Pakej Fotografi Bajonz Jambul Cool Ice cream

Followers

Thursday, March 13, 2014

13 negara beri kerjasama dalam pencarian MH370

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang Sabtu lalu melibatkan kerjasama intensif 13 negara termasuk dua negara kuasa besar dunia iaitu Amerika Syarikat (AS) dan China.

Negara lain yang terlibat secara aktif ialah Vietnam, Thailand, Singapura, Taiwan, Indonesia, Filipina, New Zealand dan Australia yang bersama-sama dengan Malaysia.

Sebanyak 42 kapal laut dan 35 pesawat terlibat dalam operasi mencari secara besar-besaran itu.
Terbaru pada hari kelima operasi, India mengesahkan penyertaannya menerusi kapal-kapal tentera lautnya dari Selat Melaka, Jepun menghantar empat pesawat daripada pasukan pertahanan serta agensi pengawal pantai negara itu serta bantuan aset dari negara jiran, Brunei.

Selain pemantauan satelit daripada AS serta komitmen tinggi 10 satelit daripada China, India juga bersetuju menggerakkan kedudukan satelit tentera lautnya Rukmini atau GSAT-7 untuk mengesan lokasi pesawat yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu.

Malaysia yang mengetuai operasi itu telah menggerakkan asetnya iaitu 15 pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) termasuk empat Hercules C130, sebuah CN 235, empat EC 725 dan dua helikopter Augusta selain 16 kapal dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta empat kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan pesawat Bombardier CL415.

TLDM antaranya menggerakkan KD Mahawangsa, KD Kasturi, KD Lekiu, KD Pahang, KD Selangor, MV Mega Bakti yang mempunyai keupayaan mengesan objek dalam air sehingga kedalaman 1,000 meter serta pesawat Fennec dan pesawat Super Lynx.

Pembabitan negara luar untuk membantu operasi pencarian MH370 amat dihargai kerajaan Malaysia kerana kawasan lautan luas yang perlu diteliti di Laut China Selatan dan juga Selat Melaka.

Sebagaimana yang dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam laman Twitter hari ini, beliau telah memanggil untuk taklimat dengan pasukan SAR MH370 dan menekankan bahawa semua pihak akan berusaha bersungguh-sungguh dan bekerjasama secara multinasional.

"Saya bersyukur begitu banyak negara membantu dalam mencari MH370. Sesungguhnya ini adalah operasi multinasional berskala besar," katanya.

Dari segi kecanggihan aset yang terlibat dalam operasi itu, AS antaranya menghantar dua kapal pemusnah iaitu USS Pinckney dan USS Kidd yang dilengkapkan dengan helikopter Sikorsky MH-60R Seahawk yang mempunyai keupayaan pencarian waktu malam serta pesawat P-3C Orion yang merupakan pesawat pemantauan maritim dan pengesan kapal selam.

China pula menghantar kapal pemusnah Haikou, kapal perang friget Mianyang serta dua kapal pengangkutan amfibia yang masing-masing dilengkapkan dengan helikopter di samping tiga kapal daripada Pentadbiran Keselamatan Maritim negara itu.

Australia pula menghantar dua pesawat AP-3C Orion dan New Zealand pula menghantar sebuah pesawat P-3K2 Orion sebagai bantuan untuk mengesan daripada udara.

Taiwan juga tidak ketinggalan menyalurkan bantuan dengan menghantar pesawat pengangkutan C-130, sebuah kapal friget ROCS Tian Dan dan dua kapal agensi pengawal pantai negara itu.

Negara jiran Malaysia iaitu Vietnam, Singapura, Thailand dan Indonesia juga tidak putus-putus memberi bantuan menerusi aset pertahanan udara dan laut negara itu bagi menjejak kehilangan pesawat yang sehingga kini masih menjadi misteri.




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...