Pakej Fotografi Bajonz Jambul Cool Ice cream

Followers

Tuesday, July 31, 2012

Lee Chong Wei ke Suku Akhir Olimpik


Selepas hampir dua bulan tidak beraksi dalam kejohanan kompetitif akibat kecederaan, pemain nombor dua dunia Datuk Lee Chong Wei memulakan cabaran Sukan Olimpik 2012 dengan kemenangan bergaya untuk layak ke suku akhir acara perseorangan lelaki.

Chong Wei menumpaskan pemain tinggi lampai dari Finland, Ville Lang 21-8, 14-21, 21-11 dalam perlawanan Kumpulan A di Arena Wembley di sini, pada malam tadi. 

Selepas menang mudah set pertama, Chong Wei yang mengalami kecederaan buku lali kanan semasa Piala Thomas pada Mei lepas, hilang fokus sekaligus memberikan kemenangan kepada lawannya pada set kedua. 

Chong Wei kemudian membuktikan bahawa beliau adalah antara pemain pilihan untuk menjuarai acara itu apabila menang bergaya pada set penentuan.

Kemenangan itu juga melebarkan rekod dua kemenangan berpihak kepada Chong Wei ke atas pemain Finland itu.

Pada pertemuan terakhir antara kedua-dua pemain itu di Kejohanan Dunia 2011, Chong Wei mudah menumpaskan Lang 21-10, 21-11.

Ketika ditemui pemberita selepas perlawanan itu, Chong Wei berkata dia telah dapat menemui kembali rentak permainannya selepas hampir dua bulan tidak beraksi dalam kejohanan kompetitif. 
"Kini saya buktikan bahawa saya mampu bermain di set penentuan dan memenangi perlawanan hari ini," katanya.

Dalam acara perseorangan wanita, pemain negara Tee Jing Yi mencatatkan kemenangan apabila mengenepikan cabaran pemain Itali, Agnese Allegrini 21-7, 21-14. - BERNAMA


~ http://bajonzjambul.blogspot.com ~
~ http://bajonzphoto.blogspot.com ~

Lebuhraya Shah Alam (LSA) ditutup berperingkat esok



Lorong di Lebuhraya Shah Alam (LSA) akan ditutup secara berperingkat mulai esok hingga 30 November depan bagi membolehkan kerja-kerja membaik pulih permukaan jalan raya dijalankan.

Kesas Sdn. Bhd. dalam kenyataannya hari ini berkata, penutupan lorong secara berperingkat akan dilakukan mulai 11 malam hingga 5 pagi bagi memberi ruang kepada kerja-kerja membaik pulih itu.

Kerja pembaikan itu adalah bagi meningkatkan keselamatan dan keselesaan pengguna lebuh raya.

Justeru, pengguna dinasihatkan memandu berhati-hati dan mematuhi arahan papan tanda yang disediakan di kawasan kerja bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Pertanyaan lanjut mengenai penutupan lorong itu boleh dibuat dengan menghubungi talian kecemasan Kesas di 03-56337188 atau layari laman web di www.kesas.com.my.


~ http://bajonzjambul.blogspot.com ~
~ http://bajonzphoto.blogspot.com ~

Saif Ali Khan Kahwin Di Maldives Disember Ini


Drama perkahwinan aktor kacak, Saif Ali Khan dengan aktres jelita Kareena Kapoor nampaknya bakal berakhir. Ini kerana kedua-dua mereka sudah mula menunjukkan perkembangan yang terbaru dengan memberikan pengesahan tentang status perkahwinan mereka.

Bercakap kepada Mumbai Mirror, Saif Ali Khan berkata: "Perkahwinan kami akan diadakan di Maldives...100 orang akan menghadirinya dan ia akan dilakukan pada Disember, bukan Oktober".

Sebelum ini, Saif Ali Khan memberitahu: "Saya tidak dapat mengesahkan tarikh sebenar perkahwinan kami. Mungkin beberapa bulan dari sekarang, saya akan beritahu.

"Tapi sekarang ini saya bercakap dengan Cocktail (filem terbaru) dan saya mahu pisahkan di antara kerjaya seni dengan peribadi". Sumber





~ http://bajonzjambul.blogspot.com ~
~ http://bajonzphoto.blogspot.com ~

Sepanyol Kalah Mengejut, Pulang Awal



Harapan Sepanyol untuk merangkul emas Olimpik dalam acara bola sepak lelaki bagi melengkapkan kejayaan Piala Dunia dan Euro berakhir semalam setelah kalah mengejut 0-1 kepada Honduras.

Tandukan Jerry Bengtson pada minit ketujuh, iaitu jaringan ketiganya dalam dua perlawanan sudah cukup untuk skuad La Roja pulang awal.

Sebelum ini Sepanyol tewas 0-1 kepada Jepun dalam aksi pembukaan Kumpulan D.

Perlawanan semalam berlangsung penuh tegang dengan 13 kad kuning dilayangkan yang menyaksikan percubaan penyerang Sepanyol, Iker Muniain terkena tiang dan sepak Rodrigo pula terkena palang.

Lebih perit, pengadil perlawanan Juan Soto Arevalo menafikan penalti La Rojapada babak akhir perlawanan, menyebabkan pemain Sepanyol mengerumuni pengadil dari Venezuela itu.

