Dalam satu kenyataan di blog, Twitter berkata ia mengesan percubaan untuk meraih akses kepada data penggunanya awal minggu ini. Ia menghentikan satu serangan sebaik saja ia dikesan.
Twitter bagaimanapun mendapati bahawa penggodam mungkin mencuri kata laluan pengguna, alamat emel dan kata kunci sulit membabitkan 250,000 pengguna yang mana mereka menyifatkannya sebagai “peratusan kecil daripada semua penggunanya.”
Syarikat itu menala semula kata laluan dan telah menghantar emel kepada penggunanya yang terjejas.
Serangan Twitter itu berlaku tidak lama selepas serangan terbaru terhadap sistem komputer syarikat AS, membabitkan The New York Times dan The Wall Street Journal.
Kedua-dua akhbar itu minggu ini melaporkan bahawa sistem komputer mereka diceroboh oleh penggodam yang berpangkalan di China dan mungkin bertujuan memantau liputan media yang dianggap penting oleh kerajaan China.
Jumaat lalu, The Washington Post mendedahkan dalam satu artikel yang diterbitkan dalam laman webnya, bahawa ia turut menjadi sasaran serangan siber kompleks, yang ditemui pada 2011 dan adalah yang pertama dilaporkan oleh blog keselamatan siber bebas.
Jurucakap Washington Post, Kris Coratti, tidak memberikan sebarang perincian termasuk tempoh serangan atau sumber serangan, tetapi mengikut sumber yang dipetik akhbar itu, tanpa memberikan identiti, bahawa penceroboh meraih akses seawal 2008 atau 2009.
Mengikut sumber itu, penyerang China juga dalam senarai yang disyaki.
Coratti bagaimanapun gagal dihubungi untuk maklum balas oleh The Associated Press.
Mengikut komen beliau kepada akhbar itu, syarikat berkenaan bekerjasama dengan syarikat keselamatan, Mandiant untuk “mengesan, menyiasat dan mengatasi situasi itu dengan segera pada akhir 2011.”
China dituduh melancarkan kempen intipan siber secara meluas untuk beberapa tahun, dengan percubaan mencuri maklumat rahsia dan rahsia korporat.
Kementerian Luar China bagaimanapun gagal dihubungi untuk maklum balas pada Sabtu lalu, tetapi kerajaan China sebelum ini berkata tuduhan itu adalah tidak berasas dan menyatakan China sendiri menjadi sasaran serangan siber.
Twitter tidak memberikan sebarang petunjuk sama ada ia percaya serangan ke atasnya membabitkan China. Namun, kiriman blog pengarah keselamatan maklumat syarikat itu, Bob Lord, menjelaskan bahawa penggodam itu amat mengetahui apa yang mereka lakukan.
Mengikut Lord dalam blog itu, serangan itu “bukan kerja amatur, dan kami tidak percaya bahawa kejadian itu adalah sesuatu yang asing.”
“Penyerang itu amat kompleks, dan kami percaya syarikat dan organisasi lain juga menghadapi serangan yang sama,” kata Lord.
“Justeru, kami merasakan adalah penting untuk mengumumkan serangan sementara kami berusaha untuk mencari lebih banyak maklumat, dan kami sedang membantu kerajaan dan penguat kuasa undang-undang persekutuan dalam usahanya untuk menangkap dan mendakwa penyerang ini dalam menjadikan internet selamat untuk semua pengguna.”
Jurucakap Twitter, Jim Prosser yang dihubungi Sabtu lalu tidak memberikan sebarang maklum balas lanjut. - AP
~ Bajonz Jambul ~
~ Bajonz Photography ~
No comments:
Post a Comment