif Mohamed ketika majlis pelancaran Proton X50 secara maya.
Ia turut dilengkapi Sistem Bantu Pemandu Termaju (ADAS) tahap 2.0 juga yang pertama dalam segmennya dengan ciri Bantu Parkir Auto (APA), Kawalan Pelayaran Pintar (ICC) melalui Kawalan Pelayaran Adiptif dengan ciri Stop & Go serta Amaran Pelepasan Lorong dan Bantu Kekal Lorong, Sistem Maklumat Titik Buta dan enam beg keselamatan SRS.

Proton X50 juga menerima tahap keselamatan lima bintang melalui Program Penilaian Kereta Baharu Asian (Asean NCAP) dan penarafan kenderaan cekap tenaga (EEV).

Untuk pasaran Malaysia, ia dijual pada harga bermula dari RM79,200 (1.5T Standard), RM84,800 (1.5T Executive), RM93,200 (1.5T Premium) dan RM103,300 (1.5 TGDi Flagship).

Ia turut didatangkan dengan jaminan pengeluar lima tahun tanpa had perbatuan, pakej data 1GB sebulan untuk lima tahun, lima kali servis dengan kos buruh percuma (untuk 30,000 unit tempahan pertama sehingga 31 Disember 2020) dan kadar faedah daripada 2.22 peratus setahun.


~ Bajonz Jambul ~
~ Bajonz Photography ~

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...