Jurulatih Sepanyol, Luis Milla menegaskan pasukannya kurang bernasib baik.

"Apa yang kita kurang hari ini ialah jaringan gol. Saya tidak mahu cakap banyak namun saya rasa penalti harus diberikan kepada kami,'' katanya.

Sementara itu, Brazil bangkit daripada ketinggalan satu gol sebelum menewaskan Belarus 3-1 dengan menyaksikan Neymar mempamer aksi memukau di hadapan penyokong yang memenuhi stadium Old Trafford.

Belarus mengejutkan 66,000 penonton yang memenuhi stadium Manchester United apabila mendahului menerusi tandukan Renan Bardini Bressan pada minit kelapan.

Namun selepas jaringan itu, juara Dunia lima kali yang belum pernah memenangi emas Olimpik, Brazil mula meningkatkan asakan yang diketuai Neymar.

Dia berjaya membuat hantaran kemas yang disempurnakan penyerang AC Milan, Pato sebelum menghasilkan sepakan percuma mengkagumkan pada minit ke-65 dan menjadi perancang kepada gol ketiga yang dijaringkan Oscar. - AFP




~ http://bajonzjambul.blogspot.com ~
~ http://bajonzphoto.blogspot.com ~

Gambar Perlawanan Malaysia VS Manchester City

Gambar-gambar menarik ketika perlawanan Malaysia menentang Manchester City dengan kesudahan Malaysia kalah 1-3.



~ http://bajonzjambul.blogspot.com ~
~ http://bajonzphoto.blogspot.com ~

Malaysia Tewas 1-3 Kepada Manchester City


Status Manchester City sebagai juara Liga Perdana Inggeris (EPL) ternyata amat berat untuk dihadapi oleh skuad kebangsaan apabila tewas 3-1 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Anak buah Datuk K. Rajagobal harus mengakui City lebih bertenaga dan mempunyai kelebihan dari segi fizikal sehingga tidak mampu untuk menyekat Sergio Aguero, Carlos Tevez dan Adam Johnson mencatat nama sebagai penjaring gol.

Aksi separuh masa pertama jelas dikuasai anak buah Roberto Mancini dan 52,000 penonton menjadi saksi bagaimana skuad kebangsaan gagal mempamerkan corak permainan yang sama ketika mereka tewas tipis 1-2 kepada Arsenal, Selasa lalu.

Aguero memecah kebuntuan jaringan dan menghukum kealpaan benteng pertahanan Malaysia apabila melakukan gerakan solo sehingga ke dalam petak penalti sebelum menolak bola masuk ke dalam gawang menewaskan Farizal Marlias pada minit ke-17.

Tiga minit selepas rehat, City menambah gol menerusi Tevez diikuti dengan gol ketiga Johnson pada minit ke-51.

Selepas itu perlawanan agak hambar ekoran kedua-dua pasukan melakukan beberapa pertukaran sehinggalah pada minit ke-87 pemain gantian Malaysia, Azamuddin Mohd. Akil berjaya menjaringkan gol saguhati selepas melakukan rembatan dari dalam petak penalti sebaik sahaja menerima hantaran Mahali Jasuli.

Selepas perlawanan semalam pasukan kebangsaan akan berangkat ke Austria Sabtu ini dan berada di negara Eropah itu selama seminggu untuk menjalani latihan serta mengadakan perlawanan persahabatan di sana.


~ http://bajonzjambul.blogspot.com ~
~ http://bajonzphoto.blogspot.com ~

Monday, July 30, 2012

Kedah ambil jurulatih Croatia ganti Wan Jamak



Kedah akan mendapatkan khidmat jurulatih dari Croatia untuk menggantikan Wan Jamak Wan Hassan bagi menghadapi saingan Piala Malaysia yang bermula pertengahan bulan depan.

Pengurus pasukan Datuk Khazali Din bagaimanpun enggan mendedahkan nama jurulatih tersebut buat masa ini.

Menurutnya, perkara itu masih di peringkat perbincangan antara Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dengan jurulatih tersebut yang dijangka berada di Alor Setar bulan depan.

"Kita akan umumkan nama jurulatih tersebut selepas persetujuan antara kedua-dua pihak dicapai," katanya ketika dihubungi Bernama.

Khazali berkata jurulatih itu pernah mengendalikan beberapa pasukan ternama di Croatia.
Beliau berkata kedudukan Wan Jamak akan diputus sama ada digugur atau terus dikekal.

Wan Jamak dilantik sebagai ketua jurulatih Kedah menggantikan Ahmad Yusof bagi mengembalikan semula kebangkitan pasukan Kenari yang sedang mengalami kemerosotan ketika itu.

