Pakej Fotografi Bajonz Jambul Cool Ice cream

Followers

Sunday, July 6, 2014

Anak Pelakon Linda Rafar Meninggal Dunia



Anak kedua kepada penyanyi dan pelakon Linda Rafar meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) di sini, pada petang Sabtu. 

Adik kepada penyanyi tersebut, Diana Rafar mengesahkan mengenai kematian anak saudaranya, Rezaimen Kiflin Kifli, 12 akibat penyakit kanser perut.  

"Allahyarham meninggal dunia pada pukul 5.30 petang Sabtu selepas dua hari berada dalam keadaan kritikal dan tidak bercakap. 

"Jenazah kini berada dan disembahyangkan di kediaman Linda sendiri di Seksyen 6, Shah Alam" 

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 22, Shah Alam kira-kira pukul 10 pagi Ahad. 

Sementara itu, Diana berkata, Allahyarham dikesan menghidap penyakit tersebut sejak lima bulan lalu apabila sering mengadu sakit perut. 

Bagaimanapun, Diana menyifatkan Rezaimen sebagai seorang kanak-kanak yang kuat kerana masih mampu bermain dan bergurau biarpun bertarung dengan penyakit tersebut. 

"Kita dapat kesan dia menghidap kanser pada lima bulan lalu selepas sering mengadu sakit perut, namun ketika itu kanser tersebut sudah pada tahap empat. 

"Namun sepanjang lima bulan ini dia seperti kanak-kanak lain yang mampu untuk bercakap dan bergurau senda dengan kami semua," ujarnya. 

Tambah Diana, Rezaimen sempat memberi pesanan dan menyerahkan barang-barang kepunyaannya kepada adik-beradiknya. 

"Dia seperti tahu akan meninggalkan kami semua, malah sempat memberi barang-barang yang dia sayang kepada adik-adiknya. 

"Dia beri telefon bimbit serta permainan lain dan berkata bahawa dia tidak mahu lagi harta dunia," katanya. 

Sementara itu, Diana berkata, kakaknya Linda masih lagi dalam keadaan bersedih dengan pemergian tersebut. 

Rezaimen yang merupakan anak kedua Linda hasil daripada perkahwinan pertama bersama bekas suami Keifli Othman dimasukkan ke wad HUKM sekitar Mac lalu.



~ Bajonz Jambul ~
~ Bajonz Photography ~

Tuesday, May 6, 2014

Seniman Aziz Sattar Meninggal Dunia


Seniman Datuk Abdul Aziz Sattar, 89, meninggal dunia di Pusat Perubatan KPJ Kajang dekat sini kira-kira pukul 2 pagi Selasa.

Berita kematian Allahyarham itu disahkan oleh cucunya, Abu Ubaidah A. Ishak menerusi Twitter miliknya kira-kira pukul 2.15 pagi.

“Atok saya, Datuk Aziz Sattar telah menghembuskan nafas terakhir jam 2 pagi tadi (Selasa). Sedekahkan Al-Fatihah,” katanya dalam Twitter miliknya itu.

Allahyarham meninggal dunia akibat serangan jantung.

Abu Ubaidah ketika dihubungi pula berkata, Aziz tiba-tiba mengalami sesak nafas kira-kira pukul 1.30 pagi sebelum tidak sedarkan diri selepas itu.

Jelas Abu Ubaidah lagi, dia berada di pusat perubatan berkenaan ketika Allahyarham menghembuskan nafas terakhir dan reda dengan pemergian datuk kesayangannya itu.

"Sebelum ini keadaannya stabil kerana doktor mengatakan ia hanya serangan jantung biasa namun Allah lebih menyayanginya dan kami sekeluarga reda dengan pemergiannya," katanya.

Dalam pada itu jenazah telah dibawa pulang ke kediaman Allahyarham di Bandar Tun Hussien Onn, Cheras dekat sini sebelum urusan memandikan jenazah dilakukan di Surau Al-Amin, pada pukul 11 pagi.

Jenazah dijangka akan dikebumikan selepas solat Zohor di Tanah Perkuburan Islam Cheras.
Pada malam Ahad lalu Allahyarham dikejarkan ke pusat perubatan berkenaan akibat serangan jantung tetapi keadaannya dilaporkan stabil dan ditempatkan di Unit Rawatan Korinari (CCU).
Antara kenalan artis yang dilihat berada bagi memberi penghormatan kepada Allahyarham adalah Datuk Mustafa Maarof, Datuk Sarimah Ahmad, Datuk Aziz Singah, AR Badul, Norlia Ghani, Datin Rosnani Jamil, Hans Isaac, Melissa Saila, Fauziah Ahmad Daud, Datuk Rosyam Nor, Fizo Omar dan Aizat Amdan.
Allahyarham yang dilahirkan di Surabaya, Indonesia merupakan rakan seangkatan seniman Tan Sri P.Ramlee dan popular menerusi filem Bujang Lapok.
Beliau juga pernah menyertai kumpulan pancaragam Pancasitara  yang dianggotai oleh  P.Ramlee, Normadiah, Aziz Jaafar, Ahmad C dan Kassim Masdor  pada awal tahun 1950an.

Selain berpuluh-puluh filem lakonannya, Allahyarham juga pernah mengarah filem seperti Keluarga Si Comat (1975), Si Badol (1979), Prebet Lapok (1979), Penyamun Tarbus (1980), Da Di Du (1981), Setinggan (1982) dan Darah Satria (1993).

Pada tahun 2007,  Allahyarham menerima Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong,  Tuanku Mizan Zainal Abidin yang membawa gelaran Datuk.

Antara kisah menarik Allahyarham, beliau pernah disiksa oleh tentera Jepun kerana dituduh mencuri selain dikenakan penjara selama enam bulan selepas disyaki terlibat dalam kes rusuhan Natrah di singapura pada tahun 1950-an.

Allahyarham pernah empat kali berkahwin tetapi hanya dua pernikahannya sahaja yang lebih diperkatakan iaitu bersama Siti Rumina Ahmad (isteri ketiga bercerai) dan seniwati Dayang Sofia (isteri keempat - bercerai).

Hasil perkongsian hidup, beliau dikurniakan tujuh anak.

Pada 16 Disember 2006 Allahyarham berkahwin dengan Hashimah Delan di Masjid Sultan Abdul Aziz, Shah Alam dekat sini dengan mas kahwin RM100.


~ Bajonz Jambul ~
~ Bajonz Photography ~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...