Pakej Fotografi Bajonz Jambul Cool Ice cream

Followers

Wednesday, October 28, 2020

Proton X50 ditawarkan dari RM79,200 sehingga RM103,300



Kuala Lumpur: Proton Holdings Berhad secara rasmi melancarkan model kedua kenderaan utiliti sukan (SUV) syarikat itu melalui pengenalan model X50 hari ini yang ditawarkan pada harga bermula dari RM79,200.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, sejak tempahan dibuka pada 16 September lalu sebanyak 20,000 unit sudah ditempah.

"Sambutan daripada rakyat Malaysia sangat menggalakkan. Ini adalah sesuatu yang belum pernah berlaku terutama sekali dalam tahun yang dipengaruhi faktor luaran," katanya.

Model yang dipasang di kilang pemasangan Proton di Tanjung Malim, Perak itu dibina di atas platform platform BMA (B-Segment Modular Architecture) yang turut digunakan oleh produk Geely dan Volvo.

SUV dalam segmen-B ini juga menampilkan pelbagai ciri termaju di dalam segmennya yang ditawarkan melalui empat varian dengan dua pilihan enjin.

Tiga varian iaitu 1.5T Standard, 1.5T Executive dan 1.5T Premium dilengkapi enjin 1.5 liter pengecas turbo dan yang tertinggi dengan 1.5TGDi Flagship turbo.

Ia juga dipadankan dengan kotak gear transmisi dwi-klac 7 kelajuan (DCT), lampu hadapan LED dan kamera undur sebagai ciri standard.

Rim aloi 18 inci, kerusi balutan kulit dan dwi tona luaran serta Sistem infotainmen bersaiz 10.25 inci dengan Sistem Maklumat Kokpit Bersepadu (GKUI) juga ditawarkan pada varian tertinggi.

ROSLAN (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Proton Dr Li Chunrong (tengah) dan Timbalannya Datuk Radzaif Mohamed ketika majlis pelancaran Proton X50 secara maya.
Ia turut dilengkapi Sistem Bantu Pemandu Termaju (ADAS) tahap 2.0 juga yang pertama dalam segmennya dengan ciri Bantu Parkir Auto (APA), Kawalan Pelayaran Pintar (ICC) melalui Kawalan Pelayaran Adiptif dengan ciri Stop & Go serta Amaran Pelepasan Lorong dan Bantu Kekal Lorong, Sistem Maklumat Titik Buta dan enam beg keselamatan SRS.

Proton X50 juga menerima tahap keselamatan lima bintang melalui Program Penilaian Kereta Baharu Asian (Asean NCAP) dan penarafan kenderaan cekap tenaga (EEV).

Untuk pasaran Malaysia, ia dijual pada harga bermula dari RM79,200 (1.5T Standard), RM84,800 (1.5T Executive), RM93,200 (1.5T Premium) dan RM103,300 (1.5 TGDi Flagship).

Ia turut didatangkan dengan jaminan pengeluar lima tahun tanpa had perbatuan, pakej data 1GB sebulan untuk lima tahun, lima kali servis dengan kos buruh percuma (untuk 30,000 unit tempahan pertama sehingga 31 Disember 2020) dan kadar faedah daripada 2.22 peratus setahun.


~ Bajonz Jambul ~
~ Bajonz Photography ~

35 lokaliti di Zon Nilai terbabit PKPB

Sebanyak 35 lokaliti atau taman perumahan di Zon Nilai terbabit dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuatkuasa 28 Oktober hingga 10 November ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, antara kawasan terbabit ialah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai International School, Nilai Universiti, Manipal Universiti, Kolej Inti, Aeon Nilai, Tesco dan Giant serta kawasan sekitar.

Beliau berkata, masjid dan surau dibenarkan mendirikan solat lima waktu berjemaah, namun hanya terhad tiga orang sahaja, manakala solat Jumaat dibenarkan hanya 40 orang sahaja.

"Semua premis sosial dan institusi pendidikan, pusat jagaan ditutup.

"Pembelian makanan digalakkan secara penghantaran bermula 6 pagi hingga 8 malam manakala makan di restoran terhad kepada empat orang bagi setiap meja," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, waktu operasi stesen minyak dihadkan iaitu dari 6 pagi hingga 10 malam manakala operasi pasar harian dari 6 pagi hingga 2 petang dan pasar tani dari 6 pagi hingga 12 tengah hari.

Menurutnya, aktiviti lain seperti pasar malam, majlis sosial seperti perkahwinan dan sebagainya tidak dibenarkan beroperasi atau diadakan sepanjang tempoh PKPB berkenaan.

Mengulas mengenai Putra Nilai yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi tempoh sama, Aminuddin berkata, kawasan berkenaan membabitkan Jalan BBN 1/7A, Jalan BBN 1/7B dan Jalan BBN 1/7E akan ditutup sepenuhnya.

Beliau berkata, anggota keselamatan akan mengawal 24 jam dan mereka yang mempunyai kontak rapat dengan Kluster Kaya dan tinggal di asrama Jalan BBN 1/2E akan dipindahkan ke asrama Jalan BBN 1/7B.

Katanya, semua aktiviti ekonomi, sosial, rekreasi dan budaya di kawasan PKPD tidak dibenarkan seperti ditetapkan dalam prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN).



~ Bajonz Jambul ~
~ Bajonz Photography ~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...