Bagaimanapun di bawah bimbingannya, Kedah masih tidak dapat melonjak kedudukannya dan akhirnya terpaksa bersaing di Liga Perdana musim depan. - BERNAMA


~ http://bajonzjambul.blogspot.com ~
~ http://bajonzphoto.blogspot.com ~

Saturday, July 28, 2012

Jangan beli tiket di laman web Euroteam


Orang ramai dinasihat supaya tidak membeli tiket Olimpik London dan Sukan Paralimpik melalui laman web kendalian Euroteam kerana ia didapati mengandungi penipuan.
Laman web yang dikendalikan Euroteam itu ialah www.euroteam.net; www.tixnet.com; www.olympicticket.info; www.euroteam.info; www.euroteamtickets.com; www.2012tickets.org; www.londonsummergames.net; www.londonsummergames.org; www.euroteam.travel; dan www.worldticketservice.net.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam kenyataan akhbar di sini hari ini berkata, PDRM bekerjasama dengan Perkhidmatan Polis Metropolitan United Kingdom (UK Met Police) berhubung laman web palsu itu.
"Individu yang telah membeli tiket melalui laman itu atau daripada mana-mana penjual tidak rasmi perlu menghubungi syarikat berkenaan secara terus dan meminta penjelasan tentang kaedah pembayaran," kata kenyataan itu. – BERNAMA


~ http://bajonzjambul.blogspot.com ~
~ http://bajonzphoto.blogspot.com ~

Tak Jadi Rogol Sebab 'Alat' Tak Berfungsi


Seorang suri rumah berusia 44 tahun tidak menyangka kedatangan abang iparnya pada waktu pagi kelmarin berakhir dengan dia menjadi sasaran nafsu jahat lelaki itu yang sanggup mencabul dan cuba merogolnya.
Kejadian yang berlaku pada pukul 9.30 pagi di Taman Jasmin di sini membabitkan lelaki warga emas berusia 65 tahun. Suspek yang tinggal satu taman dengan rumah mangsa dikatakan muncul di rumah mangsa sejurus selepas suami mangsa keluar bekerja sebagai mekanik di sebuah bengkel.
Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa terus menjemput abang iparnya masuk ke dalam rumah.
Sebaik mangsa dan suspek berada di dalam rumah, mangsa mula berasa tidak sedap hati kerana mendakwa lelaki itu kerap merenungnya.
Bagi melepaskan perasaanya, mangsa meminta diri naik ke tingkat atas rumah dengan alasan untuk mengemas bilik.
Bagaimanapun, tanpa disangka suspek yang sudah beristeri mengekori mangsa sebelum menarik mangsa masuk ke dalam sebuah bilik di tingkat atas rumah tersebut.
Lelaki itu kemudian menanggalkan pakaiannya dan turut membogelkan adik iparnya sebelum melakukan oral seks terhadapn mangsa dan cuba merogol wanita itu.
Malangnya, semasa cuba merogol mangsa, alat kelamin suspek tidak berfungsi sebelum diganggu dengan bunyi deringan telefon rumah mangsa.
Suspek tersentak dengan deringan telefon itu menyebabkan mangsa mengambil kesempatan menendang suspek sebelum lari menyelamatkan diri.
Suspek kemudian terus meninggalkan rumah mangsa dan sehingga kini tidak pulang ke rumahnya.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu polis sedang memburu lelaki itu.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan iaitu mencabul. – Kosmo


~ http://bajonzjambul.blogspot.com ~
~ http://bajonzphoto.blogspot.com ~

7 Pesaing iPad


KEHADIRAN iPad baru mencetus fenomena malah mendapat sambutan luar dugaan di seluruh dunia. Sehingga hari ini, dilaporkan lebih tiga juta unit iPad dikatakan sudah dijual di seluruh dunia.

Layar teknologi Retina serta sambungan 4G LTE (Long Term Evolution) menjadi fungsi utama dalam tablet pintar ini. Walaupun mendapat sambutan dan ramai yang bermimpi-mimpi memilikinya, ada beberapa tablet lain yang dianggap ancaman 'serius' dan pesaing rapat iPad terbaru ini. 



Berikut disenaraikan tablet yang menjadi saingan iPad dari segi harga dan kebolehan teknologi yang dipaparkan:


ASUS PADFONE

GAJET hebat ini adalah gabungan tablet dan telefon pintar. Tablet ini beroperasi dengan OS Android 4.0, layar Super Amoled qHD serta prosesor dual core Snapdragon S4.

SAMSUNG GALAXY NOTE 10.1 
TABLET ini juga mempunyai stylus S Pen untuk melakukan pelbagai fungsi menarik seperti mencatat atau mengedit gambar.

Spesifikasi Galaxy Note 10.1 seperti layar resolusi 1280 x 800; prosesor dual core Exynos 1,2 GHz; kamera belakang 3MP; kamera depan 2MP; sistem operasi Android 4.0 atau Ice Cream Sandwich; Wi Fi serta HSPA+.

TOSHIBA EXCITE X10

TOSHIBA Excite X10 memiliki ketebalan 0.76 cm dengan berat 0.5 kilogram. Beratnya ini hanya lebih beberapa gram daripada Lenovo IdeaTab S2. Tablet ini dilengkapi dengan prosesor TI OMAP 4330 dual core 1.2 Ghz, RAM 1GB, kamera belakang 5MP dan kamera depan 1.3 MP.

LENOVO IDEAPAD S2

TABLET ini memiliki keyboard dock yang boleh disatukan dengan senang ke rangka utamanya seperti Asus Transformer. Tablet ini dibekal dengan kamera 5MP, OS Android 4.0 serta prosesor dual core.

