Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, berkata model itu juga akan menjadi perintis kepada perubahan dalam penghasilan setiap model baru PROTON di masa depan.
PROTON Preve adalah bukti akan kemampuan PROTON setakat ini dalam usahanya bersaing pada pelbagai peringkat pasaran global.
“Dengan model ini, apa yang PROTON cuba nyatakan adalah model ini akan menjadi permulaan baru bagi kami, iaitu antara lain memperkenalkan arah baru reka bentuk produk dari segi kualiti dan keselamatan yang mampu bersaing di pelbagai pasaran dunia,” katanya pada majlis pelancaran model itu yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Seri Kembangan, semalam.
Hadir sama Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor: Penasihat PROTON, Tun Dr Mahathir Mohamad; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; dan Pengerusi Eksekutif PROTON, Datuk Seri Mohd Khamil Jamil.
Syed Zainal berkata, sebagai permulaan, pihaknya memperuntukkan 20 peratus daripada jumlah pengeluaran Preve untuk pasaran eksport.
“Selain pasaran domestik, Preve akan dieksport ke luar negara, dengan Indonesia sebagai destinasi pertamanya pada Julai atau Ogos ini, sebelum memasuki Thailand, Australia, United Kingdom dan Asia Barat,” katanya.
Syed Zainal berkata, Preve dijangka mampu dijual sekitar 4,000 hingga 4,200 unit sebulan dan kini sudah menerima lebih 1,000 unit tempahan sejak mula ditampilkan secara teaser pada Pameran PROTON Power of 1 di Bukit Jalil, bulan lalu.
Sementara itu, Najib berkata, keupayaan untuk mengeluarkan sebuah kereta yang global adalah suatu mercu tanda kejayaan yang amat penting kepada PROTON kerana untuk mencapai tahap piawaian dan standard antarabangsa terbabit, ketelitian dan fokus kepada aspek kualiti tidak boleh dipandang ringan.
“Semuanya harus berada pada tahap global standard. Saya sendiri sangat berbangga dengan keupayaan PROTON dan ini membuktikan bahawa kereta kita juga setaraf atau lebih baik dari kereta berjenama antarabangsa yang lain,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran kereta berkenaan.
Dalam pada itu, beliau berkata untuk memastikan PROTON dan semua syarikat automotif tempatan dapat bersaing dengan kereta terkemuka dunia, kerajaan menerusi Dasar Automotif Negara (DAN) sudah menggariskan pelbagai insentif bertujuan meningkatkan daya saing industri automotif tempatan bagi jangka panjang.
Katanya, ini termasuk penyediaan pelbagai insentif dan pakej geran dan dana automotif yang komprehensif serta pelbagai inisiatif lain bagi meningkatkan usaha sama strategik dengan rakan dagang utama negara.
“Kerajaan juga sedang mengkaji semula DAN yang akan merangkumi skop yang lebih luas dengan mengambil kira kepentingan semua pihak termasuk syarikat kereta, vendor, institusi kewangan dan pengguna.
“Pembentangan cadangan akhir ini, akan dibentangkan di mesyuarat Kabinet tidak lama lagi,” katanya.
Preve, yang kini boleh didapati di semua bilik pameran Proton Holdings di seluruh negara, ditawarkan dalam tiga varian, iaitu standard eksekutif transmisi manual, standard eksekutif transmisi automatik dan spesifikasi premium transmisi automatik.
Versi standard eksekutif transmisi manual menggunakan enjin 1.6 liter IAFM Continuous Variable Transmission (CVT) lima kelajuan, dan tujuh kelajuan untuk versi automatik, sementara versi spesifikasi premium pula menggunakan enjin 1.6 liter Caj Keberkesanan Minyak (CFE) turbo dengan CVT Protonic tujuh kelajuan.
Model baru itu ditawarkan pada harga RM59,990 seunit bagi versi standard eksekutif transmisi manual, RM62,990 bagi automatik standard eksekutif CVT, dan RM72,990 seunit bagi versi premium.
Semua varian berkenaan ditawarkan dengan jaminan lima tahun atau 150,000 kilometer, atau yang mana terdahulu.
Menurut Mohd Khamil berkata, Preve, model bercirikan teknologi paling canggih pertama yang ditawarkan kepada pasaran secara besar-besaran itu, akan membuka lembaran baru buat syarikat kereta nasional itu dalam memasarkan produknya yang menepati semua cita rasa pasaran.
“Produk PROTON memang sudah diterima di peringkat antarabangsa ketika ini. Namun begitu, kita tidak harus berpuas hati. Kita mesti bertindak lebih agresif lagi dalam mengembangkan aktiviti eksport ke luar negara dan menjadi lebih berteknologi maju, terus mampu menawarkan pelanggan kenderaan yang sewajarnya, mampu memperkukuh jualan dan khidmat selepas jualan di peringkat antarabangsa, dan mampu berkembang lebih kukuh sebagai jenama yang memiliki reputasi yang baik, yang dipercayai, diutamakan dan mampu menjadi pengeluar kereta yang kompetitif,” tegasnya.
Preve turut mendapat sentuhan anak syarikat milik penuh PROTON, iaitu Lotus Engineering, khususnya dari segi kawalan pemanduan dan pengendalian, yang mampu bertindak balas dengan baik di selekoh pada kelajuan tinggi.
SPESIFIKASI: Proton Preve
-Enjin 1.6 liter turbo ringan menghasilkan kuasa sama 2.0 liter enjin biasa
-138 kuasa kuda, kilasan 205Nm
-Sistem butang penghidup enjin untuk Premium
-Stering kuasa hidrolik
-Brek ABS dengan EBD
-Dwi beg udara SRS untuk semua varian dan beg udara sisi untuk Premium saja
-Dilengkapi dengan sambungan 4G WiFi dan sistem navigasi GPS
-Sistem audio dengan pemain CD MP3 dengan Bluetooth, USB dan sambung iPod
-Warna pilihan Blue lagoon, Fire red, Genetic silver, Solid white, Tranquility black, Elegant brown
-Kesemua varian didatangkan dengan jaminan lima tahun atau 150,000 km
-Tiga varian : Premium (harga dari RM72,990), Eksekutif CVT (harga dari RM62,990), Eksekutif (harga dari RM59,990)
~ http://bajonzjambul.blogspot.com ~
~ http://bajonzphoto.blogspot.com ~
google: gambar proton preve, foto gambar proton preve, majlis pelancaran proton preve, spesifikasi proton preve, aksesori proton preve, features proton preve, harga terkini proton preve, showroom proton preve
No comments:
Post a Comment