Pakej Fotografi Bajonz Jambul Cool Ice cream

Followers

Thursday, May 31, 2012

Eden Hazard sertai Chelsea



Eden Hazard akhirnya membuat keputusan untuk menyertai Chelsea, sekali gus mengalahkan saingan juara EPL, Manchester City dan Manchester United yang juga mahukan pemain muda berbakat besar itu.

Pemain sayap Belgium berusia 21 tahun itu mengharungi musim cemerlang bersama Lille dengan menjaringkan 20 gol dalam aksi liga, hanya kurang satu jaringan di belakang penyerang Montpellier, Olivier Giroud.

Dia meledak hatrik pada babak pertama dalam perlawanan terakhirnya bersama Lille, yang menamatkan saingan liga pada kedudukan ketiga musim ini selepas memenangi gelaran musim lepas.
"Saya akan menandatangani kontrak dengan pemenang Liga Juara-Juara," kata Hazard menerusi laman sosial Twitter, kelmarin.

Chelsea menumpaskan Bayern Munich menerusi penentuan penalti awal bulan ini dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara, sekali gus layak secara automatik ke pertandingan itu musim depan sekali pun sekadar menamatkan saingan liga pada tempat keenam.

Tiada pengumuman lagi daripada Lille mengenai kenyataan Hazard akan menyertai Chelsea, walaupun kelab itu sebelum ini berkata, mereka bersedia melepaskan pemain berkenaan dengan harga 33 juta euro (RM130 juta).

Chelsea kemudian mengeluarkan satu kenyataan kepada The Associated Press berkata: "Seperti perpindahan lain, apabila kami berhasrat mengumumkan sesuatu kami akan berbuat demikian melalui cara biasa."

City, naib juara Liga Perdana, United dan Arsenal merupakan antara kelab yang dilaporkan berminat menandatangani Hazard, yang mana ejennya baru-baru ini mendakwa pemain itu telah bersetuju dengan syarat-syarat peribadi yang diletakkan oleh kelab-kelab berkenaan.

Perpindahan pemain itu bagaimanapun berlarutan selama beberapa minggu.

Terdahulu Hazard berkata, dia akan mengumumkan destinasi yang ditujui pada majlis anugerah penghujung musim, di mana pemain itu telah diundi sebagai Pemain Terbaik liga Perancis tahun kedua berturut-turut.
Namun dia menangguhkan pengumuman itu dan berjanji untuk menjelaskan kedudukannya selepas perlawanan terakhir Lille dalam aksi liga musim ini, dua minggu lalu.

Pemain tersebut menerima tepukan gemuruh selepas melakukan hatrik menentang Nancy, termasuk sembilan penalti musim ini dan Hazard kemudiannya mencapai mikrofon lalu mengumumkan hasratnya kepada para peminat bahawa dia akan meninggalkan kelab itu tanpa memaklumkan destinasi yang dituju.

Menandatangani Hazard bermakna Chelsea berjaya merampas pemain itu yang turut menarik minat pengurus City, Roberto Mancini dan bos United, Alex Ferguson yang mana kedua-duanya sanggup terbang ke Perancis bagi menyaksikan Hazard beraksi musim ini.

Hazard yang diundi sebagai pemain muda terbaik liga Perancis pada 2009 dan 2010, secara tidak langsung membolehkan pemain itu mengumpul koleksi anugerah untuk empat tahun berturut-turut.

Secara keseluruhan, pemain itu menjaringkan 36 gol dalam 147 perlawanan liga bersama Lille selepas bakatnya dikesan ketika bermain untuk Belgium dan dia kemudian diserapkan ke dalam program pembangunan belia kelab tersebut. - AGENSI


~ http://bajonzjambul.blogspot.com ~
~ http://bajonzphoto.blogspot.com ~

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...