ASUS TRANSFORMER PAD INFINITY 700

TABLET ini termasuk Android paling laris di pasaran ketika ini, dibekalkan dengan prosesor quad core Nvidia Tegra 3 1.6 GHz dan memori dalamannya tersedia dalam dua pilihan, 32GB atau 64GB. Masih boleh ditambah slot microSD sehingga kapasiti 32GB.

LG OPTIMUS PAD LTE

TABLET ini menawarkan layar True HD IPS berukuran 8.9 inci dibekali dengan prosesor dual core Qualcomm 1.5GHz dan kamera 8MP.

SONY TABLET P

TABLET ini memiliki dua skrin masing-masing berukuran 5.5 inci dan tablet ini boleh dilipat. Seperti buku, ukurannya cukup kompak dan boleh diletakkan dalam saku.

Sony P boleh menampilkan dua halaman berbeza di kedua skrin seperti ketika dipakai membaca e-book. Sony P diperhebatkan dengan prosesor Nvidia Tegra 2, kamera depan dan belakang serta sambungan WiFi dan LTE.

~ http://bajonzjambul.blogspot.com ~
~ http://bajonzphoto.blogspot.com ~

Harga tiket RM10 Malaysia lawan Manchester City


Kira-Kira 15,000 tiket, yang berharga RM10 bagi perlawanan bola sepak antara pasukan kebangsaan Malaysia dan Manchester City, boleh didapati di gerai yang ditetapkan sepanjang program 1Malaysia For Youth” (1M4U) di KLCC, pada Ahad ini. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang mengumumkan perkara itu di laman Facebook dan Twitter beliau berkata, sebahagian besar keuntungan jualan tiket itu akan disalur kepada badan amal.

 "Berikutan kenyataan oleh MCFC (Kelab Bolasepak Manchester City), saya dengan sukacitanya ingin mengumumkan bahawa peminat bola sepak Malaysia kini berpeluang menonton perlawanan antara Malaysia dan Manchester City Football Club pada harga istimewa.

 "Sebagai permulaan, saya telah meminta agar 15,000 tiket disediakan di gerai yang ditetapkan sepanjang penganjuran 1M4U di KLCC Ahad ini. Harga tiket ialah RM10. Jumpa anda di sana!,” katanya dalam catatan terbaru Facebook beliau.

 Perlawanan persahabatan itu akan bermula pukul 9.45 malam pada 30 Julai ini di Stadium Nasional Bukit Jalil. Terdahulu, MCFC dalam satu kenyataan menyebut 60 peratus hasil jualan tiket bagi perlawanan itu akan diderma kepada Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB). — BERNAMA





~ http://bajonzjambul.blogspot.com ~
~ http://bajonzphoto.blogspot.com ~

Bekas isteri Hattan saman Oh Bulan RM1 Juta


Bekas isteri penyanyi popular Hattan menfailkan saman bagi menuntut ganti rugi RM1 juta terhadap pemilik blog hiburan Oh Bulan! kerana menyiarkan artikel fitnah mengenainya.

Noorfarashikin Othman, 32, seorang peniaga, menfailkan saman itu di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi, pada 3 Julai lepas melalui Tetuan Ranjit Singh & Yeoh dengan menamakan Driven Communications Sdn Bhd sebagai defendan.

Noorfarashikin bercerai dengan Hattan atau nama sebenarnya Datuk Mohd Shukri Sahabuddin selepas dua bulan berkahwin. - BERNAMA


~ http://bajonzjambul.blogspot.com ~
~ http://bajonzphoto.blogspot.com ~

Zed Zaidi Dapat Anak Lelaki



Pelakon Zed Zaidi hari ini gembira selepas menimang cahaya mata sulung apabila isterinya, Nelly Nathalia selamat melahirkan pada pukul 9.30 pagi semalam.

Bayi lelaki seberat 4.32 kilogram dilahirkan melalui pembedahan di sebuah hospital swasta di Petaling Jaya.

Zed yang juga Presiden Seniman berkata, beliau bersyukur dianugerahkan seorang bayi lelaki dan gembira kerana isteri serta anaknya itu berada dalam keadaan sihat.

"Saya sangat gembira, malah anak saya juga di lahirkan di dalam bulan mulia Ramadan," katanya. 


Baby tersebut yang diberi nama Ryan Ziqry.


~ http://bajonzjambul.blogspot.com ~
~ http://bajonzphoto.blogspot.com ~

Salah Tayang Bendera Korea Utara Enggan Main Bola



Hari pertama Sukan Olimpik London semalam dicemari dengan insiden memalukan apabila pasukan bola sepak wanita Korea Utara enggan beraksi selepas penganjur tersalah memaparkan bendera negara mereka sebelum perlawanan.

Britain, yang berbelanja besar untuk temasya kali ini memulakan saingan bola sepak dengan kemenangan 1-0 ke atas New Zealand dalam saingan wanita yang bermula awal sebelum majlis pembukaan secara rasmi Sukan Olimpik, London hari ini.

Amerika Syarikat menewaskan Perancis 4-2 dan Jepun bangkit untuk menang 2-1 ke atas Kanada.
Bagaimanapun perlawanan melibatkan Korea Utara menentang Colombia terganggu selepas skrin gergasi Stadium Glasgow di Hampden Park memaparkan bendera Korea Selatan hingga mengundang kemarahan di kalangan pemain.

