Pakej Fotografi Bajonz Jambul Cool Ice cream

Followers

Saturday, July 12, 2025

Nothing Phone (3) tampil cip Snapdragon baharu

Syarikat teknologi berpangkalan di London, Nothing, secara rasmi melancarkan telefon pintar kelas perdana terbaharu mereka, Nothing Phone (3). Peranti itu menjanjikan pengalaman unik dalam reka bentuk, prestasi dan interaksi pengguna.

Nothing Phone (3) membawa evolusi baharu kepada rekaan ikonik Nothing dengan memperkenalkan Glyph Matrix iaitu paparan mikro-LED di bahagian belakang yang memberikan maklumat penting secara visual tanpa perlu membuka skrin. Fungsi ini turut disertakan dengan permainan interaktif dan ikon tersuai untuk kenalan.

Ketua Pegawai Eksekutif Nothing, Carl Pei berkata, Nothing Phone (3) adalah jawapan telefon pintar kelas perdana yang membangkitkan semula keterujaan dan kreativiti.

"Menyentuh aspek fotografi, Nothing Phone (3) menampilkan sistem kamera profesional dengan sensor utama 1/1.3 inci, zum optikal tanpa kehilangan kualiti, serta rakaman video 4K 60fps lengkap dengan penstabilan imej optikal.


"Ia juga menyokong ciri-ciri 'Flip to Record' yang membolehkan pengguna merakam dan mentranskripsi perbualan hanya dengan meletakkan telefon secara terbalik," katanya.

Peranti ini dikuasakan dengan cip Snapdragon 8s Gen 4, Phone (3) menjanjikan peningkatan 36 peratus prestasi CPU, 88 peratus GPU dan kecekapan pemprosesan AI yang lebih pantas berbanding pendahulunya.

Ia dilengkapi bateri 5150mAh berteknologi silikon-karbon dengan pengecasan pantas 65W berwayar dan 15W tanpa wayar.

Paparan AMOLED bersaiz 6.67 inci (16.94 sentimeter) dengan kadar segar semula adaptif 30-120Hz, kecerahan puncak 4500 nits dan nisbah skrin ke badan 92.89 peratus menjadikan pengalaman visual lebih imersif dan responsif.

Sistem operasi Nothing OS 3.5 berasaskan Android 15 turut diperkenalkan dengan tumpuan kepada kesederhanaan dan kepintaran kecerdasan buatan AI. Antara ciri-ciri utama termasuk Essential Search, Essential Space, dan reka bentuk minimalis tanpa label aplikasi.

Nothing Phone (3) ditawarkan dalam dua varian iaitu 12GB RAM + 256GB storan pada harga RM3,299 dan 16GB RAM + 512GB storan pada harga RM3,799.



~ Bajonz Jambul ~
~ Bajonz Photography ~

POR Turun, Bank utama Malaysia mula turunkan kadar asas pembiayaan



Kuala Lumpur: Beberapa bank utama Malaysia menyemak semula kadar asas standard (SBR), kadar asas (BR) dan kadar pembiayaan asas (BFR) masing-masing berikutan keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas (bps) daripada 3.00 peratus kepada 2.75 peratus semalam.

RHB Banking Group menurunkan kadar SBR, BR dan BFR masing-masing sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus, 3.50 peratus dan 6.45 peratus setahun, berkuat kuasa hari ini.

Bank itu juga berkata kadar deposit tetap RHB Bank dan RHB Islamic Bank akan diselaraskan turun sebanyak 25 mata asas.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif RHB Bank Datuk Mohd Rashid Mohamad berkata pengurangan ini mencerminkan sokongan berterusan pihaknya terhadap usaha BNM untuk merangsang permintaan dalam negeri melalui dasar monetari yang akomodatif.

"Dengan mengurangkan kos pinjaman, kami membantu isi rumah dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mengurus komitmen kewangan mereka dengan lebih baik sambil menggalakkan penggunaan dan pelaburan di tengah-tengah ketidaktentuan global semasa," katanya.

Sejajar dengan semakan itu, Affin Bank Bhd, Affin Islamic Bank Bhd dan Affin Hwang Investment Bank berkata mereka akan menyemak semula kadar rujukan pinjaman dan pembiayaan masing-masing dengan pengurangan sebanyak 25 mata asas atau 0.25 peratus, berkuat kuasa pada 11 Julai.

Bank-bank berkenaan akan menurunkan kadar SBR, BR dan BFR masing-masing kepada 2.75 peratus, 3.70 peratus dan 6.56 peratus setahun.

Kadar deposit tetap Affin Bank dan kadar deposit berjangka-i Affin Islamic juga akan diselaraskan turun pada tarikh yang sama.

Sementara itu, Public Bank berkata pihaknya akan menurunkan kadar SBR, BR, BLR/ BRF, masing-masing sebanyak 0.25 peratus, berkuat kuasa 11 Julai 2025.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Tan Sri Dr Tay Ah Lek berkata SBR bank ialah 2.75 peratus seiring dengan OPR manakala BR akan dikurangkan kepada 3.27 peratus daripada 3.52 peratus dan BLR/BFR akan dikurangkan kepada 6.47 peratus daripada 6.72 peratus.

"Pada masa sama, kadar deposit tetap Public Bank juga akan diselaraskan menurun, berkuat kuasa pada tarikh yang sama," katanya.

Alliance Bank Malaysia Bhd dan Alliance Islamic Bank Bhd juga mengumumkan penurunan kadar SBR, BR, BLR/BFR masing-masing sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus, 3.57 peratus dan 6.42 peratus setahun, berkuat kuasa 15 Julai, selaras dengan penurunan OPR oleh BNM.

"Sejajar dengan semakan itu, Alliance Bank dan Alliance Islamic Bank juga akan menurunkan kadar deposit tetap mereka pada tarikh yang sama," katanya.

Maybank juga akan menurunkan kadar BR dan BLR masing-masing sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus dan 6.40 peratus setahun, berkuat kuasa pada 11 Julai, selaras dengan penurunan kadar OPR semalam.

Bank itu berkata kadar pembiayaan asas Islam akan diturunkan sebanyak 25 mata asas daripada 6.65 peratus kepada 6.40 peratus setahun.

Selaras dengan semakan itu, kadar deposit tetap Maybank dan Maybank Islamic juga akan diselaraskan turun sebanyak 25 mata asas, berkuat kuasa pada hari yang sama.

Dalam pada itu, CIMB Bank Bhd (CIMB Bank) dan CIMB Islamic Bank Bhd (CIMB Islamic) akan melaksanakan pengurangan kadar sebanyak 25 mata asas bagi SBR dan Kadar Lembaga bagi Deposit Tetap/Akaun Pendapatan Pulangan Tetap-i berkuat kuasa 14 Julai ini.

Bank kedua terbesar di Malaysia dari segi aset itu berkata, langkah itu dilaksanakan berikutan keputusan menurunkan BNM menurunkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus.

"Semua kemudahan pembiayaan yang berdasarkan BLR dan BFR akan dikurangkan sebanyak 0.25 peratus," katanya dalam satu kenyataan hari ini.



~ Bajonz Jambul ~
~ Bajonz Photography ~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...