JAWATANKUASA Fatwa Perlis memutuskan ujian swab bagi mengesan individu dijangkiti Covid-19 sebagai tidak membatalkan puasa.
Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, dua kaedah yang ketika ini diguna petugas Kementerian Kesihatan untuk melakukan ujian berkenaan didapati tidak membawa gambaran sebagai makan dan minum.
Katanya, kaedah memasukkan peralatan khusus ke dalam rongga hidung dan belakang anak tekak pada kadar dalaman tertentu didapati bukan tindakan makan dan minum sehingga membatalkan puasa.
“Maka puasa individu yang sah secara yakin tidak boleh dianggap batal hanya kerana timbul sesuatu yang syak atau wujud sesuatu andaian.
“Malah alasan memasukkan sesuatu ke al-Jauf (rongga dalam) sebagai sebab pembatalan puasa turut menimbulkan perbezaan pendapat yang luas dalam kalangan ulama mazhab.
“Pandangan yang menguatkan ujian swab tidak membatalkan puasa adalah bertepatan dengan pandangan sebahagian ulama Hanafi kerana syarat bagi sesuatu yang masuk ke rongga dalam mestilah bersifat kekal di dalamnya (rongga) serta tidak mempunyai sambungan dengan alatan lain di luar badan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Asri berkata, di dalam al-Majma’ al-Fiqhi al-Islami sudah menyenaraikan beberapa isu dan mekanisma di dalam bidang perubatan yang diklasifikasikan sebagai tidak membatalkan puasa.
“Ini (perkara tidak membatalkan puasa) termasuklah perbuatan memasukkan ‘gastroscope’ (teropong perut) ke dalam perut tanpa sebarang bendalir atau seumpamanya.
“Maka demikian, sepatutnya ujian swab yang hanya membabitkan proses memasukkan alat khusus ke dalam rongga hidung atau mulut bagi mendapatkan sampel yang diperlukan lalu dikeluarkan semula juga tidak membatalkan puasa,” katanya.
~ Bajonz Jambul ~
~ Bajonz Photography ~
No comments:
Post a Comment