Perlawanan yang dijadual berlangsung pada pukul 7.45 malam hanya bermula pada 8.50 malam selepas pihak penganjur memohon maaf terhadap kesilapan memalukan itu kepada pasukan Korea Utara.
“Hari ini (semalam) ketika perlawanan bola sepak wanita di Hampden Park, bendera Korea Selatan ditayangkan di skrin besar dan bukannya bendera Korea Utara.

“Secara jelas ia adalah kesilapan, kami akan meminta maaf kepada pasukan serta Majlis Olimpik Kebangsaan dan kami akan pastikan insiden sebegini tidak akan berulang kembali," kata kenyataan penganjur Sukan Olimpik London 2012.

Insiden tersebut sudah tentu mengundang mimpi ngeri pada temasya yang berlangsung selama 19 hari terutama apabila kedua negara Korea Selatan dan Utara masih terlibat dalam peperangan.

“Ya, sudah tentu kami marah kerana pemain kami diperkenalkan dengan bendera Korea Selatan sesuatu yang akan memberi kesan besar kepada kami.

“Walaupun menang perlawanan namun ia tidak dapat mengganti apa yang telah berlaku. Ini adalah sesuatu yang berbeza dan kami harap perkara sebegini tidak akan berlaku pada perlawanan akan datang," kata jurulatih Korea Utara, Sin Ui-Gun.

Namun bukan itu sahaja yang berlaku. Pada Rabu lalu pasukan Britain menghantar emel yang merujuk pasukan bola sepak wanita itu sebagai ‘England’.

Selain itu pihak penganjur menawarkan untuk memulangkan bayaran balik harga tiket yang dibeli peminat sukan terjun yang sukar untuk melihat disebabkan bentuk binaan Pusat Akuatik.

Sementara itu, badan induk olahraga memberitahu, 10 atlet dilarang menyertai temasya itu kerana doping termasuk pelari wanita 1500m dari Maghribi, Mariem Alaoui Selsouli yang gagal ujian pada awal bulan ini. - AFP


~ http://bajonzjambul.blogspot.com ~
~ http://bajonzphoto.blogspot.com ~

Lahir sebelum 1989 disaran suntik Vaksin Hepatitis B



Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai pada Jumaat menasihati rakyat Malaysia, khususnya yang lahir sebelum 1989, agar menjalani saringan penyakit hepatitis.
Ini kerana kata beliau, bilangan kes baru terutama Hepatitis B dan C meningkat sekali ganda tahun lepas berbanding 2010, iaitu dari 640 kepada 1,250 bagi Hepatitis B dan 724 kepada 1,047 untuk Hepatitis C.
Sehubungan itu orang ramai harus mengambil kesempatan menjalani saringan percuma yang ditawar 20 hospital di seluruh negara sempena kempen Hari Hepatitis Dunia 2012 ini.
"Ramai yang fikir hepatitis sudah tidak wujud tetapi hakikatnya ramai yang tidak mengambil vaksin. Dianggarkan terdapat antara tiga hingga enam penghidap bagi kedua-dua jenis penyakit itu bagi setiap 100,000 penduduk dan 80 peratus ialah mereka yang berusia antara 25 dan 55 tahun," katanya.
Liow berkata walaupun Malaysia diisytihar Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah mencapai matlamat dalam mengawal Hepatitis B menerusi program vaksin untuk kanak-kanak yang dilancar pada 1989, mereka yang lahir sebelum tahun itu mungkin menyumbang kepada peningkatan kes sekarang.
Beliau juga bimbang penyakit itu yang lebih mudah dijangkiti berbanding HIV dan dikenal pasti antara penyumbang kepada 1.4 juta penghidap barah hati di negara ini akan menjadi satu epidemik jika tiada tindakan diambil.
"Penyakit maut ini berada di luar radar pengawasan kita buat sekian lama dan diabaikan sekalipun notifikasi jangkitan hepatitis adalah mandatori mengikut Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit," katanya.
Kempen yang bermula Jumaat hingga Ahad di pusat beli-belah One Utama itu bertema "Its Closer Than You Think' dan antara lain menumpukan usaha meningkatkan kesedaran umum terhadap penyakit tersebut. - BERNAMA


~ http://bajonzjambul.blogspot.com ~
~ http://bajonzphoto.blogspot.com ~

Friday, July 27, 2012

Bolt mahu cecah 9.4s



Impian manusia terpantas di dunia, Usain Bolt untuk mencecah pecutan 9.4 saat dalam acara 100m bukan mustahil, demikian rumusan hasil kajian matematik yang dijalankan sekumpulan saintis Belanda.

Para pengkaji Universiti Tilburg merumuskan bahawa Bolt, yang bersiap sedia untuk mempertahankan kejuaraan Olimpik di London di samping memperbaharui rekod dunia 9.58s miliknya, mampu merealisasikan objektifnya untuk melepasi garis penamat 0.2saat lebih pantas daripada rekod sekarang.

"Usain Bolt menyatakan sasarannya untuk berlari 9.4s dan mengikut hasil kajian kami ia pencapaian yang munasabah kerana batasan had untuk rekod dunia semasa ialah 9.36s," kata salah seorang pengkaji, Sander Smeets.

Kaedah kajian yang digunapakai merangkumi model statistik dan matematik yang dihimpunkan melalui catatan masa terbaik daripada 1,034 atlet lelaki terbaik sejak 1991, jelas Smeets.

Kajian baru itu sekali gus menutup hasil keputusan kajian terdahulu yang dibuat pada 2008, ketika itu menyatakan 'had rekod dunia' adalah setakat 9.51s.

"Pada 2008 rekod Usain Bolt masih belum dimasukkan dalam data kami dan kajian diterbitkan sebelum Olimpik (Beijing)," jelas Smeets sambil menambah versi awal menggunakan hanya 762 sampel atlet.

Smeet mengharapkan kajian terbaru ini akan memberi rangsangan untuk pelari pecut seperti Bolt terus cuba menurunkan catatan masa acara 100m.

Bintang Jamaica itu dalam satu wawancara ekslusif bersama akhbar The Sunmenyatakan dia berupaya mencecah 9.4s tetapi catatan masa itu adalah batasnya tidak kira berapa banyak usaha dicurahkan dalam latihan pada masa akan datang.

Sementara itu, Birmingham Bolt diisytiharkan cergas sepenuhnya untuk mempertahankan tiga pingat emas Olimpik, seperti yang dimaklumkan oleh pasukan perubatan Jamaica bahawa prestasi raja pecut itu berada pada landasan.

Bolt yang sebelum ini bergelut dengan masalah kaki dan belakang, tewas kepada rakan sepasukan Yohan Blake dalam acara 100m dan 200m ketika saingan percubaan masa Olimpik di Jamaica.

Namun doktor, Winston Dawes berkata, dia menjangka prestasi Bolt akan berada di puncak ketika acara trek dan padang bermula pada 3 Ogos ini.

"Dia (Bolt) kembali cergas. Dia telah menjalani latihan dengan baik malah prestasinya berada di landasan.
"Kami jangka dia cergas sepenuhnya ketika Olimpik bermula. Dia mengalami kekejangan pada kaki kerana pernah mengalami kemalangan sebelum ini dan mungkin sedikit mengganggu dirinya," katanya. - AGENSI


~ http://bajonzjambul.blogspot.com ~
~ http://bajonzphoto.blogspot.com ~

Merokok sebaik berbuka boleh membawa maut


Berbuka puasa dengan menghisap rokok boleh membawa maut, kata seorang pakar yang menggesa orang Islam membuang tabiat merokok ketika Ramadan. 

Perbuatan merokok boleh memberi bahaya kepada seseorang yang berpuasa kerana anggota badan mereka cuba untuk pulih selepas tidak minum atau makan dalam tempoh yang lama, katanya.


Pakar itu juga menekankan, perokok dikira bernasib baik sekiranya mereka tidak mempunyai masalah jantung berpunca daripada tabiat berkenaan.

Merokok adalah perkara buruk yang dilakukan seseorang terhadap badan mereka terutama selepas berbuka puasa di bulan Ramadan, kata seorang pakar perubatan dalaman di Pusat Perubatan dan Klinik Emirates di Al Ain, Dr Riaz Ahmad Minhas. 

Disebabkan berpuasa, badan amat memerlukan air, glukos dan oksigen. Sebaliknya, merokok boleh menyekat saluran darah, menghalang aliran oksigen yang diperlukan. Merokok pada waktu kritikal juga boleh menyebabkan darah menjadi beku. 

Ini boleh menyebabkan pembuluh darah tersekat sekali gus meningkatkan tekanan darah, spasms (kesesakan arteri) mengganggu degupan jantung dan meningkatkan kolesterol. 

Ia boleh menyebabkan perokok maut. Sebab itu, perokok perlu berhati-hati dalam perkara ini, kata Dr Minhas. Agensi





~ http://bajonzjambul.blogspot.com ~
~ http://bajonzphoto.blogspot.com ~

Keputusan bola sepak Olimpik


Kumpulan A


UAE 1 - Uruguay 2 Great Britain 1 - Senegal 1

Kumpulan B 

Mexico 0 - Korea Selatan 0 
Switzerland 1 - Gabon 1 

Kumpulan C 

Belarus 1 - New Zealand 0 
Brazil 3 - Mesir 2 

Kumpulan D 

Honduras 2 - Maghribi 2 
Sepanyol 0 - Jepun 1


~ http://bajonzjambul.blogspot.com ~
~ http://bajonzphoto.blogspot.com ~

Mariah Carey juri paling mahal


Setakat ini Mariah Carey menduduki carta teratas juri program TV realiti yang mendapat bayaran paling tinggi apabila kehadirannya dalam rancangan American Idol musim baru membolehkannya meraih ASD18 juta atau RM57.3 juta! 

Sekali gus, penyanyi ini meninggalkan jauh juri American Idol terdahulu, Jennifer Lopez, yang menerima ASD12 juta (RM38.2 juta), selain mengetepikan Christina Aguilera selaku juri The Voice musim tiga dengan bayaran ASD10 juta atau RM31.6 juta.


Sementara itu, kedudukan pesaing terdekatnya, Britney Spears, pula dilihat tetap gah apabila dikatakan memperoleh kadar menakjubkan iaitu ASD16 juta (RM50.9 juta) menerusi The X Factor.

Sebelum ini, bayangan Carey sebagai juri rancangan realiti popular musim ke-12 hangat diperkatakan di persada Hollywood, hingga akhirnya penerima lima anugerah Grammy itu menamatkan desasdesus sebaik menandatangani kontrak, Isnin lalu. 

Sebagai penyanyi, komposer dan penerbit, tentu menyeronokkan dapat membantu mencari bakat baru, katanya dalam kenyataan ringkas. 

Kini, penyanyi yang cukup popular dengan lagu Hero itu sedang menyiapkan album baru dan single pertama, Triumphant, yang akan menemui peminat awal Ogos. 

Saya tidak sabar menyalurkan tenaga kreatif sebagai sebahagian daripada program yang menjadi fenomena global ini, katanya.


~ http://bajonzjambul.blogspot.com ~
~ http://bajonzphoto.blogspot.com ~

Manchester United Beli Lucas Moura



Manchester United setuju untuk membayar 23 juta pound (RM114 juta) bagi mendapatkan bintang sensasi Brazil, Lucas Moura dari kelab Sao Paulo.

Pengurus United, Alex Ferguson mendapat sokongan pemilik kelab Malcolm Glazer untuk membawa pemain berusia 19 tahun itu yang membuat penampilan bersama Brazil ketika menentang Great Britain pada aksi pemanas badan Sukan Olimpik, Jumaat lalu.

Sao Paulo bersetuju dengan harga yang ditawarkan kepada Lucas dan United yakin urusan perjanjian akan berjalan lancar dengan ejen pemain itu.

Inter Milan dan Chelsea turut mengintai Lucas namun terpaksa mengalah kerana harga yang tinggi.
Lucas, yang dijadual akan melakukan pemeriksaan kesihatan dalam masa terdekat ini mungkin sukar untuk berbuat demikian kerana sedang memburu emas buat Brazil pada Sukan Olimpik 2012. - AGENSI


~ http://bajonzjambul.blogspot.com ~
~ http://bajonzphoto.blogspot.com ~

Penjaga gol Malaysia jadi tumpuan Arsene Wenger



Ketangkasan penjaga gol kebangsaan, Mohd. Farizal Marlias yang beberapa kali menyelamatkan gawang Malaysia daripada dibolosi Arsenal pada aksi persahabatan kelmarin, mendapat pujian pengendali Gunners, Arsene Wenger.

Dia menyifatkan pemain yang mewakili Negeri Sembilan itu sebagai 'fantastik'.

Jaringan gol cantik Mohd. Azmi Muslim dari jarak 25 meter memang detik istimewa perlawanan tersebut, namun tidak kurang penting ialah peranan Farizal yang memastikan skuad Datuk K.Rajagobal tidak dibelasah.
Pada aksi persahabatan tahun lalu, Arsenal mengalahkan skuad kebangsaan 4-0.

"Penjaga gol (Farizal) sememangnya fantastik dan pandai membaca permainan," puji Wenger ketika Gunners dibelenggu krisis penjaga gol sejak beberapa tahun ini sehinggalah kemunculan Wojciech Szczesny.

Farizal, 26, kini merupakan pencabar Khairul Fahmi Che Mat untuk posisi No. 1 gawang kebangsaan apabila mempamerkan tahap ketenangan tinggi di samping bijak menghidu ancaman lawan di sepanjang perlawanan.

Hanya kelekaan pertahanan menyebabkan Farizal tewas dua kali menerusi gol Thomas Eisfeild dan Chukwuemeka Aneke pada tiga minit akhir perlawanan.

Salah satu insiden yang memperlihatkan keupayaan Farizal adalah pada minit ke-66 apabila pemain kelahiran Pahang itu bijak meluru keluar untuk menggagalkan percubaan Benik Afobe ketika berdepan satu lawan satu.

Lain-lain pemain kebangsaan turut mencuri tumpuan Wenger termasuk tonggak pertahanan tengah, Aidil Zafuan Abd. Razak, dua penggerak jentera tengah iaitu kapten Safiq Rahim dan Gary Steven Robbat serta pemain sayap kiri, S.Kunanlan.

"No. 7 (Aidil) saya minat kekentalan pertahanannya, begitu juga dengan No.8 (Safiq). No.15 (Gary) beraksi cemerlang sebaik dia dimasukkan dan No.16 (Kunanlan)... secara keseluruhannya, ramai pemain bagus saya dapat lihat (dalam pasukan Malaysia)," ujarnya.


~ http://bajonzjambul.blogspot.com ~
~ http://bajonzphoto.blogspot.com ~

Jepun Kalahkan Sepanyol 1-0



Jepun membuat kejutan dalam sejarah bola sepak Sukan Olimpik selepas melakarkan kemenangan sensasi 1-0 ke atas juara dunia dan Eropah, Sepanyol di Hampden Park.

Gol pada separuh masa pertama daripada Yuki Otsu itu memastikan Jepun mengutip tiga mata penuh dan mengulangi kembali memori kemenangan terbesar mereka sejak 1996 apabila menewaskan Brazil 1-0 di Atlanta.

Jaringan tunggal perlawanan itu hadir pada minit ke-34 menerusi sepakan penjuru yang diambil Takahiro Ohgihara yang disambut Otsu yang melepaskan sepakan leret menewaskan penjaga gol Manchester United, David De Gea.

Dalam satu lagi perlawanan yang membabitkan wakil Asia, Korea Selatan seri tanpa jaringan dengan Mexico dalam Kumpulan B


SEPANYOL: David De Gea, Dominguez, J Martinez, I Martinez, Alba, Adrian, Rodrgio, Mata, Koko, Montoya, Isco
SIMPANAN: Azpilicueta, Muniain, Botia, Romeu, Tello, Herrera, Marino
JEPUN: Gonda, Tokunaga, Ohgihara, Sakai, Yoshida, Otsu, Higashi, Nagai, Suzuki, Yamaguchi, Kiyotake
SIMPANAN: Muramatsu, Yamamura, Sugimoto, Sakai, Usami, Saito, Ando

~ http://bajonzjambul.blogspot.com ~
~ http://bajonzphoto.blogspot.com ~

Kenyataan Panas Abby Abadi Diselar Peminat


Tindakan pelakon Abby Abadi yang mendakwa artis bertudung sepertinya hanya akan mendapat tempat dalam industri hiburan apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang dalam pilihan raya umum akan datang mengundang reaksi negatif daripada kalangan peminat.
Mereka berpendapat, kenyataan Abby yang baru “berhijrah” itu sebagai cetek pengetahuan selain tiada kewajaran untuk dia mencampuradukkan urusan agama dengan politik sekiranya mahu bergelar Muslim sejati.
Komen pembaca yang disiarkan oleh portal rotikaya.com antara lain meminta pelakon Gerak Khas itu supaya berhati-hati ketika memberi kenyataan terutama yang berkaitan agama walaupun penghijrahan yang dilakukannya itu adalah langkah yang baik.
Peminat pelakon itu, Suzana Salleh turut meminta Abby supaya tidak taksub dengan politik kerana agama Islam itu bukanlah parti PAS yang disertainya sekarang.
Artikel mengenai Abby yang disiarkan The Malaysia Insider pada Rabu lalu.
“Jangan terlalu taksub dengan politik. Jika ikutkan, orang perempuan langsung tidak boleh terlibat dalam lakonan apatah lagi nyanyian,” katanya.
Raihan Rizal pula menasihati pelakon itu supaya memberi tumpuan kepada anak-anak dan keluarga kerana apa dibimbangkan langkahnya melibatkan diri dalam politik akan menyebabkan dia hanyut dalam fantasi sendiri.
Malah pelakon itu juga diminta untuk mencontohi pengacara Wardina yang berjaya mendidik anak dengan ilmu agama yang cukup sehingga mampu menghafal surah tertentu dalam al-Quran.
“Saya rasa lebih baik akak fokuskan kepada anak-anak dan keluarga sebelum akak lebih jauh hanyut dalam fantasi akak sendiri. Jangan akak sibuk dengan politik, anak-anak terabai. Ingat, matlamat tidak boleh menghalalkan cara,” katanya.
Antara komen yang dibuat oleh peminat Abby mengenai kelantangan pelakon itu.
Leylazulaikha pula berpendapat, ramai artis yang bertudung tetapi mereka masih mendapat tempat ketika kerajaan ketika ini memerintah tanpa dinafikan hak masing-masing.
Malah tindakan Abby untuk menyertai mana-aman parti politik adalah hak peribadinya tetapi pelakon itu haruslah tidak memberi kenyataan yang menunjukkan kelemahan dirinya sendiri.
“Berapa ramai artis bertudung yang masih ada dalam industri? masih boleh bebas berkarya? Ada kerajaan sekarang sekat?
“Sebelum salahkan kerajaan sekarang, salahkan orang dalam industri sendiri. sebab mereka itu yang meletakkan halangan ke atas artis yg mula berhijrah,” katanya.
Dalam pada itu Feewit Fuyoo pula menjelaskan, terdapat kebenaran apabila seseorang artis itu melakukan penghijrahan, ruang kreatifnya menjadi sempit tetapi sikap tuduh menuduh dan mengata keburukan orang adalah sesuatu yang dilarang oleh agama Islam.
“Pastinya sebelum ini segala hasil yang diperoleh melalui orang atau pemerintah yang dicerca malah rasanya penghijrahan (Abby) sekarang ini pun rasanya sedikit sebanyak menggunakan hasil kerajaan yang di cerca,” katanya.
Menerusi portal The Malaysia Insider pada Rabu lalu, Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan mendakwa artis yang berhijrah seperti beliau hanya akan mempunyai pekerjaan sekiranya kerajaan yang sedia ada tidak lagi memerintah.
Dalam artikel yang bertajuk "Abby Abadi: Muslim artistes will work only after Pakatan takes power" (Abby Abadi: Artis Muslim Akan Bekerja Selepas Pakatan Ambil Alih Kuasa), pelakon tersebut antara lain mendakwa ruang individu sepertinya untuk berkarya menjadi sempit dan beliau mengharapkan golongan artis yang berhijrah dapat setia bersama PAS jika mahu melihat perubahan
Sumber

~ http://bajonzjambul.blogspot.com ~
~ http://bajonzphoto.blogspot.com ~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...